Selasa, 18 Ogos 2020

Bercuti di Pulau Kapas dan Pulau Gemia


Agenda utama saya bersama 14 orang teman bercuti ke Pulau Kapas pada awal August 2020 adalah mencandat sotong. Kami dari Penang bertolak sekitar jam 11:30 malam dan sampai di Kuala Terengganu sekitar jam 6:00 pagi. Kami bersarapan di gerai makan Kampung Rusila dalam perjalanan ke Jety Marang.


Pagi hari pertama kami sampai, setelah memakir kenderaan di tempat pakir berbayar di Jety Marang, kami ke counter Makcik Gemuk untuk membayar harga pakage sementara menunggu teman-teman dari Perak dan Kuala Lumpur sampai. Teman kami dari Perak tersasar ke Jety Merang memandangkan Jetty Merang dan Marang hampir mempunyai sebutan yang sama dan dua tempat ini mempunyai jety untuk ke pulau menyebabkan ramai pelancong keliru. 


Agenda kami di malam pertama pastilah tujuan utama. Tetapi menurut Alif yang menguruskan pakage mencandat sotong, ombak memukul setinggi tiga meter pada hari ini, lalu dia mencadangkan kami mencandat esok malam kerana ramalan cuaca memaparkan ombak cuma setinggi 1.3 meter sahaja. Kami sepakat bersetuju dan mengubah jadual aktivity kami. Setelah semua sampai dan bersedia, kami menaiki bot menuju ke Pulau Kapas pada jam 10:00 pagi. Perjalanan menyeberangi pulau mengambil masa sekitar 15 minit.



Di Pulau Kapas kami menginap di Ombak Kapas Chalet. Setelah check-in, kami memulakan aktivity Round Island. Kami dibawa mengelilingi pulau, singgah sebentar di Blue Pool. Disebabkan ombak agak besar, kami cuma melihat Blue Pool dari atas bot. 



Kemudian kami singgah di Pulau Gemia. Kami dibawa mandi manda di kawasan cantik di pulau persendirian ini. Terdapat sebuah resort dan suasana di pulau ini aman dan damai berbeza dengan Pulau Kapas yang meriah dan agak sesak di siang hari.








Kami mengambil masa agak lama bermandi manda dan merakan gambar di air jernih berbatu perang kehitaman ini memandangkan kami tidak ada jadual khusus petang itu. Setelah puas mandi manda, pemandu bot menjemput kami untuk melengkapkan perjalanan mengelilingi Pulau Kapas hari itu. Selesai 'round island', kami pulang semula ke chalet dan menjamu selera tengahari itu. Di sebelah petang pula aktivity bebas. Kami berehat di pantai sambil makan-makan. Kemudian kami sepakat berjalan kaki di pantai menghala ke Bukit Singa.




Trek menghala ke Bukit Singa dibina pelantar simen bertangga dipersisiran pantai. Sekali sekala jalur menaik dan menurun menyebabkan kami sedikit termengah-mengah. Memandangkan jadual ke Bukit Singa adalah keesokan paginya, kami cuma berjalan sekadar yang perlu sahaja sambil merakam gambar dan menyaksikan matahari terbenam.





Malam itu kami mengambil pakage BBQ. Memandangkan kami telah melalui perjalanan jauh malam sebelumnya, ramai di antara kami tidur awal untuk merehatkan badan. Beberapa orang teman yang berprinsip enggan membazir masa tidur semasa bercuti, mengambil kesempatan berehat di pantai. Di waktu malam, pantai di hadapan chalet agak tenang dari kunjungan orang awam, tidak seperti waktu siang yang padat dan riuh. 


Keesokan paginya selepas sarapan, kami menaiki bot menuju ke Bukit Singa. Bukit Singa terletak di hadapan Pulau Gemia. Sekiranya air pasang, bot boleh mendarat di kaki Bukit Singa dan pengunjung cuma memerlukan masa sekitar lima hingga sepuluh minit untuk mendaki bukit tempat menyaksikan Bukit Singa.


Hari itu air laut agak surut, jadi kami diturunkan di pantai terakhir kami susuri petang semalam. Dari pantai kami diturunkan, guide membawa kami menyusuri jalur menuju ke Bukit Singa. Sesekali kami berjalan di dalam air dan di atas batu yang agak tajam kerana jalur semulajadi ke Bukit Singa masih dikekalkan di sini.



 
Saya melihat Bukit Singa merupakan batu yang menganjur dari Pulau Kapas. Bentuknya yang menyerupai seekor singa yang sedang baring, mungkin menjadikannya istimewa dan salah satu tarikan di Pulau Kapas. Untuk melihat bentuk singa tersebut, pengunjung perlu mendaki sedikit bukit di hadapan Bukit Singa ini. Bukit yang tegak sekitar 50 darjah ini lebih tinggi dari Bukit Singa dan menjadikannya tempat sesuai untuk merakam objek batu Bukit Singa.



Dari atas bukit di hadapan Bukit Singa, pemandangan indah Pulau Kapas lebih terserlah. Air laut yang memukul batu telok-telok di bawah sana kelihatan jernih mempesonakan. Kami berehat agak lama di sini sambil merakam gambar dari berbagai sudut dan aksi. Kemudian kami dibawa ke 'spot snorkling'. Dari Bukit Singa, sebuah bot kecil pula menjemput kami, jadi bot kecil ini boleh mendarat di kaki Bukit Singa dan kami tidak perlu berjalan ke pantai di mana kami diturunkan tadi. 





Spot snorkling yang kami lawati tidak begitu menarik. Kami tidak berlama-lama di sana. Sekadar snorkling ala kadar, kami pun meminta pemandu bot membawa kami pulang ke chalet untuk makan tengahari. Petang itu kami cuma berehat dan aktivity bebas sementara menunggu jadual mencandat yang bermula pada jam 17:30 petang. Setelah semua bersedia, bot menjemput kami pada jam 18:00 petang. Kami belayar ke tengah Laut China Selatan dengan menaiki dua buah bot. Perjalanan mengambil masa sekitar sejam.


Setiap bot ditemani dua orang guide yang mahir dan berpengalaman. Sampai di tengah lautan luas, bot dihentikan dan pemandu bot memastikan di mana sauh akan diturunkan berpandukan tiupan angin. Saya melihat terdapat beberapa buah bot telah sedia di sana dengan tujuan yang sama seperti kami. Setelah kedudukan bot ditetapkan, pemandu bot mengajar kami cara mencandat sotong.



Kami bersorak kegembiraan bila teman kami berjaya mencadat sotong pertama bagi bot kami. Setelah matahari terbenam, pemandu bot memasang beberapa buah lampu untuk menarik perhatian sotong. Sejak lampu dipasang, semakin galak sotong berjaya kami candat. Sekitar jam 22:00 malam, tiba-tiba ribut melanda tanpa amaran. Saya dan beberapa orang teman agak cemas dan bila pemandu bot bertanya samada kami mahu pulang, langsung kami bersetuju. Tambahan pula beberapa orang teman yang mabok teruk sejak bot berhenti di tengah lautan petang tadi kelihatan amat lemah. Kebanyakkan bot candat yang lain, terus bertahan kerana mereka mungkin berpendapat ribut hanya seketika. Saya dan teman-teman sepakat pulang, tambahan pula hasil candat kami tidak mengecewakan malam itu


Setibanya kami di chalet, kami meminta petugas chalet menyediakan bara untuk membakar sotong. Hasil dari dua buah bot memang agak banyak. Larut malam itu, kami menjamu selera sepuasnya dengan sotong bakar segar.





Keesokan paginya kami sedia untuk pulang sekitar jam 10:00 pagi. Sampai di Jety Marang, kami berkumpul sebentar di counter Makcik Gemuk untuk berjumpa Alif. Setelah semua selesai, kami bersurai kerana kami datang dari tempat berbeza. Saya dan beberapa orang teman mengambil kesempatan bergambar di Pesisir Payang berlatar belakangkan Jambatan Angkat. Kemudian kami membeli belah di Pasar Payang.





Selesai membeli belah, percutian kami berakhir di Pasar Payang. Teman-teman yang lain meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Saya dan lapan orang teman menuju pulang ke Penang. Sebelum meneruskan perjalanan pulang, kami mencari gerai yang sudi memasak sotong hasil tangkapan kami malam tadi. Beberapa buah kedai makan menolak untuk memasak sotong yang kami bawa walaupun kami menawarkan bayaran mengikut kemahuan mereka. Akhirnya Restaurant Wawak Addin sedia mengoreng sotong yang kami bawa. Baki sotong yang tidak bergoreng kami bawa pulang. Terima kasih staf  Restaurant Wawak Addin Kuala Terengganu.



Setelah  puas menjamu selera dengan sotong celop tepong, kami meneruskan perjalanan  pulang. Kami menyusuri jalan tepi laut kerana berhajad singgah di Surau Langgar Rindu yang terletak di Kampung Rhu Tapai, Merang. Surau yang didirikan oleh Hj Abdul Karim Embong ini berasaskan Kayu Tembusu  sangat unik dan hampir siap sepenuh. Seni bina Surau Langgar Rindu ini sungguh menarik. Kelihatan klasic dan damai. 



Kemudian kami meneruskan perjalanan pulang ke penang. Percutian yang padat activity pasti meletihkan. Untuk mengelak memandu dalam keadaan letih, kami menyewa sebuah van berserta pemandu. Van ini selalu kami sewa bila bercuti di Negara Thailand. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang, kesemua kami boleh berehat dan kami juga boleh singgah mengikut kehendak kami berbeza jika kami menaiki bas.


Kami selamat sampai di Penang sekitar jam 01:30 pagi setelah singgah di beberapa buah tempat. Kami mungkin mengulangi percutian mencandat sotong di tahun akan datang. Terima Kasih Allah.

Nota:
1- Musim mencandat di Pantai Timur Semenanjung Malaysia bermula dari bulan April sehingga September setiap tahun.
2- Pakage mencandat dan Pulau Kapas contact Alif- +60 148248535
3- Transport van contact Alim- +60 194403630

Tiada ulasan: