Saya sering ke Bukit Bendera apabila teman dari luar Penang datang bercuti. Antara agenda mereka bila berehat di Penang pasti ingin melihat pemandangan Pulau Pinang (Penang) dari tempat tinggi. Kebiasaannya kami akan menggunakan khidmat keretapi untuk ke Bukit Bendera. Kali ini saya mendaki ke Bukit Bendera dengan teman yang sering mendaki ke sini. Dia membawa saya mendaki dari Jalan Taman Cantik. Kami bertolak dari rumah jam 7:00 pagi dan singgah untuk sarapan sebentar. Kami sampai di stesen keretapi di Bukit Bendera sekitar jam 8:00 pagi. Kami parkir kereta di kawasan perumahan sebelah kanan jalan menghala ke stesen keretapi. Kemudian kami berjalan kaki ke Jalan Taman Cantik dan menyusuri lorong mini tar di taman perumahan ini. Jika kita mendaki pada hari sabtu atau ahad, terdapat ramai pendaki yang mendaki dari kawasan ini atau kita boleh bertanya pada penduduk tempatan lorong ke Bukit Bendera jika tidak pasti.
Ada banyak trek ke puncak Bukit Bendera dari stesen keretapi dan yang paling popular adalah jalur Penang Hill Heritage Trail atau Trail Warisan. Teman saya mencadangkan kami mendaki dari lorong di Jalan Taman Cantik ini kerana trek di sini redup dan nyaman. Kami mula trekking pada jam 8:50 pagi. Trek sedikit menaik melalui kawasan kebun buah-buahan milik persendirian.
Kami mendaki secara santai dan ramai orang mendaki melalui jalur ini. Peminat mountain bike juga menggunakan jalur ini untuk aktivity kesukaan mereka ke Bukit Bendera. Sekali-sekala kami memberi laluan kepada menunggang mountain bike yang ingin naik atau pun turun melalui jalur ini. Sampai di satu persimpangan, teman saya mencadangkan kami mendaki melalui simpang ke kanan yang jarang digunakan. Kebiasaannya pendaki akan megikuti simpang jalur kiri kerana jaraknya lebih dekat. Kami melintasi beberapa aliran air bukit yang kecil dan melalui dusun buah durian yang sedang lebat berbunga. Sesekali kami berselisih dengan penunggang mountain bike.
Di penghujung jalur dari kanan ini kami bergabung dengan simpang Stesen 5 yang jalurnya bermula dari Taman Belia. Sekitar 5 minit meneruskan trekking, akhirnya kami sampai di Kafe 84. Kafe 84 tidak lagi beroperasi, bangunan separuh runtuh ini telah ditinggalkan dan terdapat tandas di tepi jalan berhampiran Kafe 84. Di Kafe 84 ini juga adalah pertembungan jalanraya dari Taman Botanic Garden (Taman Kebun Bunga). Terdapat banyak jalur mendaki ke Bukit Bendera dan antara yang popular adalah dari Moon Gate di Botanic Garden (Taman Kebun Bunga).
Kami berehat sebentar di simpang ini. Dari sini pendaki boleh mendaki melalui jalanraya untuk ke Bukit Bendara tetapi kami memilih untuk meneruskan pendakian menyusuri jalur Moniot Road St iaitu jalur di sisi Kafe 84.
Menyusur mini tar ke kanan ini kami melalui jalur yang agak sunyi. Kami juga melintasi satu simpang "By Path J" yang kami jangka adalah jalan pintas tetapi kami tidak melaluinya kerana tidak pasti hala tuju jalur tersebut. Di hujung jalur kanan itu kami bertemu dengan jalan raya dari Botanic Garden dan meneruskan perjalanan ke Bukit Bendera melalui jalanraya ini.
Melalui jalanraya ini kami melintasi Banglo Grace 1927, pintu jalan pintas "By Path J" dan bangunan lama Crag Hotel. Berjalan kaki di jalan besar ini kita perlu berhati-hati kerana terdapat banyak kenderaan melalui jalanraya untuk membawa penumpang naik dan turun Bukit Bendera.
Kami kemudiannya bertemu simpang jalan mini tar menuju Bukit Bendera di sisi jalanraya dan meneruskan perjalanan melalui jalur mini tar sebelah kanan ini. Sekitar lima minit melalui jalur mini tar ini kami pun sampai di Bukit Bendera. Kami sampai di Bukit Bendera pada jam 11:30 pagi setelah trekking sekitar 2 jam 40 minit. Bukit Bendera mempunyai beberapa puncak antaranya Penang Hill, Flagstaff Hill, Tiger Hill, Western Hill dan Goverment Hill. Flagstaff Hill 735 mdpl merupakan tempat pelancongan manakala Western Hill pula adalah puncak tertinggi iaitu 833 mdpl.
Tidak lengkap jika ke Bukit Bendera tanpa singgah dan menjamu selera di Astaka Bukit Bendera. Hidangan popular di sini adalah Ais Kacang dan jus buah-buahan.
Setelah berehat dan menyaksikan pemandangan Pulau Pinang dari Bukit Bendera ini, kami pun turun dengan menaiki keretapi. Disebabkan kami trekking ke sini, bayaran tambang cuma Rm 5:00 sahaja sehala dan dibayar di counter stesen bawah ketika membeli pas keluar.
1- Tiada bayaran di kenakan untuk mendaki bukit bendera.
2- Mendaki pada hari sabtu dan ahad adalah cadangan kerana terdapat ramai pendaki yang melakukan aktivity ini dan jalur di hutan tidak sunyi.
3- Bawa stick atau tongkat kerana terdapat anjing peliharaan yang kadang kala dilepaskan untuk mengawal rumah dan akan menyerang pendaki jika tidak bernasib baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan