Kami berlima menaiki bas dari bandar Lijiang ke Haba Village pada pertengahan Disember 2019 dan sampai bandar kecil ini sekitar jam 15:00 petang. Tujuan utama kami ke sini adalah untuk mendaki Gunung Haba 5396 mdpl. Setelah check-in di bandar kecil kaki Gunung Haba itu, kami makan dan bersiar di sekitar bandar dan kampung di sana. Tidak sukar mencari kedai makanan halal di sini kerana terdapat ramai penduduk yang beragama Islam di bandar ini.
Malam itu sebelum tidur, Apip selaku ketua kumpulan kami menguruskan urusan perjalanan untuk pendakian ke Gunung Haba. Kami menyewa peralatan mendaki dan mengemas keperluan untuk dua hari pendakian. Keesokan paginya selepas sarapan, kami berangkat ke starting point Gunung Haba. Trek pendakian bermula dari jalan tepi masjid.
Trek menegak 45 darjah, menyusuri hutan pokok pinus yang cantik. Kami bergerak secara santai dan air sungai sudah mulai membeku kerana sekarang telah masuk musim dingin. Kami ditemani dua orang guide, dua ekor kuda sebagai pengangkut barang dan empat ekor kuda untuk tunggangan sekiranya perlu. Kami menyusuri trek zig-zag di hutan pinus itu mengikut laluan kuda sehingga Apip mengajak kami memintas trek zig-zag agar kami lebih laju dan jimat masa. Kami berehat seketika di satu kawasan padang ragut yang rata dan agak luas.
Setengah jam kemudian, kami meneruskan pendakian dan trek masih membelah hutan pinus yang cantik. Tidak berapa lama kemudian, salji mula turun. Menurut guide, hari ini adalah hari pertama salji turun bagi tahun ini. Semakin lama, salji turun semakin lebat dan kami sampai di cabin tempat makan tengahari sekitar jam 13:30 petang.
Guide membakar kentang dan memasak teh keju Yak. Kami mencuba makanan yang disediakan. Inilah kali pertama saya minum teh keju Yak. Kami berehat agak lama di sini dan meneruskan pendakian ke Base Camp Gunung Haba sejam kemudian. Meneruskan pendaki membelah salji menyebabkan saya mengambil keputusan menunggang kuda untuk menjimatkan tenaga.
Saya sampai di Base Camp Gunung Haba di ketinggian 4100 mdpl pada jam 16:00 petang dan salji turun sangat lebat pada masa itu, tambahan pula angin bertiup agak kencang. Teman-teman saya yang lain sampai di base cam sekitar jam 17:30 petang. Malam itu kami makan malam seperti cara masyarakat cina dari periuk di atas dapur tanpa hidang.
Malam itu kami tidur awal kerana kami akan meneruskan pendakian ke puncak awal pagi. Di luar angin masih bertiup kencang menyebabkan atap zink cabin meriah bergendang menghasilkan bunyi yang agak bising. Jam 03:00 pagi, guide mengejutkan kami untuk pendakian ke puncak. Setelah bersedia dan bersarapan ala kadar, kami memulakan perjalanan ke puncak sekitar jam 04:00 pagi. Langit cerah dan kelihatan banyak bintang tetapi angin masih bertiup kencang. Tiada sekeping gambar dapat dirakam sepanjang pendakian kerana gelap dan sukar membuka sarong tangan dalam kesejukan. Kami mendaki bongkah batu besar dan trek terbuka. Tiada tali disediakan sepanjang trek di bongkah batu besar. Semasa mendaki, kadang kala saya membongkok untuk merendahkan badan kerana bimbang dengan tiupan angin yang agak kencang. Sampai di ketinggian sekitar 4600 mdpl, dua pendaki dari kumpulan yang mendahului kami berpatah balik. Menurut mereka, angin terlalu kuat di atas dan mereka mengambil keputusan untuk membatalkan pendakian ke puncak kerana bimbang akan 'frostbite' akibat terlampau sejuk. Saya sedikit gentar dan setelah guide mengarahkan kami juga turun, saya dan dua teman mengambil keputusan untuk turun, manakala Apit dan Eryn meneruskan pendakian. Menurut mereka, telah terlihat kawasan starting untuk menggunakan 'crampon'. Kawasan wajib menggunakan 'crampon' adalah di ketinggian 4900 meter. Saya dan dua teman sampai semula di cabin sekitar jam 07:30 pagi. Setengah jam kemudian, Apip dan Eryn sampai di cabin, menurut mereka guide tidak membenarkan mereka meneruskan pendakian atas factor keselamatan. Pagi itu kami merakam gambar puncak Gunung Haba dari base camp.
![]() |
Salji yang berterbangan ditiup angin di puncak gunung |
![]() |
Jelas kelihatan salji ditiup angin |
Kami berhenti di beberapa tempat untuk berehat dan merakam gambar. Pemandangan sepanjang trek turun ke bawah sangat indah dengan pancaran matahari, langit biru, hutan pinus dan hamparan salji yang memutih sedikit sebanyak mengubat rasa kecewa gagal ke puncak Gunung Haba. Mungkin kali ini bukan rezeki kami ke puncak.
Puncak Gunung Haba dilitupi salji sepanjang tahun. Pendakian ke puncak Gunung Haba adalah tecnikal, memerlukan peralatan mendaki seperti harnest, kapak ais, crampon dan sebagainya. Menggunakan khimat guide tempatan wajib untuk pendakian ke Gunung Haba ini.
Kami sampai di Haba Village sekitar jam 15:00 petang dan malam itu kami bermalam di sini. Keesokan paginya kami bergerak ke Baishuitai dan seterusnya pulang ke Lijiang. Saya mungkin akan mengulangi pendakian yang belum selesai ini pada masa akan datang. Moga ada rezeki datang ke sini lagi. Terima kasih Allah.
Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk melawat China.
2-Gunung Haba diselaput salji sepanjang tahun dan memerlukan peralatan dan tecnikal untuk ke puncak.
3-Contact guide untuk trip mendaki Gunung Haba: Apip- 013 3508508