Rabu, 30 Oktober 2024

Dari Pattani ke Narathiwat Thailand


Telah lama saya ingin menziarahi Masjid Kerisik di Pattani ini. Dalam perjalanan saya dan seorang teman menjelajahi Selatan Thailand, kami singgah di Pattani dalam perjalanan dari Yala ke Narathiwat. Pagi itu setelah sarapan kami ke Masjid Besar Yala.

Sebelum meninggalkan Bandar Yala, kami ke Art Street Yala sebentar. Lukisan dinding di Art Street ini terdapat di merata dinding dan tidak sebanyak lukisan mural di setengah bandar lain yang telah saya lawati. Kami tercari-cari gambar mural di beberapa deretan kedai dan penduduk tempatan menunjukkan kepada kami di mana kedudukan lukisan dinding yang dilukis.  Tidak berlama-lama di Art Street Yala, kami meneruskan perjalanan ke Pattani.



Hasrat menjamu selera di Santai Budaya yang tidak tertunai semalam, kami langsaikan hari ini walaupun kami terpaksa berpatah balik sedikit. Kedai makan selera kampung melayu ini terletak di tepi jalan besar. Tulisan jawi di papan tanda kedai ini sedikit memberi aura masyarakat melayu dahulu kala.





Selesai makan kami ke Replika Al-Quran Gergasi di Kampung Pak Pungoh. Perjalanan menggunakan Google Map dan kami sampai di lokasi tersebut lebih 30 minit memandu.



Replika Al-Quran ayat Al-Isra' itu dibina oleh pemuda kampung secara gotong royong di bulan Ramadhan pada waktu malam selepas solat terawih. Di kiri dan kanan replika tersebut pula dibina replika Gua Hira' dan Bukit Uhud. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pattani. Hari itu Bandar Pattani agak sebuk kerana menyambut kedatangan Raja Thailand. Kami yang tidak menempah bilik hotel menghadapi kesukaran mencari bilik penginapan untuk malam itu kerana hampir seluruh hotel di Bandar Pattani penuh. Pencarian kami berakhir lewat petang apabila terdapat sebuah lagi bilik kosong di Southern View Hotel. Malam itu kami hanya berehat di bilik hotel. Keesokkan paginya kami bersarapan di Roti De Forest.



Selesai sarapan kami memulakan perjalanan ke Narathiwat. Sebelum keluar dari Bandar Pattani, kami singgah di Masjid Pattani ataupun Pattani Central Mosque. Malangnya kami tidak dibenarkan masuk kerana ada acara menyambut kedatangan Raja Thailand pada hari itu. Pengelola majlis meminta kami datang selepas waktu zohor kerana majlis menyambut Raja Thailand akan berakhir beberapa jam lagi. Disebabkan kami perlu meneruskan perjalanan ke Narathiwat, kami berazam akan datang lagi lain kali. Kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar ladang garam semula jadi Sweet Salt.



Pembikinan garam semulajadi di sini berlaku dari bulan January hingga April namun bekalan garam asli untuk jualan mencukupi untuk sepanjang tahun. Kemudian kami singgah minum di sebuah restaurant viral, Banlay Seafood tidak berapa jauh dari ladang garam. 



Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Masjid Kerisik. Masjid Kerisik atau dalam bahasa Thailand Krue Se atau nama sebenarnya Masjid Sultan Muzaffar Shah merupakan masjid tertua di Asia Tenggara. 



Masjid ini dibina menggunakan bata merah buatan tempatan pada abad ke15 dengan ciri dan gaya Timur Tengah. Beberapa bahan campuran lain turut digunakan untuk mengukuhkan ikatan dan susunan batu bata seperti putih telur, pulut hitam yang telah dihancurkan dan kulit kerang.




Saya berbual dengan penjaja tempatan di tepi pagar masjid. Mereka mencadangkan saya melawat Telaga Hang Jebat bila saya bertanyakan kedudukan Telaga Hang Tuah. Kemudian kami ke lokasi Telaga Hang Jebat yg terletak tidak berapa jauh dari Masjid Kerisik.


Telaga Hang Jebat ini terletak di luar pagar pintu hadapan sebuah rumah penduduk tempatan. Telaga tersebut dibina bumbung agar terjaga namun air di telaga tersebut kelihatan tidak bersih. 


Kemudian kami ke Telaga Hang Tuah yang terletak di seberang jalan Masjid Kerisik. Telaga Hang Tuah dibina di tepi jalan besar, awal simpang jalan menuju ke kawasan perumahan. Telaga ini juga dibina bumbung namun air telaga Hang Tuah ini juga kelihatan tidak bersih.




Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Heartwood Beach Resort di Narathiwat. Tempat penginapan kami untuk malam ini terletak di tepi pantai. Perjalanan kami di Selatan Thailand disambung pada hari esok.

Tiada ulasan: