Perjalanan saya dan seorang teman kali ini bertujuan menjelajah Selatan Thailand bermula dari Betong dan berakhir di Narathiwat secara santai. Kami memulakan perjalanan dari Penang menuju ke Pengkalan Hulu sekitar jam 9:00 pagi pada akhir September 2024. Dalam perjalanan ke Pengkalan Hulu, kami singgah makan tengahari di Baling. Kedai makan sebelah kiri selepas bulatan menghala ke Pengkalan Hulu ini memang sering saya singgah jika lalu dan saya cadangkan juga pada pembaca yang suka selera kampung menjamu selera di sana. Selesai makan kami meneruskan perjalanan ke sempadan Malaysia-Thailand.
Kami singgah membuat insurant kenderaan dan membeli sim card Thailand sebelum memasuki Thailand. Kenderaan yang ingin memasuki Thailand dari sempadan Pengkalan Hulu perlu membawa geran original kenderaan. Sekiranya hanya membawa salinan geran, pemandu harus mendapatkan cop kebenaran di Balai Polis Pengkalan Hulu. Jika pemilik kenderaan tidak turut serta dalam kumpulan rombongan, surat sumpah kenderaan diperlukan untuk membawa kenderaan masuk ke Thailand. Selesai proses memasuki Thailand, kami meneruskan pemanduan ke Bandar Betong sekitar 15 minit. Disebabkan kami sampai awal, kami ke Pasar Betong dahulu untuk membuang masa.
Kemudian kami check in di Hotel Butterfly untuk dua malam. Lewat petang itu kami mengurut badan dan makan malam di kedai Hafiz Seafood di hadapan hotel.
Hari kedua di Betong, kami keluar awal pagi sekitar jam 5:30 pagi menuju ke Ai YerWeng. Perjalanan mengambil masa hampir sejam melalui jalan yang berbelok-belok dan kadang kala berkabus. Kami sampai di tapak parkir untuk ke menara Ai YerWeng sekitar jam 6:30 pagi. Dari sana kami menaiki tuk-tuk dengan tambang 50 Bath pergi dan pulang.
Perjalanan menaiki tuk-tuk mengambil masa sekitar lima minit dan dalam perjalanan ke atas, kami melihat hamparan awan terbentang luas. Semakin tinggi kami menuju puncak bukit, semakin luas kawasan awan yang terbentang. Setelah sampai di menara melihat pemandangan di puncak bukit, kami diturunkan dan penumpang bebas balik mengikut masa yang dikehendaki.
Kami tiba agak lewat, matahari telah terbit dan ramai pengunjung yang sampai awal kelihatan masih ghairah merakam gambar. Naik ke menara bertingkat dikenakan bayaran 200 Bath seorang dan setiap pengunjung yang naik ke menara dikehendaki memakai sarong kasut yang berharga 20 bath sepasang.
Kami berada agak lama di menara ini, merakam gambar dari setiap tingkat hingga ke tingkat kawasan pelantar berkaca. Kemudian kami turun dan menuju ke satu lagi kawasan melihat pemandangan. Kawasan kedua ini berada di sisi kiri menara.
Setelah puas merakam gambar, kami bergerak turun dan singgah minum di gerai tapak parkir sebagai menyumbang ekonomi penduduk tempatan. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Chaloem Phra Kiat King Rama. Masuk ke air terjun ini percuma dan jarak tapak parkir ke air terjun ini sekitar 400 meter. Jalur jelas dan terdapat penjaga dan kemudahan asas seperti tandas.
Kemudian kami bergerak ke Air Terjun Pelangi. Masuk ke Spray Rainbow Waterfall ini dikenakan bayaran 100 Bath seorang. Jarak dari tapak parkir ke air terjun sekitar 400 meter.
Sebaik waktu datang ke Spray Rainbow Waterfall ini adalah sebelum pukul 11:00 pagi. Pelangi yang terbentuk dari bias cahaya matahari yang memancar ke air terjun sangat besar dan jelas. Lokasi kawasan pelangi adalah di pelantar tingkat 3. Datang ke sini pada hari bekerja amatlah dicadangkan untuk mengurangi kesesakkan.
Selesai melawat Spray Rainbow Waterfall kami bergerak ke Betong Hot Spring. Setelah makan tengahari, kami memasuki kawasan kolam air panas ini. Tidak berhasrat merendam kaki di kolam panas pada masa ini kami kemudian bergerak ke destinasi seterusnya. Masuk ke kolam air panas ini percuma.
Destinasi kelima lawatan kami hari ini adalah Piyamit Tunnel. Masuk ke kawasan sejarah peninggalan komunis ini dikenakan bayaran 80 Bath seorang. Pelantar berbumbung disediakan untuk memudahkan pelawat melawat hingga ke atas. Terdapat juga muzium barang peninggalan tentera komunis.
Saya juga merakam gambar di sepohon pokok yang dicanangkan berusia seribu tahun di dalam kawasan Piyamit Tunnel ini. Pokok ini ditanda sebagai Piyamit Milenium Tree.
Kemudian kami bergerak ke tempat lawatan seterusnya, iaitu Winter Flower Garden. Masuk ke sini dikenakan bayaran 100 Bath seorang termasuk menaiki bas di kawasan taman bunga ini.
Selesai lawatan di Winter Flower Garden kami pulang ke hotel. Di sebelah malam kami ke Betong Night Market. Pasar malam di Betong ini tidak semeriah pasar malam di Hatyai. Mungkin kerana kami datang ke sini pada hari bekerja.
Setelah selesai makan dan melawat Bandar Betong pada waktu malam, kami balik berehat dan keesokan paginya kami meneruskan perjalanan ke Bandar Yala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan