Selasa, 1 September 2015

Gunung Apo Via Gunung Talamo


          Gunung Apo 2954 meter merupakan gunung tertinggi di Negara Filipina. Terletak di pulau kedua terbesar di Filipina iaitu di Selatan Pulau Mindanao. Majoriti penduduk Pulau Mindanao adalah muslim dari Suku Moro atau etnik lain seperti Marano dan Tausug, namun sekarang pulau ini telah mulai didominasi oleh penganut kristian atas tindakan kerajaan Filipina.


         Saya bersama 19 pendaki Malaysia yang diketuai oleh Encik Deeno bergabung dengan pendaki Filipina iaitu Dr Gideon Lasco, 11 porter dan guide telah menawan puncak gunung ini pada Oktober 2011. Hati sedikit gentar bila mengetahui gunung ini terletak di Pulau Mindanao kerana popularnya pulau ini dengan keganasan kumpulan Abu Sayap yang selalu melakukan penculikan untuk wang tebusan, namun keinginan menjejakkan kaki ke gunung tertinggi di kepulauan Filipina ini membuak-buak. Dari Manila kami mengambil penerbangan tempatan ke Davao, Mindanao. Penerbangan malam dengan pesawat Cebu Pacific Airline mengambil masa kurang lebih 1 jam.


        Sampai di Davao, kami menaiki jeepney ke hotel untuk bermalam. Keesokan paginya selepas sarapan, kami bertolak menaiki jeepney menuju ke kampung Tamayong iaitu starting point ke Gunung Talamo.



       Sampai di Kampung Tamayong, 11 porter termasuk seorang penunjuk arah telah sedia menunggu. Saya sedikit tersentak bila terbaca perkataan masa berkurung (Curfew) dari jam 9:00 pm - 4:00 am di atas sekeping papan amaran di perhentian jeepney kami. Trekking ke puncak Talamo bermula sekitar jam 11:30 pagi. Di awal perjalanan kami menyusuri jalan tanah merah yang membelah kawasan kebun pisang yang luas kurang lebih 2 jam. Kemudian kami meneruskan trekking ke Kampung Sicao untuk makan tengah hari.


Menuju Kampung Sicao

Kampung Sicao

Bergambar bersama anak-anak Kampung Sicao

         Selepas makan tengah hari kami meneruskan pendakian ke Puncak Talamo 2674 meter mengikut perancangan, namun kerana kami mula trekking agak lewat, kami terpaksa bermalam di Kem Lumot 2200 meter. Kami sampai ke Kem Lumot sekitar jam 9:25 malam. Perjalanan agak sukar kerana trek yang jarang digunakan tambahan pula kami trekking di waktu malam gelap yang dingin.



Air terjun menuju Kem Lumot
       Kerana agak lewat sampai ke Kem Lumot dan keletihan, saya tidak merakam gambar di kem yang sempit dan becak ini. Keesokan paginya selesai sarapan kami meneruskan trekking agak awal iaitu sekitar jam 7:30 pagi. Trekking menuju ke puncak Talamo, kami melalui hutan lumut seperti di Gunung Irau, sungguh cantik seperti permaidani hijau dan tiang-tiang pokok tegak berdiri yang dicat serba hijau amat memukau mata.



       Akhirnya setelah trekking selama kurang lebih 3 jam, kami sampai ke puncak Talamo 2674 meter. Puncak Talamo agak luas dan terdapat air tadahan untuk minuman sekiranya bermalam di puncak. Kawasan khemah di puncak pula agak redup kerana terdapat pokok-pokok yang agak besar dan rendang. Disebabkan cuaca yang cerah, dari puncak Talamo kami dapat melihat Teluk Davao dan Pulau Samal.

Puncak Gunung Talamo 2674 meter



       Selesai bergambar di puncak Talamo, kami meneruskan perjalanan ke Kem Basinan. Perjalanan dianggarkan mengambil masa sekitar 10 hingga 12 jam. Untuk sampai ke Kem Basinan, kami trekking turun naik puncak, antaranya puncak Lipopocan yang lebih tinggi dari puncak Talamo dan puncak Dalag.
Pemandangan turun dari puncak Gunung Talamo.







      Perjalanan selama 2 hari ini agak sukar bagi saya. Kami melalui semak belukar di sesetengah trek kerana trek Talamo - Apo agak kurang digunakan, tambahan pula jaraknya yang jauh. Menurut Dr Gideon, kami merupakan kumpulan pertama dari luar yang melakukan rentas Gunung Apo dari trek Gunung Talamo. Akhirnya kami sampai ke Kem Basinan sekitar jam 12:00 tengah malam, kerana keletihan kami terus tidur dan meneruskan perjalanan keesokan paginya pada pukul 8:00 pagi. Taklimat pagi Dr Gideon mengatakan, perjalanan hari ke 3 ini agak mudah setelah kami mengharungi kesukaran selepas dua hari. Tujuan hari ketiga ini adalah ke Summit Camp. Di pertengahan jalan kami singah di Tasik Venado. Pemandangan di Tasik Venado tak dapat diungkapkan dengan kata-kata, sungguh cantik.

Gunung Apo dari Tasik Venado






          Di tasik ini kami mengambil masa yang agak lama untuk makan tengahari dan berehat, sambil merakam gambar kenangan memandangkan jarak ke Summit Camsite tidak berapa jauh. Dari tasik ini kami dapat melihat megahnya Gunung Apo berdiri kukuh. Cuaca amat baik dan angin bertiup nyaman di sini. Kurang lebih pada pukul 4:00 petang kami bergerak ke Summit Camp dan pemandangan indah matahari terbenam semasa mendaki menemani kami.



Bersama Dr Gideon




        Kami sampai di Summit Camp sekitar jam 7:30 malam, di sini tapak khemah rata dan luas. Rumput di tapak khemah nampak sangat cantik namun kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitam menyebabkan kami terus masuk ke dalam khemah, walaupun kesejukan tidak membenarkan kami tidur nyenyak. Keesokan paginya kami menuju ke Puncak Apo 2954 meter, semangat berapi-api ke puncak mengatasi kesejukan membelah trek di awal pagi. Akhirnya saya dan teman-teman berjaya menjejakkan kaki ke tempat tertinggi di kepulauan Filipina pada pukul 8:00 pagi. Pemandangan alam dari atas puncak amat mengujakan umpama ada negeri di atas awan. Setelah memerah tenaga selama 3 hari tanpa mandi, cuma lawak jenaka teman-teman yang berkongsi minat berjaya membawa kami ke puncak ini dengan selamat. Apa lagi yang akan kami lakukan selain dari merakam gambar kenangan untuk diintai di hari tua nanti. Kami menyaksikan pemandangan indah dari berbagai sudut di puncak ini.

Menuju Puncak Apo 

Puncak Apo 2954 meter



Gambar kenangan di tempat tertinggi di Filipina.






Summit Camp
         Setelah puas bergambar umpama membayar perit ke puncak ini kami turun semula ke Summit Camp, berehat, makan, mengemas dan menerusan perjalanan turun. Dalam perjalanan turun kami menempuhi kawasan Boulders yang panas dan tandus kerana tidak terdapat pokok di kawasan ini. Di kawasan ini jugak kami melalui lohong yang masih aktif memuntahkan gas dan sulfur. Di kawasan Boulders sini juga terdapat pokok "wild berry" dan kami mengutip buahnya yang manis untuk dimakan namun guide tidak benarkan kami makan banyak khuatir keracunan kerana sulfur. Kami merentas kawasan Boulders kurang lebih 2 jam waktu tengahari panas terik. Perjalanan amat memenatkan kerana kawasan ini tidak berpohon untuk kami menumpang teduh.

Lohong yang masih aktif


"Wild Berry"
        Kami meneruskan perjalanan turun melalui Kem Godi-Godi. Perjalanan ke Kem Godi-Godi ini saya merasa sedikit tertekan kerana sepanjang perjalanan terdapat banyak papan tanda tertulis "Kem Godi-Godi - 3 hours" walaupun papan-papan tanda berjarak 2 hingga 3 jam trekking.


        Seterusnya kami melintasi Kem Baroring dan meneruskan perjalanan turun melalui Kampung Paradise. Setelah berjalan berjam-jam, kami melalui kebun sayur menandakan kami sudah hampir dengan kawasan perkampungan. Akhirnya kami sampai ke Kampung Paradise sekitar jam 7:00 malam. Kemudian kami meneruskan perjalanan dari Kampung Paradise ke Kapatagan dengan menaiki pikap. Dari Kapatagan kami menaiki lori ke Bandar Davao yang mengambil masa kurang lebih 3 jam. Di pertengahan jalan, tiba-tiba Guide menjerit menyuruh seorang peserta yang berdiri di dalam lori supaya duduk kerana kami sedang melalui kawasan yang sering berlaku kes culik untuk pampasan. Akhirnya kami sampai di Bandar Davao sekitar jam 1:30 pagi. Perjalanan ini amat memenatkan bagi saya namun ianya berjaya kerana dilakukan bersama teman-teman yang sama minat dan saling tolong menolong atas persefahaman dalam ikatan persahabatan. Ekspedisi yang sepatutnya dilakukan selama 6 hari telah disingkatkan kepada 4 hari, patutlah Ketua ekspedisi menamakannya "Ekspedisi Mega Travers".



Nota:
 1- Gunung ini terletak di Pulau Mindanao, maka keselamatan adalah keutamaan.
 2- Peralatan mendaki gunung seperti head lamp, pakaian, kasut, baju sejuk, rain coat dan lain-lain.
 3- Visa tidak diperlukan untuk ke Filipina.

       

Tiada ulasan: