Isnin, 4 September 2023

Srinagar dan Ladark tertarik dan menarik.



Dua tempat di India ini merubah pandangan saya terhadap India. Dua tempat ini mengamit saya untuk datang lagi ke negara ini. Dua tempat ini jauh di utara tapi merupakan tempat mesti lawat jika ke India. Tujuan saya ke Srinagar adalah ingin trekking di Kashmir Great Lake dan sebab  saya ke Leh, Ladakh kerana filem 3 Idiots.
Saya bersama tiga teman ke India pada akhir July 2023 selama 15 hari untuk menyaksikan indahnya jalur dan tasik di Banjaran Himalaya. Kami bertolak dari Kuala Lumpur menuju Delhi lewat petang, sampai di Delhi tengah malam dan kami bermalam di Delhi. Keesokan paginya kami meneruskan penerbangan ke Srinagar. Di sebelah petang kami bersiar di bandar Srinagar dan di Tasik Dal yang menjadi tarikan pelancong di Srinagar.






Hari ketiga kami menaiki kenderaan ke Shitkari, Sonamarg yang berjarak sekitar 80 kilometer dari Srinagar untuk memulakan trekking. Trek Kashmir Great Lake dibuka selama tiga bulan setiap tahun, dari bulan July hingga September. Trekking di jalur ini memerlukan masa tujuh hari trekking termasuk sehari rehat atau untuk masa kecemasan seperti keadaan cuaca. Trek bermula dari Sonamarg dan berakhir di Naranag atau sebaliknya.








Kami trekking di banjaran tinggi Himalaya dan sepanjang tujuh hari trekking kami melintasi tiga puncak banjaran yang melebihi 4000 meter dan melintasi lapan buah tasik yang besar. Semasa trekking di Banjaran Himalaya ini, salji masih belum cair sepenuhnya dan banjaran hijau ini diliputi bunga-bunga liar yang sedang mengembang. Ratusan ribu biri-biri jinak meragut rumput, air terjun dan sungai mengalir jernih. Di waktu malam pula jutaan bintang bertabur di langit. Pemandangan sepanjang jalur saya anggap taraf 5 bintang.















Hari kesembilan kami sampai di Kampung Naranag di mana trek kami berakhir. Kami kembali ke Srinagar dan bermalam di House Boat di Tasik Dal. Di sebelah petang kami mengambil pakage Shikara Ride iaitu aktivity menaiki sampan bersiar di Tasik Dal. Kami melihat indahnya matahari terbenam dari dalam sampan di tasik terbesar di Srinagar petang itu sambil berehat dan merakam gambar.







Hari kesepuluh, seawal jam 7:00 pagi, selepas sarapan kami berangkat ke Leh, Ladark yang berjarak sekitar 421 kilometer dengan menaiki kereta sewa. Perjalanan membelah tanah tandus ala padang pasir ini mengambil masa sekitar 12 jam, berbelok-belok dan naik turun melintasi puncak banjaran. kami berhenti di beberapa point sepanjang perjalanan seperti Zojila Pass Zero Point yang berketinggian 11649 kaki. 





Kemudian kami meneruskan perjalanan dan berhenti sebentar di Namikala yang berketinggian 12198 kaki. Kami merakam gambar sebentar di sini. Kami berhenti banyak kali sepanjang perjalanan untuk menserasikan badan dengan ketinggian walaupun baru turun dari puncak banjaran yang melebihi 4000 meter semasa trekking kemarin.







Kemudian kami meneruskan perjalanan dan berhenti lagi di Fotula Top, tempat tertinggi di jalanraya yang sedang dibina antara Srinagar dan Leh. Ketinggian Fotula Top adalah 13479 kaki. Sebelum sampai di bandar Leh, kami berhenti di beberapa tempat dan di jalan lurus tanah gersang untuk merakam gambar.










Kami sampai di Bandar Leh sekitar jam 19:30 malam. Setelah mendapat bilik hotel, kami keluar ke Leh Main Bazar. Leh merupakan bandar terbesar di Ladark yang terletak di sempadan Tibet, China. Bentuk muka buminya bergunung ganang dan berbatuan. Kebanyakan penduduknya menganut ajaran Budha. 




Hari kesebelas kami penuhi dengan melawat tempat tarikan pelancong sekitar bandar Leh. Tempat pertama lawatan kami adalah The Druk White Lotus School yang menjadi Rancho School dalam filem 3 Idiot. Disebabkan lokasi Ladark terletak di sempadan Negara China, maka terdapat banyak stupa dan monastery ataupun biara yang menjadi tempat lawatan. 



Antara tempat lawatan kami adalah Hemis Monastery, Thiksay Monastery, Leh Palace, Shanti Stupa dan berakhir di Leh Market. Kami cuma bergambar dihadapan monastery ataupun biara sahaja kerana tidak berminat untuk melawat ke dalam kecuali melawat Istana Leh. 



Leh Palace merupakan binaan dan karya agung Dinasti Namgyal iaitu Dinasti Kedua Ladark. Istana ini mengambil masa tiga tahun untuk dibina dan siap pada tahun 1635 masehi. Senibina istana gaya Tibet ini menggunakan batu dan kayu berkualiti tinggi dan menyerupai Patola Palace di Lhasa, Tibet. Istana ini dibina sembilan tingkat dan mempunyai lebih seratus bilik. Tingkat bawah digunakan untuk para pekerja dan ruang penyimpanan makanan.  Tingkat empat untuk aktiviti sosial dan kebudayaan keluarga bangsawan manakala tingkat lima untuk menteri dan para pegawai. Tingkat enam dan tujuh adalah ruang dan bilik keluarga diraja manakala tingkat lapan adalah bilik-bilik sampingan. Tingkat sembilan pula untuk ruang pertahanan istana. Kami akhiri lawatan hari ini di Leh market.







Hari ke dua belas, kami bertolak sekitar jam 10:00 pagi menuju ke Pangong Lake kira-kira 140 kilometer dan mengambil masa kurang lebih lima jam. Perjalanan ke Pangong Lake kebanyakannya tidak berturap, berbelok-belok membelah kawasan gersang naik dan turun banjaran. Namun pemandangan amat indah dalam cuaca dingin. Kami singgah sebentar di Changla Pass yang berketinggian 17586 kaki. 









Dalam perjalanan kami juga singgah di beberapa tempat menarik untuk makan minum dan bergambar. Kami singgah di satu kawasan terdapat sekumpulan binatang yang hidup di dalam lubang tanah. Inilah pertama kali saya melihat Marmot, binatang yang menyerupai tupai tetapi bersaiz besar. Marmot yang hidup bebas ini agak jinak untuk dirakam gambarnya. Kami juga singgah bergambar di kawasan shooting filem Jap Tak Hai Jaan lakonan shah rukh Khan.








Kami sampai di Pangong Lake ataupun Pangong Tso sekitar jam 17:00 petang. Pangong Lake merupakan salah satu tempat shooting filem 3 Idiot dan menjadi terkenal setelah filem itu berjaya memecah rekod tayangan. Tasik yang luas ini dikongsi dua negara dengan pecahan 30 peratus berada di negara India manakala 70 peratus dimiliki negara China. Air tasik yang biru ini kadangkala bertukar warna kemerahan dan kehijauan mengikut keadaan cuaca. Pangong Lake berada di ketinggian 4350 meter.









Malam itu kami bermalam di glamping kawasan Pangong Lake. Keesokkan paginya jam 09:00 pagi selepas sarapan kami berangkat ke Nubra Valley yang berjarak sekitar 170 kilometer dan mengambil masa kurang lebih 7 jam perjalanan. Jalan ke Nubra Valley juga banyak yang tidak  berturap dan jalan masih berbelok-belok melintasi kawasan tandus naik dan turun banjaran. Kata kawan saya, kami seperti berada dalam tin kosong yang digoncang sepanjang perjalanan dari Srinagar dan di  Ladark ini. Jalan masih dalam pembinaan dan kebanyakannya berbatu kerikir menyebabkan kami bergoyang-goyang dan terhentak-hentak. Jam 16:30 petang kami sampai di Hunder Sand Dune, padang pasir yang luas untuk aktivity menunggang unta.










Selain menunggang unta, berbagai aktivity lain terdapat di Hander Sand Dune dan di padang pasir di Nubra Valley ini seperti aktivity memanah, memandu ATV, berbasikal atau mountain bike, xpdc bermotosikal dan berbagai. 








Kemudian kami check in di glamping Nubra Ethenic Camp di Nubra Valley. Glamping ini saya rekomen kepada pembaca. Penginapan selesa, lokasi berhadapan gunung dan berdekatan sebatang sungai berbatu yang jernih, boleh bermandi manda jika tahan sejuk. Glamping menyediakan air panas.







Hari keempat belas kami berangkat pulang ke Leh sekitar jam 9:00 pagi selepas sarapan. Jarak Nubra Valley ke Leh kira-kira 120 kilometer dan mengambil masa sekitar lima jam. Dalam perjalanan ke Leh, kami singgah di laluan paling tinggi iaitu Khardung La Pass 5602 meter. Saya sedikit pening setibanya di sini. 










Kami sampai di Leh sekitar jam 14:30 petang. Setelah check in dan berehat sebentar, kami keluar membeli belah di Leh bazar. Petang itu Leh bazar agak meriah dengan persembahan tarian dari pelajar sekolah. Kami membeli cenderahati buat kali terakhir sebelum berangkat pulang keesokkan harinya.









Hari kelima belas kami berangkat pulang ke Delhi dengan penerbangan awal pagi pada jam 08:00 pagi. Sampai di Delhi kami ke Masjid Jamek dan makan di restaurant nasi beriani berhampiran masjid. Setelah makan kami berjalan sebentar melihat berbagai jenis makanan tempatan yang didagangkan.









Selepas menjamu selera, kami ke India Gate, monument popular di bandar Delhi untuk merakam gambar. Kami tidak berlama-lama di sana kerana cuaca panas.


Sementara menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur tengah malam itu, kami habiskan masa di pusat beli belah DLF Promenade. Pusat beli belah ini agak mewah dan tidak berapa jauh dari Delhi Airport.


Srinagar dan Ladark merupakan dua tempat mesti lawat jika ke india. Pemandangan di Srinagar sangat indah terutama jika trekking di kawasan pergunungannya. Penduduk Srinagar majority beragama islam. Ladark pula mempunyai bentuk muka bumi yang berbeza dan menarik. Berada di dua bandar ini juga serasa berada di dalam kem tentera. Tentera mengawal di mana-mana, serata tempat dan ceruk. Bercuti di tempat begini mungkin sedikit sebanyak meresahkan pelancong yang sensitif.

Contact perkhimatan pelancongan:
Nawab - +91 8825034611 (rekomen)


Day 1- Kuala Lumpur - Delhi.
Day 2- Delhi - Srinagar.
Day 3- Srinagar- Shitkadi, Sonamarg - mula  trekking ke Nichanai.
Day 4- Nichanai - Vishansar Lake.
Day 5- Rehat sebab hujan.
Day 6- Vishansar Lake- Gadsar.
Day 7- Gadsar - Mengan Dob.
Day 8- Mengan Dop - Nundkol Lake.
Day 9 - Nundkol Lake - Naranag - Srinagar.
Day 10- Srinagar - Leh, Ladark.
Day 11- Leh- sesi lawatan.
Day 12- Leh - Pangong Lake.
Day 13- Panggong Lake - Nubra Valley
Day 14- Nubra Valley - Leh
Day 15 - Leh - Delhi ke Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: