Rabu, 30 Oktober 2024

Dari Pattani ke Narathiwat Thailand


Telah lama saya ingin menziarahi Masjid Kerisik di Pattani ini. Dalam perjalanan saya dan seorang teman menjelajahi Selatan Thailand, kami singgah di Pattani dalam perjalanan dari Yala ke Narathiwat. Pagi itu setelah sarapan kami ke Masjid Besar Yala.

Sebelum meninggalkan Bandar Yala, kami ke Art Street Yala sebentar. Lukisan dinding di Art Street ini terdapat di merata dinding dan tidak sebanyak lukisan mural di setengah bandar lain yang telah saya lawati. Kami tercari-cari gambar mural di beberapa deretan kedai dan penduduk tempatan menunjukkan kepada kami di mana kedudukan lukisan dinding yang dilukis.  Tidak berlama-lama di Art Street Yala, kami meneruskan perjalanan ke Pattani.



Hasrat menjamu selera di Santai Budaya yang tidak tertunai semalam, kami langsaikan hari ini walaupun kami terpaksa berpatah balik sedikit. Kedai makan selera kampung melayu ini terletak di tepi jalan besar. Tulisan jawi di papan tanda kedai ini sedikit memberi aura masyarakat melayu dahulu kala.





Selesai makan kami ke Replika Al-Quran Gergasi di Kampung Pak Pungoh. Perjalanan menggunakan Google Map dan kami sampai di lokasi tersebut lebih 30 minit memandu.



Replika Al-Quran ayat Al-Isra' itu dibina oleh pemuda kampung secara gotong royong di bulan Ramadhan pada waktu malam selepas solat terawih. Di kiri dan kanan replika tersebut pula dibina replika Gua Hira' dan Bukit Uhud. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pattani. Hari itu Bandar Pattani agak sebuk kerana menyambut kedatangan Raja Thailand. Kami yang tidak menempah bilik hotel menghadapi kesukaran mencari bilik penginapan untuk malam itu kerana hampir seluruh hotel di Bandar Pattani penuh. Pencarian kami berakhir lewat petang apabila terdapat sebuah lagi bilik kosong di Southern View Hotel. Malam itu kami hanya berehat di bilik hotel. Keesokkan paginya kami bersarapan di Roti De Forest.



Selesai sarapan kami memulakan perjalanan ke Narathiwat. Sebelum keluar dari Bandar Pattani, kami singgah di Masjid Pattani ataupun Pattani Central Mosque. Malangnya kami tidak dibenarkan masuk kerana ada acara menyambut kedatangan Raja Thailand pada hari itu. Pengelola majlis meminta kami datang selepas waktu zohor kerana majlis menyambut Raja Thailand akan berakhir beberapa jam lagi. Disebabkan kami perlu meneruskan perjalanan ke Narathiwat, kami berazam akan datang lagi lain kali. Kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar ladang garam semula jadi Sweet Salt.



Pembikinan garam semulajadi di sini berlaku dari bulan January hingga April namun bekalan garam asli untuk jualan mencukupi untuk sepanjang tahun. Kemudian kami singgah minum di sebuah restaurant viral, Banlay Seafood tidak berapa jauh dari ladang garam. 



Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Masjid Kerisik. Masjid Kerisik atau dalam bahasa Thailand Krue Se atau nama sebenarnya Masjid Sultan Muzaffar Shah merupakan masjid tertua di Asia Tenggara. 



Masjid ini dibina menggunakan bata merah buatan tempatan pada abad ke15 dengan ciri dan gaya Timur Tengah. Beberapa bahan campuran lain turut digunakan untuk mengukuhkan ikatan dan susunan batu bata seperti putih telur, pulut hitam yang telah dihancurkan dan kulit kerang.




Saya berbual dengan penjaja tempatan di tepi pagar masjid. Mereka mencadangkan saya melawat Telaga Hang Jebat bila saya bertanyakan kedudukan Telaga Hang Tuah. Kemudian kami ke lokasi Telaga Hang Jebat yg terletak tidak berapa jauh dari Masjid Kerisik.


Telaga Hang Jebat ini terletak di luar pagar pintu hadapan sebuah rumah penduduk tempatan. Telaga tersebut dibina bumbung agar terjaga namun air di telaga tersebut kelihatan tidak bersih. 


Kemudian kami ke Telaga Hang Tuah yang terletak di seberang jalan Masjid Kerisik. Telaga Hang Tuah dibina di tepi jalan besar, awal simpang jalan menuju ke kawasan perumahan. Telaga ini juga dibina bumbung namun air telaga Hang Tuah ini juga kelihatan tidak bersih.




Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Heartwood Beach Resort di Narathiwat. Tempat penginapan kami untuk malam ini terletak di tepi pantai. Perjalanan kami di Selatan Thailand disambung pada hari esok.

Jumaat, 25 Oktober 2024

Singgah di Yala Thailand


Hari ketiga dalam perjalanan kami di Selatan Thailand, kami meneruskan perjalanan dari Betong ke Yala. Setelah sarapan, kami memulakan perjalanan dan singgah sebentar bergambar di Jambatan Tok Ku Chae di Bang Lang Dam.



Kemudian kami menuju ke Tan Kra Chaem Cave. Terdapat sungai mengalir di dalam gua tersebut. Tidak seperti kebanyakan gua yang kebiasaannya gelap, Gua Tan Kra Chaem terang kerana terdapat pintu masuk dan keluar yang besar dan luas di hujungnya. 




Parkir dan masuk ke gua ini tidak dikenakan bayaran. Lorong masuk ke gua ini tidak jauh dari jalan besar laluan dari Betong ke Yala.


Kemudian kami meneruskan perjalanan. Hasrat kami untuk singgah menjamu selera di kedai makan santai budaya tidak tertunai kerana kedai makan itu tutup pada hari Khamis. Kami terus menuju ke Yala dan makan tengahari di sana. Di Yala kami menginap di Linux Hotel. Malam itu kami ke Prachachen Night Market. Berbagai jenis makanan terdapat di astaka pasar malam ini.






Setelah menjamu selera, kami balik berehat di hotel. Keesokkan paginya, jadual kami bergerak ke Pattani.



Khamis, 17 Oktober 2024

Bercuti di Betong Thailand



Perjalanan saya dan seorang teman kali ini bertujuan menjelajah Selatan Thailand bermula dari Betong dan berakhir di Narathiwat secara santai. Kami memulakan perjalanan dari Penang menuju ke Pengkalan Hulu sekitar jam 9:00 pagi pada akhir September 2024. Dalam perjalanan ke Pengkalan Hulu, kami singgah makan tengahari di Baling. Kedai makan sebelah kiri selepas bulatan menghala ke Pengkalan Hulu ini memang sering saya singgah jika lalu dan saya cadangkan juga pada pembaca yang suka selera kampung menjamu selera di sana. Selesai makan kami meneruskan perjalanan ke sempadan Malaysia-Thailand. 


Kami singgah membuat insurant kenderaan dan membeli sim card Thailand sebelum memasuki Thailand. Kenderaan yang ingin memasuki Thailand dari sempadan Pengkalan Hulu perlu membawa geran original kenderaan. Sekiranya hanya membawa salinan geran, pemandu harus mendapatkan cop kebenaran di Balai Polis Pengkalan Hulu. Jika pemilik kenderaan tidak turut serta dalam kumpulan rombongan, surat sumpah kenderaan diperlukan untuk membawa kenderaan masuk ke Thailand. Selesai proses memasuki Thailand, kami meneruskan pemanduan ke Bandar Betong sekitar 15 minit. Disebabkan kami sampai awal, kami ke Pasar Betong dahulu untuk membuang masa.





Kemudian kami check in di Hotel Butterfly untuk dua malam. Lewat petang itu kami mengurut badan dan makan malam di kedai Hafiz Seafood di hadapan hotel.



Hari kedua di Betong, kami keluar awal pagi sekitar jam 5:30 pagi menuju ke Ai YerWeng. Perjalanan mengambil masa hampir sejam melalui jalan yang berbelok-belok dan kadang kala berkabus. Kami sampai di tapak parkir untuk ke menara Ai YerWeng sekitar jam 6:30 pagi. Dari sana kami menaiki tuk-tuk dengan tambang 50 Bath pergi dan pulang.



Perjalanan menaiki tuk-tuk mengambil masa sekitar lima minit dan dalam perjalanan ke atas, kami melihat hamparan awan terbentang luas. Semakin tinggi kami menuju puncak bukit, semakin luas kawasan awan yang terbentang. Setelah sampai di menara melihat pemandangan di puncak bukit, kami diturunkan dan penumpang bebas balik mengikut masa yang dikehendaki.




Kami tiba agak lewat, matahari telah terbit dan ramai pengunjung yang sampai awal kelihatan masih ghairah merakam gambar. Naik ke menara bertingkat dikenakan bayaran 200 Bath seorang dan setiap pengunjung yang naik ke menara dikehendaki memakai sarong kasut yang berharga 20 bath sepasang.




Kami berada agak lama di menara ini, merakam gambar dari setiap tingkat hingga ke tingkat kawasan pelantar berkaca. Kemudian kami turun dan menuju ke satu lagi kawasan melihat pemandangan. Kawasan kedua ini berada di sisi kiri menara.




Setelah puas merakam gambar, kami bergerak turun dan singgah minum di gerai tapak parkir sebagai menyumbang ekonomi penduduk tempatan. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Chaloem Phra Kiat King Rama. Masuk ke air terjun ini percuma dan jarak tapak parkir ke air terjun ini sekitar 400 meter. Jalur jelas dan terdapat penjaga dan kemudahan asas seperti tandas. 





Kemudian kami bergerak ke Air Terjun Pelangi. Masuk ke Spray Rainbow Waterfall ini dikenakan bayaran 100 Bath seorang. Jarak dari tapak parkir ke air terjun sekitar 400 meter. 



 
Sebaik waktu datang ke Spray Rainbow Waterfall ini adalah sebelum pukul 11:00 pagi. Pelangi yang terbentuk dari bias cahaya matahari yang memancar ke air terjun sangat besar dan jelas. Lokasi kawasan pelangi adalah di pelantar tingkat 3. Datang ke sini pada hari bekerja amatlah dicadangkan untuk mengurangi kesesakkan.



Selesai melawat Spray Rainbow Waterfall kami bergerak ke Betong Hot Spring. Setelah makan tengahari, kami memasuki kawasan kolam air panas ini. Tidak berhasrat merendam kaki di kolam panas pada masa ini kami kemudian bergerak ke destinasi seterusnya. Masuk ke kolam air panas ini percuma.



Destinasi kelima lawatan kami hari ini adalah Piyamit Tunnel. Masuk ke kawasan sejarah peninggalan komunis ini dikenakan bayaran 80 Bath seorang. Pelantar berbumbung disediakan untuk memudahkan pelawat melawat hingga ke atas. Terdapat juga muzium barang peninggalan tentera komunis.










Saya juga merakam gambar di sepohon pokok yang dicanangkan berusia seribu tahun di dalam kawasan Piyamit Tunnel ini. Pokok ini ditanda sebagai Piyamit Milenium Tree.


Kemudian kami bergerak ke tempat lawatan seterusnya, iaitu Winter Flower Garden. Masuk ke sini dikenakan bayaran 100 Bath seorang termasuk menaiki bas di kawasan taman bunga ini.




Selesai lawatan di Winter Flower Garden kami pulang ke hotel. Di sebelah malam kami ke Betong Night Market. Pasar malam di Betong ini tidak semeriah pasar malam di Hatyai. Mungkin kerana kami datang ke sini pada hari bekerja.





Setelah selesai makan dan melawat Bandar Betong pada waktu malam, kami balik berehat dan keesokan paginya kami meneruskan perjalanan ke Bandar Yala.