Khamis, 16 Jun 2022

Mendaki Gunung Perlis di Perlis


Kerana statusnya sebagai gunung tertinggi di Perlis, dan kedudukkannya di titik paling utara di  Semenanjung Malaysia, maka saya agak teruja untuk mendaki ke Gunung Perlis ini. Saya dan sembilan teman merancang mendaki ke gunung ini pada awal June 2022. Jika bercerita tentang dugaan ke puncak pasti ramai pendaki akan membatalkan pendakian ke Gunung Perlis ini. Bukan kerana kesukaran jalur ke puncaknya yang amat menduga tetapi peperangan menentang dan menepis gigitan pacat yang tidak saya duga banyaknya mencabar sedikit kesabaran saya. Pendakian Gunung Perlis mengingatkan saya pada pendakian dua gunung di Boneo iaitu Gunung Tambayukon dan Gunung Murud. Persamaan Gunung Perlis dengan Gunung Murud adalah trek kedua gunung ini meniti perbatasan dua negara, Gunung Perlis sempadan Malaysia Thailand manakala Gunung Murud, perbatasan Malaysia Indonesia. Persamaan Gunung Perlis dan Gunung Tambayukon pula, cabaran menghadapi serangan pacat yang bertubi-tubi dari mula pendakian sehingga ke penghujung perjalanan. 



Kami berkumpul di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian agak lewat dari jadual yang dirangka oleh Cikgu khayril selaku guide. Setelah bersedia kami memulakan pendaki pada jam 09:00 pagi dari jalur Denai Gunung Perlis dan berakhir keluar melalui jalur Denai Putera Denmark sejauh sekitar 13 kilometer. Terdapat 16 station yang harus ditempuhi sepanjang perjalanan dan puncak Gunung Perlis terletak di Station 9.


Seperti biasa, saya yang bergerak perlahan mendaki dalam kumpulan terakhir. Kami sampai di Station 1 pada jam 09:20. Terdapat Wakaf Wang Burma di sini menandakan persimpangan ke Gua Wang Burma. Kami meneruskan pendakian melalui jalur di sebelah kiri wakaf dan sampai di Station 2 sekitar jam 10:15, terdapat jeram kecil di sini. Kami sampai di Station 3 pada jam 10:25, meneruskan pendakian ke Station 4 dan kemudian sampai di Station 5 pada jam 11:30 pagi.







11:40 pagi kami sampai di Station 6 dan seterus tiba di Station 7 pada jam 11:50. Terdapat beberapa jeram kecil sepanjang trek di Gunung Perlis yang kami gunakan sebagai air minuman. Meneruskan pendakian kami sampai di Station 8 pada jam 12:15 dan akhirnya kami di kumpulan belakang sampai di puncak Gunung Perlis di Station 9 pada jam 12:45. Puncak Gunung Perlis, 733.7mdpl ditanda dengan batu sempadan Siam dan Perlis. Terdapat juga papan tanda besar di puncak gunung yang dikelilingi pokok ini. Kami berehat sambil makan dan minum di puncak redup yang memisahkan negara Malaysia dan Thailand ini.






Kami bergerak turun pada jam 13:20. Sepanjang pendakian naik turun Gunung Perlis, kami menyusuri sempadan dua negara. Laluan ini juga merupakan laluan aktivity penyeludupan antara dua negara dan sebaiknya pendaki yang ingin mendaki ke sini mengunakan khidmat guide agar tidak tersasar ke negara jiran walaupun jalur jelas dan bertanda. Kami sampai di Station 10 pada jam 13:40. Tanpa berhenti kami meneruskan perjalanan dan sampai di Station 11 pada jam 14:00 petang. Station 11 merupakan persimpangan terakhir ke negara Thailand di jalur pendakian Gunung Perlis. Saya sedikit hairan kerana pada jam 14:20 kami sampai di Station 14 tanpa melintasi Station 12 dan Station 13. Meneruskan perjalanan kami melintasi Station 12 pada jam 14:40 dan sampai di Station 13 pada jam 13:05. Terdapat sebuah wakaf di Station 13 dan kami berehat sebentar di pondok ini.






Setelah berehat sambil memeriksa pacat yang menyerang, kami meneruskan perjalanan dan sampai di Station 15 pada jam 15:30. Kami melanjutkan perjalanan dan sampai di Station 16 yang juga dikenali sebagai Jeram Botol pada  jam 15:50. Melangsungkan perjalanan kami akhirnya sampai di penghujung jalur iaitu di Denai Putera Denmark pada jam 16:15 petang. Sepanjang perjalanan,selain pacat, kami juga terjumpa beberapa spisis cendawan yang berbagai warna dan saiz.








Contact guide:
Cikgu Khayril -012 5826858
Itenerary:
09:00 -Start mendaki dari jalur Denai Gunung Perlis
09:20 -Station 1- Wakaf Wang Burma
10:15 -Station 2 -Batu Besar, Jeram 1
10:25 -Station 3-Kayu Balak Potong
11:10 -Station 4 -Jeram 2, Jeram Kain Siam
11:30 -Station 5 
11:40 -Station 6
11:50 -Station 7 -Last water point
12:15 -Station 8
12:45 -Station 9 -Puncak Gunung Perlis, bergerak turun jam 13:20
13:40 -Station 10 
14:00 -Station 11 - Simpang 2 sempadan
14:20 -Station 14 -Simpang Laluan 2
14:40 -Station 12
15:05 -Station 13
15:30 -Station 15 -Jeram Kecil
15:50 -Station 16 -Jeram Botol
16:15 -Denai Putera Denmark

Tiada ulasan: