Khamis, 26 Oktober 2017

Yehliu Geopark khazanah batu yang unik


      Kali pertama saya ke Taiwan pada 2013 dulu, saya tidak berpeluang ke Yehliu Geopark ini. Namun  pada masa itu saya berharap akan ke Taiwan lagi agar saya mempunyai rezeki melihat khazanah batu yang berbagai bentuk dan menyerupai berbagai objek di tepi lautnya yang jernih ini.


       Pada September 2017, saya ke Taiwan lagi untuk mendaki Gunung Jade (Yushan) dan berpeluang untuk ke sini setelah selesai mendaki. Saya bersama 3 orang teman menaiki bas dari Taipei Main Station seawal jam 07:00 pagi. Perjalanan menaiki bas berhenti-henti ini mengambil masa sekitar 90 minit dengan tambang NT96. Sampai di Yehliu Village kami pun turun dan meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sekitar satu kilometer ke pintu masuk Yehliu Geopark. Berjalan kaki ke pintu masuk Yehliu Geopark tidak terasa memenatkan kerana kami melalui bandar kecil dan kampung nelayan tepi laut.



      Terdapat banyak bot-bot nelayan dan restoran makanan laut di sini. Semasa berjalan kaki di bandar kecil tepi laut di Utara Taiwan ini, saya teringat drama Taiwan yang popular iaitu "Meteor Garden" yang juga membuat pengambaran di bandar ini.





     Sampai di pintu masuk Yehliu Geopark ini, kami terus membeli ticket. Yehliu Geopark ini dibuka setiap hari untuk lawatan dari jam 8:00 pagi hingga 17:00 petang. Terdapat kedai cederahati dan Pejabat Penerangan di pintu masuk geopark ini.



     Di pintu masuk ke Yehliu Geopark juga dipamerkan gambar-gambar batu yang menyerupai berbagai-bagai objek dan keterangan mengenai batu dan bentuknya. Batu-batu ini terbentuk dengan sendirinya melalui proses cuaca dan hakisan jutaan tahun dahulu. Kerana nilai dan bentuk batu-batunya yang unik, maka taman negara ini dijaga dengan rapi. Berbagai larangan disyaratkan semasa anda berada di sini antaranya dilarang membuang sampah, terlalu bising, merosakkan tumbuh-tumbuhan, berenang, melepasi garisan merah yang ditetapkan dan berbagai lagi.



      Kami memulakan pencarian objek di geopark ini setelah membaca serba sedikit info di pintu masuk sambil meneliti keratan yang dilampirkan. Objek pertama yang kami jumpa adalah "Queen's Head Rock" yang terkenal di geopark ini.


          Setelah merakam beberapa keping gambar di sini, kami meneruskan lawatan melalui jalan tar yang dibina. Memasuki kawasan tepi laut yang terbuka dan kerana kami sampai di sini sekitar jam 9:00 pagi, cuaca pada masa itu sangat panas. Terdapat pelantar tinggi dibina di kiri jalan dan pelawat dapat melihat keseluruhan tanjung di geopark jika naik ke pelantar tinggi ini. Di hadapan pelantar tinggi ini terdapat dua persimpangan dan kami memilih untuk ke kiri dahulu.



       Di persimpangan pertama ini saya menyaksikan batu-batu berbagai bentuk berdiri cantik di tebing laut. Di sini terdapat "Mushroom Rock" yang juga popular di Yehliu Geopark ini.


       Kami berjalan dan merakam gambar di celah-celah batu berwarna perang ini. Kami juga bermain teka-teka objek batu di sini. Sekiranya ke sini semasa cuaca redup pasti menyeronokkan. Meskipun berpanas, kami tetap menjelajah di tanjung tepi laut yang sepanjang 1.7  kilometer dan lebar 300 meter ini.





       Saya tercari-cari batu berbentuk "Sea Candles". Akhirnya saya nampak kumpulan batu-batu berbentuk lilin di tepi laut ini. Bentuk batu-batu seperti lilin ini lebih jelas jika dibasahi air ketika ombak memukul batu. Saya juga merakam gambar batu "Ginger Rock" yang terdapat di sini. Kami juga menjumpai batu objek "Icecream Rock".




     Kerana terlalu panas, saya lebih banyak berehat di bangku kayu yang terdapat di bawah tebing tinggi kerana kawasan ini terlindung dari panas namun masih nampak dengan jelas pemandangan batu-batu tepi laut ini. Setelah agak lama berehat, saya dan teman meneruskan lawatan ke simpang satu lagi. Pelantar kayu dibina di beberapa bahagian dan terdapat rumah api di hujung tanjung.



     Kami melalui jalan yang sebahagiannya di bina pelantar kayu untuk pengunjung melihat pemandangan di geopark. Tandas dan cafe juga terdapat di sini. Kami berjalan hingga ke hujung dan berehat seketika di cafe. Kerana panas terik, tambahan pula kepenatan, saya dan teman-teman mengambil keputusan untuk pulang setelah berada di sini lebih 3 jam. Dalam perjalanan ke pintu keluar, kami singgah dan naik ke pelantar di tebing tinggi sebentar. Dari atas pelantar ini kami melihat pemandangan geopark keseluruhannya. Setelah puas menyaksikan pemandangan sambil merakam gambar kenangan di pelantar tinggi ini, kami pun bersetuju untuk pulang. Sebelum melalui pintu keluar dari geopark ini, kami menjumpai batu objek "Leopard Rock".





     Melalui jalan keluar dari geopark ini kami meyusuri gerai-gerai jualan penduduk tempatan. Kebanyakan barang jualan mereka adalah hasil dari laut seperti makanan, pakaian, cenderahati dan perhiasan dari cengkerang.






      Saya bercadang ke sini lagi jika berkesempatan di masa akan datang kerana banyak lagi objek yang tidak dapat saya jumpai kali ini. Saya juga akan ke sini untuk melihat 3 gua yang tidak saya kunjungi pada lawatan kali ini. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk berkunjung ke Taiwan.
2- Tambang bas ke Yehliu Geopark dari Taipei Main Station adalah NT96.
3- Ticket masuk Yehliu Geopark adalah NT80 bagi seorang dewasa.
4- Waktu melawat di Yehliu Geopark adalah dari jam 08:00 pagi hingga 17:00 petang.
5- Jangan lupa bawa topi, payung dan krim tahan panas.


Tiada ulasan: