Isnin, 27 Januari 2020

Kunming, Lijiang dan Dali trip pasti ulang




Saya dan empat teman sampai dan berkumpul di Kunming airport hari pertama kami sampai di Negara China sekitar jam 2:00 pagi pertengahan Disember 2019. Setelah semua hadir dan bersedia, kami berangkat ke stesen keretapi Kunming. Pagi ini kami akan meneruskan perjalanan ke Bandar Lijiang. Saya pernah ke Kunming pada tahun 2006 dahulu, setelah 13 tahun saya lihat Bandar Kunming telah banyak berubah. Keretapi kami berangkat pada jam 07:14 pagi dan dijangka sampai di Bandar Lijiang sekitar jam 10:00 pagi. Di Lijiang kami menginap berhampiran Old Town Lijiang. Petang itu kami keluar makan dan menghabiskan waktu melawat Old Town Lijiang.




Hari kedua, seawal pagi kami berangkat ke Jade Dragon Snow Mountain. Disebabkan cuaca pagi itu tidak begitu baik, kami sepakat ke Blue Moon Valley dan White Water River dahulu. Di sini kami menaiki bas mini yang disediakan untuk menjimatkan masa. Kami bergambar secara pantas di setiap tempat perhentian yang disinggahi bas tersebut. Pemandangan di sini amat indah dan memukau pandangan kami.







Kemudian kami ke Jade Dragon Snow Mountain. Kami menaiki cable car sehingga ketinggian 4506mdpl di stesen atas cable car. Saya merasa sedikit pening disebabkan kami berada di ketinggian yang melebihi 4500 mdpl secara mendadak. Cuaca masih berkabus setibanya kami di atas. Setelah berehat seketika, kami meneruskan perjalanan menyusuri pelantar kayu yang disediakan. Terdapat beberapa gerai yang menjual gas bantuan pernafasan kepada pengunjung sekiranya pengunjung tidak boleh bernafas secara normal di sepanjang pelantar kayu.




Kemudian kami sampai di ketinggian  4576 mdpl. Ramai pengunjung berehat di sini sambil melayan penat kerana lapisan oksigen yang semakin nipis. Kami merakam gambar dan berehat untuk menyesuaikan diri dengan ketinggian. Setelah nafas kembali normal, kami meneruskan trekking menyusuri pelantar kayu menuju ke atas. Di sepanjang laluan pelantar, ramai pengunjung yang duduk dan bergerak perlahan, begitu juga saya yang sedikit mabuk.



Kesemua pengunjung mengakhiri perjalanan di puncak pada ketinggian 4680 mdpl ini. Di sini pengujung beratur untuk merakam gambar pada tiang penanda ketinggian. Begitu juga kami yang teruja untuk merakam kenangan secara solo dan berkumpulan. Cuaca sekali sekala cerah, memberi peluang kami melihat keindahan alam dari ketinggian 4680 mdpl ini walaupun sebahagian penuh diselaputi salji putih.





Setelah puas bergambar, kami bergerak turun ke bawah sehingga ke stesen cable car dan sampai di tapak pakir sekitar jam 15:00 petang. Kemudian kami bergerak pulang ke Bandar Lijiang.


Malam itu, kami sekali lagi ke Old Town Lijiang setelah makan malam. Tidak sukar mencari makanan halal di Bandar Lijiang. Terdapat banyak kedai makanan muslim di bandar itu. Old Town Lijiang merupakan bandar sejarah yang berusia lebih seribu tahun dan bandar kuno ini merupakan tapak warisan dunia UNESCO.
 



Hari ketiga kami menaiki bas menuju ke Haba Village. Perjalanan mengambil masa sekitar tujuh jam. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di Tiger Leaping Gorge. Kejadian air sungai yang bergelora ini seperti juga fenomena alam di Huka Fall New Zealand. Di sini, air Sungai Jinsha yang mengalir dari kawasan lebar melalui kawasan curam dan sempit menyebabkan arus sungai bergelora dan menggila memukul tebing batu. Menurut sejarah, Tiger Leaping Gorge mengambil nama dari kejadian seekor harimau yang melompat menyeberangi Sungai Jinsha di kawasan genting dengan meloncat ke atas batu yang terdapat di tengah sungai yang berkelebaran 25 meter. Tiger Leaping Gorge ini terletak di sempadan antara Lijiang dan wilayah Shangri-La.





Petang itu kami sampai di Haba Village sekitar jam 15:00 petang. Di bandar kecil ini juga tidak sukar mencari kedai makanan muslim. Petang itu kami bersiar di kampung kaki Gunung Haba ini. Di kawasan ini terdapat ramai penduduk yang beragama Islam. Kebanyakkan penduduk di sini bertani dan berternak binatang.





Hari keempat kami mendaki ke Gunung Haba. Trek Gunung Haba bermula di sebuah masjid di kaki Gunung Haba. Kami memulakan trekking sekitar jam 10:00 pagi dan sampai di cabin tempat makan tengahari sekitar jam 13:30 petang.




Semasa dalam perjalanan ke Base Camp Gunung Haba, salji pertama tahun ini turun sangat lebat. Setelah makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Base Camp dan saya menyewa seekor kuda untuk tunggangan. Saya sampai di Base Camp Gunung Haba 4100 mdpl pada jam 16:00 petang, manakala teman-teman saya yang lain sampai sekitar jam 17:30 petang. Selesai makan malam kami berehat dan tidur awal kerana kami akan ke puncak awal pagi nanti.


Malam itu cuaca sangat sejuk dan angin bertiup kencang. Hari kelima, jam 03:00 pagi guide mengejutkan kami untuk melanjutkan perjalanan ke puncak Gunung Haba. Di langit terdapat banyak bintang namun angin tetap bertiup kencang. Kami mula mendaki seawal jam 04:00 pagi, membelah gelap dalam cuaca yang dingin dan angin yang bertiup agak kencang walaupun langit diterangi bintang. Kami sampai sekitar ketinggian 4600 mdpl apabila guide menyuruh kami berpatah balik kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Kami sampai di base camp sekitar jam 07:30 pagi. Kami bergerak turun ke Haba Village sekitar jam 11:00 pagi dan sampai di sana pada jam 15:00 petang.







Hari keenam kami ke Baishuitai atau White Water Terrace. Dalam perjalanan ke sana kami melihat puncak Gunung Haba yang cerah dan jelas. White Water Terrace terletak di ketinggian 2400 meter di kaki Gunung Haba. Ia seperti Pamukale di Turkey. Fenomena alam di mana air dari kolam di kawasan tinggi mengalir ke bawah melalui batu bertingkat-tingkat seperti tangga.





Selesai melawat Baishuitai, kami meneruskan perjalanan pulang ke Lijiang. Kami sampai di Lijiang sekitar jam 17:00 petang. Setibanya di Lijiang, seorang teman meneruskan perjalanan pulang ke Kunming malam itu, manakala kami berempat bermalam di Bandar Lijiang. Petang itu, kami berempat melawat Black Dragon Pool di Lijiang.




Hari ketujuh, kami berempat menaiki bas menuju ke Bandar Dali. Sampai di Dali, dua dari kami menyewa penginapan di sini manakala saya dan seorang teman membeli ticket keretapi pulang ke Kunming petang nanti. Selesai membeli ticket, kami berdua melawat Bandar Tua Dali. 




Dali terbahagi kepada dua buah bandar yang berjarak sekitar sepuluh kilometer antara satu iaitu bandar moden dan bandar kuno yang menjadi tarikan pelancong di sini. Saya dan teman melawat bandar kuno yang terbina sejak kurun ke 8 yang dikelilingi tembok kuno. Dengan keluasan 1.5 kilometer lebar dan 1.5 kilometer panjang, kami selesai melawat bandar tua ini dalam masa beberapa jam sahaja.






Kami kembali ke bandar Dali moden dengan menaiki bas dan bertolak ke Kunming pada jam 18:00 petang. Kami sampai di Kunming pada jam 20:00 malam dan bermalam di sana.



Hari kelapan kami berdua bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Saya mungkin datang lagi ke bandar ini di masa akan datang. Mungkin mengulangi pendakian ke Gunung Haba yang tidak kesampaian, atau meneruskan perjalanan ke Shangri-La atau mendaki gunung lain di Kunming atau di Lijiang atau di Shangri-La. Perjalanan ini tiada hentinya. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk melawat China.
2-Gunung Haba diselaput salji sepanjang tahun dan memerlukan peralatan dan tecnikal untuk ke puncak.


Tiada ulasan: