Jumaat, 14 Ogos 2020

Mencandat sotong di Pulau Kapas



Saya bersama 15 orang teman bercuti ke Pulau Kapas dan agenda utama kami adalah untuk mencandat sotong. Kesemua kami tidak pernah mencandat sotong dan pasti ini merupakan permulaan yang akan menentukan samada kami akan mengulangi aktivity ini di masa akan datang atau serik. Memandangkan ini kali pertama kami mencandat, berbagai petua, persediaan dan pil mabok laut kami beli. Hari pertama kami sampai, Alif yang menguruskan pakage mencandat sotong memberitahu kami ramalan ombak laut tinggi pada hari itu. Dia mencadangkan kami mencandat esok malam. Menurut ramalan cuaca, ombak membadai setinggi 1.3 meter malam esok berbeza 3.0 meter pada malam ini. Kami yang kurang berpengalaman tentang keadaan laut bersetuju menangguhkan aktivity mencandat keesokkan malamnya.


Di Pulau Kapas kami menginap di Chalet Ombak Kapas. Petang hari kedua, jam 17:30 petang kami telah siap sedia untuk pergi mencandat. Jam 18:00 petang kami seramai 15 orang berangkat menaiki dua buah bot menuju ke tengah Laut China Selatan.



Setelah belayar sekitar sejam, kami sampai di tengah laut yang luas. Terdapat beberapa buah bot terpakir di sana dengan tujuan yang sama dengan kami. Setelah pemandu bot pasti tempat untuk melabuhkan sauh, kerja-kerja mencari kedudukan bot untuk dihentikan mengikut arah tiupan angin pun bermula. Di sini saya melihat pengalaman dan pengetahuan alam di laut luas menjadi tunjang penting sebagai nelayan. Sejak bot dihentikan, beberapa orang teman saya mula mabok dan tidak berdaya berdiri tegak. Saya dan beberapa orang teman masih bertahan dan semangat mencandat terus membara.



Selepas semua sedia dan matahari tenggelam, kami mula mencandat. Bila hari semakin gelap, pemandu bot memasang beberapa buah lampu untuk menarik perhatian sotong. Bila kawan saya menaikkan seekor sotong pertama untuk bot kami malam ini, teriakkan kegembiraan pun bergema di malam pekat tengah Lautan China Selatan. Sejak itu semakin galak sotong dinaikkan memberangsangkan semangat kami. Setiap ekor sotong yang berjaya dinaikkan, pasti kami bersorak riang seolah menang bola piala dunia.




Jam 22:00 malam, tiba-tiba ribut melanda tanpa memberi isyarat terlebih dahulu dan saya sedikit panic namun awak-awak bot kelihatan tenang melakukan kerja yang sepatutnya mereka lakukan. Mereka bertanya samada kami mahu pulang atau bertahan. Saya dan teman-teman sepakat mengambil keputusan untuk pulang kerana ada teman yang telah mabok teruk dan kami juga telah puas mencandat. Dalam perjalanan pulang ke chalet, kami singgah sebentar di sebalik sebuah pulau untuk berlindung dari ribut. Menurut pemandu bot, kebanyakkan bot yang mencandat bertahan di tengah laut dan tidak pulang kerana menurut naluri mereka, ribut mungkin tidak berpanjangan. Dari jauh saya melihat lampu-lampu bot masih berada di tengah laut. Kami yang hanya ingin merasai pengalaman mencandat tidak mahu mengambil risiko dan mengambil keputusan untuk pulang, tambahan pula hati dan semangat kami tidak setegar mereka.



Setelah selamat sampai di chalet, kami terus membakar sotong segar yang berjaya kami naikkan tadi. Dengan pertolongan pekerja chalet menyalakan arang dan bara, kami bekerjasama menyediakan peralatan dan ramuan asas membakar sotong dan pencicah. Ma Sya Allah, memang enak rasa sotong segar. Kami menjamu selera sepuasnya tengah malam itu.



Keesokan paginya, jam 10:00 pagi kami berangkat pulang dengan membawa baki sotong yang kami candat malam tadi. Setibanya kami di Kuala Terengganu, setelah bergambar di Jambatan Angkat dan membeli belah di Pasar Payang, kami mencari kedai makan yang sedia memasak hasil tangkapan kami malam tadi. Beberapa kedai yang kami singgah keberatan memasak sotong yang kami bawa dan akhirnya sebuah kedai berjaya dipujuk untuk mengoreng sotong kami.




Terima kasih pada Restoran Wawak Addin Kuala Terengganu yang ramah dan sporting mengoreng sotong yang kami tangkap malam tadi dengan bayaran mengikut keikhlasan kami. Saya pasti ke restoran ini lagi jika berkunjung ke Kuala Terengganu di masa akan datang. Kalau pembaca ke sini, pastikan cuba minuman Lemon Selasih Pudina yang nikmat rasanya. Walaupun sotong goreng tepong mudah didapati di sekitar Kuala Terenganu dan sepanjang jalan pulang, tapi rasa sotong hasil tangkapan sendiri lebih enak dimakan dengan kenangan manis. Setelah puas menikmati sotong goreng, kami nekad dan sepakat untuk mencandat lagi di masa akan datang. Serik mungkin pada teman yang mabok semasa mereka di tengah laut, tapi tidak setelah mereka menjejakkan kaki di tanah. Tambahan pula hasil tangkapan menjadi suntikan semangat. Walaupun hasil candat kami tidak banyak tapi rezeki Allah beri malam itu mencukupi dan berlebihan untuk kami rasai bersama. Semoga bila mencandat di masa akan datang kami lebih bersedia dan dimurahkan rezeki. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Musim mencandat bermula pada April sehingga September setiap tahun.
2- Ambil pil mabuk sejam sebelum belayar pada yang mabuk laut.
3- Contact mencandat, Alif +60148248535.

Tiada ulasan: