Selasa, 6 Ogos 2019

Gunung Pangrango trans Gunung Putri - Cibodas




Kami memulakan pendakian ke Gunung Pangrango ini dari Kem Kandang Badak. Sehari sebelum itu saya mendaki Gunung Gede dari laluan Gunung Putri dan bermalam di Kem Kandang Badak ini. Hari kedua saya di Taman Nasional Gunung Gede Pangrango ini, saya memulakan pendakian ke puncak Gunung Pangrango seawal jam 05:05 pagi bersama seorang teman. Pagi itu cuaca tidak begitu baik, angin bertiup agak kencang dan hujan renyai-renyai kadang kala jatuh ke bumi.


Mendaki Gunung Pangrango seperti mendaki gunung di Malaysia. Trek tanah dan tidak berpasir. Semakin tinggi kita mendaki, semakin banyak pokok-pokoknya disaluti lumut. Tidak banyak gambar yang dapat dirakam semasa mendaki gunung ini kerana cuaca gelap dan tidak banyak ruang pemandangan sepanjang jalur ke puncak. Kawasan rata untuk berkhemah di sepanjang jalur ke puncak juga agak terhad dan kami cuma jumpa dua buah khemah sahaja yang didirikan sepanjang trek ke puncak.


Kami berdua sampai di puncak Gunung Pangrango 3019 mdpl pada jam 08:05 pagi. Puncak Pangrango dikenali sebagai Puncak Mandalawangi dan ia merupakan pertemuan titik tiga buah daerah iaitu daerah Bogor, Cianjur dan Sukabumi. Tidak seperti Gunung Gede, Gunung Pangrango tidak pernah meletus.



Kami tidak berlama-lama di puncak Pangrango dan mulai turun menuju Kem Kandang Badak pada jam 08:25 pagi dan sampai di sana pada jam 10:10 pagi. Semasa kami menghampiri kawasan Kem Kandang Badak, kami berselisih dengan beberapa orang pendaki yang baru memulakan pendakian ke puncak Pangrango pagi itu.



Setelah berehat dan makan, kami berkemas dan bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan turun melalui laluan Cibodas. Jam 11:15 kami bertiga memulakan perjalanan turun melalui trek Cibodas dan trek ini amat menarik. Kami menempuhi beberapa buah air terjun antaranya air terjun Panca Weuleuh, Cibeureum dan air terjun bersuhu panas yang airnya dikatakan berpunca dari Gunung Gede.



Air terjun yang paling saya minat adalah air terjun yang bersuhu panas yang menjadi tarikan di trek Cibodas ini. Semasa melintasi kawasan ini pendaki harus hati-hati, kerana selain suhunya yang panas, batu-batu tempat berpijak semasa menyeberanginya juga amat licin. Kepada pendaki yang menggunakan kaca mata lebih sukar kerana kaca mata akan kabur.






Jam 13:40 petang kami sampai di Pondok Persinggahan Pangyangcangan dan persimpangan ke air terjun Cibeureum. Herman menyarankan kami ke air terjun tersebut kerana jaraknya dari simpang tidak berapa jauh dan waktu masih awal. Kami berdua berjalan menuju air terjun tersebut melalui trek yang dibina pelantar dari simen.



Kami sampai di air terjun Cibeureum setelah trekking 10 minit. Terdapat dua buah air terjun berkembar di situ yang terjun dari tebing batu tinggi. Kami berehat sebentar dan merakam beberapa keping gambar di sana dan berpatah balik ke persimpangan tempat Herman menunggu.




Kami sampai semula di persimpangan air terjun pada jam 14:15 petang dan meneruskan perjalanan turun. Dalam perjalanan ke pintu masuk Taman Nasional Gunung Gede Pangrango, kami singgah sebentar di telaga biru.




Hampir sampai di kawasan pintu masuk Taman Nasional, kami membuang sampah di tempat yang di sediakan, iaitu Bank Sampah. Kami sampai di Pintu Gerbang Kebun Raya Cibodas, Taman Nasional Gunung Gede Pangrango pada jam 15:15 petang.



Sebelum berangkat ke Garut untuk meneruskan pendakian di sana, kami makan di gerai yang terletak tidak berapa jauh dari Pintu Masuk Taman Nasional. Terdapat deretan gerai menjual cenderamata, baju, makanan tempatan, buah-buahan seperti strawbery dan lain-lain lagi. Setelah makan, kami menaiki van angkutan untuk ke perhentian bas menuju ke Garut. Kami menaiki bas pada jam 17:05 petang dan perjalanan ke Garut dianggarkan mengambil masa sekitar lima jam. Semoga selamat sampai. Terima kasih Allah.

Itinerary: xpdc July Jawa Barat.
Day 1
Perjalanan dari Airport Jakarta ke Ciawi, Bogor.
Day 2
07:30- Memulakan pendakian dari laluan Gunung Putri ke Gunung Gede.
18:00- Sampai Kem Kandang Badak.
Day 3
05:05- Mula mendaki ke Puncak Pangrango.
08:05- Sampai Puncak Pangrango.
08:25- Bergerak turun ke Kem Kandang Badak.
10:10- Sampai Kem Kandang Badak, berehat, sarapan dan bersiap sedia untuk turun.
11:15- Bergerak turun melalui trek Cibodas.
13:40- Sampai persimpangan Panyangcangan, air terjun Cibeureum
13:50- Rehat di air terjun Cibeureum.
14:15- Sampai persimpangan Payangcangan, meneruskan perjalanan turun.
15:15- Sampai Pintu Gerbang Kebun Raya Cibodas, Taman Nasional Gunung Gede Pangrango.
16:30- Menaiki van angkutan ke perhentian bas ke Garut.
17:05- Menaiki bas ke Garut dan meneruskan agenda.

Nota:
1- Wajib beserta surat pengesahan taraf kesihatan daripada doctor.
2- Bayaran permit Taman Nasional Gunung Gede - Pangrango:
a) Hari bekerja- Warganegara Indonesia Rp 29.000 , Warga Asing Rp 320.000 (2 hari 1 malam)
b) Hari libur- Warganegara Indonesia Rp 34.000, Warga Asing Rp470.00 (2 hari 1 malam)
# Jika pendakian 3 hari 2 malam, bayaran permit sekali ganda.
3- Contact  Porter: Herman +6287719897656

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hi. Awak dari Malaysia? Nak tanya details hike Gunung Gede, Pangrango. Boleh reply msg saya? Thanks.

Jurimahmohdariffin berkata...

Hi...nak datail apa? Kalau boleh saya bantu...