Isnin, 15 Disember 2014

Dari Abu Dhabi ke Dubai.

      Saya dan 11 rakan ke sini selama 3 hari sebenarnya kerana transit dalam perjalanan ke Nairobi Kenya. Penerbangan awal pagi dari Kuala Lumpur pada August 2014 menghantar kami ke Abu Dhabi.  

Abu Dhabi 6:30 pagi
     Setelah check in di Hotel Primier, kami makan tengahari dan menyewa 3 buah kereta. Perjalanan pun bermula dan tempat pertama yang kami pergi adalah Ferrari World. Di sini banyak dipamirkan reka bentuk kereta Ferrari.


        Ferrari World terletak di Pulau Yas dan merupakan taman hiburan bertemakan Ferrari. Di sini terdapat roller coaster terpantas di dunia.


      Kemudian kami singgah di Masjid Sheikh Zayed atau Sheikh Zayed Grand Mosque, masjid terbesar di UAE dan ke 3 terbesar di dunia. Masjid ini dibuka secara resmi pada bulan ramadhan 2007. Kehebatan manusia membina dan mereka bentuk bangunan terbukti di masjid ini.


        Masjid ini dibentangkan dengan karpet terbesar dan diterangi juga dengan canderlier terbesar di dunia. Pengunjung yang berpeluang hadir ke sini pasti tergamam melihat kemewahan dan keunikan senibinanya.



   Lantai masjid ini dicanaikan marmar yang diimport dari Italy dan Greece. Terdapat kolam yang besar di hadapannya dimana air takungannya berwarna kebiruan kerana berlantaikan marmar yang biru. Tujuan kolam ini mungkin untuk menyamankan udara dan angin yang bertiup di kawasan masjid.



Tandas.

      Tempat ambil wuduk dibina dari batu jade untuk menyejukan air secara teknologi awal tamadun. Ruang biliknya agak luas dan aliran udaranya nyaman kerana pengaliran air pancuran yang tanpa henti.

Tempat wuduk.


          Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di pasar buah-buahan. Kebanyakan buah-buahan di pasar ini diimport dari Thailand dan India.


         Keesokan harinya, tempat pertama yang kami lawati adalah U.A.E Heritage Village. Masuk ke sini adalah percuma. Terdapat bangunan, rumah kampung dan beberapa kedai seni di sini. Haritage Village ini mengambarkan cara hidup di sini suatu masa dahulu.




         Kemudian kami bertolak ke Dubai. Perjalanan dari Abu Dhabi ke Dubai mengambil masa kurang lebih 40 minit hingga 1 jam memandu. Tempat pertama kami tuju adalah Hard Rock Cafe Dubai.




         Seterusnya kami ke Dubai Mall. Kemewahan memang terdedah di shopping kompleks terkenal ini dan semua kedai makan di Dubai adalah halal.




        Di Dubai Mall terdapat Dubai Aquarium & Underwater Zoo, tapi tanpa masuk di ke Aquarium pun kami boleh melihat dari luar kerana terdapat cermin besar yang dibina agar pengunjung boleh menjamu mata melihat ikan. Jimat. Di sini juga pelawat boleh menyaksikan Dubai fountain secara percuma.




         Tidak lengkap kalau ke Dubai tanpa menaiki Burj Khalifa atau juga dikenali Burj Dubai. Struktur bangunan binaan manusia tertinggi dunia buat masa ini dibuka secara rasmi pada 4 January 2010.


         Dari tingkat 124 bangunan setinggi 828 meter ini kita boleh melihat Dubai fountain dan bandar Dubai yang bergemerlapan di waktu malam dengan jelas. Dubai yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan yang rata-rata penduduknya mengutip mutiara di laut dan segelintir mereka adalah pedagang.



         Kemudian kami ke Naif Bazzar yang terkenal di Dubai. Bazzar yang banyak menjual jubah dengan harga yang berbagai mengikut fesyen, quality dan grade kain. Malam ke dua ini kami Bermalam di Dubai.

Kereta mewah di parking tempat awam tampa bumbung.
          Keesokan paginya kami mencari Nasi Mandi yang terkenal di Dubai. Tempat pilihan adalah Restauran Al Tawasol yang popular di sana. Dikatakan Raja Dubai juga mengemari Nasi Mandi di restauran ini. Restauran ini terletak di berdekatan Deira Clock Tower di bandar Dubai. Restoran ini memang saya cadangkan kepada pembaca.




     Buah kurma di tepi jalan di Dubai adalah wakaf, tapi bukan untuk dijual. Masjid tempat kami singgah terdapat kurma dan air mineral percuma.



       Dubai menghabiskan berjuta-juta dollar membeli pasir untuk menambak dan memperindahkan pantai lautnya. Kami tidak melepaskan peluang ke pantai Jumeirah untuk melawat kawasan perumahan mewah.





Biar GPS yang menceritakan di mana kedudukan kami



      Petang selepas melawat pantai Jumeirah kami kembali memandu ke Abu Dhabi dan bermalam di sana.



Nota;
Pelancong rakyat Malaysia tidak memerlukan visa jika melawat Dubai kurang dari 30 hari.


Selasa, 2 Disember 2014

Gunung Hallasan Korea Selatan

     Gunung Hallasan 1950 mdpl merupakan gunung tertinggi di Korea Selatan dan terletak di tengah Pulau Jeju. Satu perkara yang bermain di fikiran saya, kenapa gunung tertinggi di Korea terletak di Pulau Jeju bukan di tanah besar Korea Selatan. Diselenggara oleh Hallasan National Park (Unesco World Haritage) dan terdapat 5 laluan di sini iaitu Gwaneumsa trail, Eorimok trail, Seongpanak trail, Yeongsil trail dan Donnaeko trail. Namum cuma 2 trail sahaja yang membawa pendaki ke puncak Hallasan iaitu trail Siongpanak sejauh 9.6 km dan Gwaneumsa berjarak 8.7 km. Gunung ini boleh didaki sepanjang tahun namum jika mendaki di musim salji, anda mungkin perlu menggunakan "crampon". Saya bersama 3 orang teman pendaki ke gunung Hallasan pada September 2013. Kami memilih mendaki dari Gwaneumsa dan turun ke Siongpanak.

Pintu masuk Gwaneumsa
     Dari hostel penginapan, kami mengambil teksi ke Gwaneumsa. Pagi itu hujan lebat dan kami tersadai di pejabat Taman Negara Hallasan pintu Gwaneumsa, berbelah bagi sama ada ingin meneruskan pendakian atau membatalkannya kerana sudah agak lewat. Setelah menunggu selama kurang lebih 2 jam, hujan mulai berhenti dan kami mengambil keputusan untuk mendaki pada jam 09:00 pagi.

Trek agak licin kerana hujan
     Di awal pendakian, trek agak mendatar dan tahap pendakian adalah sederhana kerana pihak taman negara menyediakan kemudahan pelantar kayu yang terjaga, jambatan untuk menyeberangi sungai dan tangga di sepanjang trek.



     Kerana memulakan pendakian agak lewat kerana hujan, maka kami sampai di pondok renjer Samgakbong pada pukul 12:15 petang dan masa "cutoff" sampai di pondok ini adalah 12:30 petang.

Pondok renjer samgakbong
      Selepas berehat selama 15 minit, kami dihalau oleh renjer untuk meneruskan pendakian ke puncak, jika terlambat dari masa ini kami akan dihalau turun mengikut trek kami mendaki. Kami meneruskan pendakian ke puncak secara tergesa-gesa kerana cuaca yang berkabus dan kami bimbang jika terlewat dan tersadai tiada tempat bermalam di jalur sepanjang trek di gunung ini.

Air gunung ini bersih untuk di minum

Trek jelas dan terjaga

Perhentian rehat dan rawat


        Akhirnya saya sampai di puncak Hallasan pada pukul 14:15 petang, 15 minit lewat dari masa "cutoff" di puncak. Di puncak tidak ada apa yang dapat dilihat kerana kabus tebal.

Puncak Hallasan, gunung tertinggi di Korea Selatan
 

      Setelah merakam beberapa keping gambar, kami dihalau turun oleh renjer kerana masa sudah lewat. Akhirnya saya sampai di pintu Seongpanak Taman Negara Hallasan pada pukul 18:50 petang dan matahari terbenam di sini pada pukul 18:30 petang. Tiada gambar yang dapat dirakam sepanjang perjalanan turun kerana kami bergegas dan hari semakin gelap. Kami terus pulang ke hostel di bandar Jeju dengan menaiki bas public.

Nota:
1- Gunung ini tidak memerlukan guide dan tiada bayaran dikenakan.
2- Gunung ini "daypack". Jadi anda perlu memulakan pendakian ke puncak seawal yang boleh.
3- Membawa peralatan asas mendaki seperti headlamp, raincoat, tongkat dan makan ringan.

Cadangan:
Mula mendaki gunung ini seawal pagi kerana gunung ini "daypack" dan ada "cutoff time" untuk ke puncak (masa mendaki musim sejuk 06:00 pagi, musim bunga 05:30 pagi, musim panas 05:00 pagi), jadi anda boleh mula mendaki seawal 06:00 pagi.
     

Jumaat, 28 November 2014

Gunung Fansipan Vietnam

      "Roof of Indochina" juga dikenali fan si pan dalam bahasa Vietnam bermaksud gunung. Terletak di banjaran Indochina di utara Vietnam, bersempadan China dan gunung Fansipan 3143 meter merupakan gunung tertinggi di Indochina. Saya dan 5 orang teman mendaki ke sini pada Julai 2011. Dengan ketingginya yang sederhana gunung ini boleh didaki 2 hari 1 malam atau jika ingin santai boleh dilanjutkan kepada 3 hari 2 malam. Kami mulai perjalanan ke sini dari bandar Hanoi dengan menaiki keretapi malam pada pukul 8:30 malam dan sampai ke stesen keretapi terakhir di utara Vietnam iaitu Lao Cai pada pukul 5:00 pagi.


     Setibanya di stesen keretapi Lao Cai, kami dijemput oleh wakil agensi yang menguruskan pendakian kami iaitu Sapa Pathfinder Travel. Dari Lao Cai, kami menaiki van kurang lebih 1 jam ke bandar Sapa. Sapa bandar di tanah tinggi dihuni puak-puak etnik seperti Black H'mong, Tay dan Dao merupakan starting point ke gunung Fansipan. Sapa bandar seperti Cameron Highland dan di sini banyak terdapat kedai menjual barangan outdoor.

Penjual yang sentiasa menunggu pelancong.
      Sampai di Sapa, kami berbincang mengenai pendakian ke puncak Fansipan dengan wakil Sapa Pathfinder Travel, dan kami bersetuju mendaki gunung ini untuk 3 hari 2 malam. Selesai sarapan saya dan teman-teman berangkat ke Taman Negara Hoang Lien. Kami memulakan trekking pada pukul 9:45 pagi dan di awal trekking kami menyusuri sungai cetek yang jernih dan sekali sekala trek menyeberangi sungai.



Bergambar bersama pendaki tempatan
     Kami sampai di Kem 1 kurang lebih pada pukul 12:00 tengahari. Di sini terdapat pondok buluh sekiranya pendaki tidak sempat ke Kem 2 untuk bermalam. Kami berehat dan makan tengahari di sini kurang lebih 1 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Kem 2.

Kem 1

Remaja tempatan
          Kami meneruskan pendakian ke Kem 2 pada pukul 1:00 petang. Cuaca tidak begitu baik dan setelah berjalan hampir 1 jam, hujan mula turun menyebabkan perjalanan kami menjadi agak perlahan kerana trek yang licin.

Pokok buluh renek banyak sepanjang trek ke kem 2



 
 
        Perjalanan ke Kem 2, pemandangannya sangat menarik. Kami menyusuri trek pokok-pokok renek dan buluh. Saya sampai ke Kem 2 kurang lebih pada pukul 5:00 petang. 

Kem 2
        Kami tidur di Kem 2 dalam keadaan menggigil kerana cuaca yang amat dingin sehingga saya tidak dapat tidur lena. Keesokan paginya kami memulakan pendakian ke puncak Fansipan pada pukul 7:00 pagi. Perjalanan yang mengambil masa sekitar 2 jam itu tidaklah sesukar mana.

Trek ke puncak
          Akhirnya pada pukul 9:00 pagi saya sampai ke puncak Fansipan, puncak tertinggi di Indochina. Cuaca berkabus adalah panorama lumrah di puncak ini menurut kata guide yang menunjuk arah kami.

Puncak Fansipan

Shoot satu photo kenangan

Bergambar bersama remaja tempatan
      Kami berehat di sini dan mengharapkan kabus akan menghilang. Tidak berapa lama kemudian semakin ramai pendaki yang mulai turun. Akhirnya setelah menunggu hampir setengah jam, cuaca bertukar cerah dan pemandangan indah dihadiahkan kepada kami.


                                                                                                          
       Setelah puas bergambar kami terus turun ke Kem 2. Selesai sarapan ala kadar, kami mengemas barang dan terus turun ke Kem 1. Perjalanan turun agak sukar kerana hujan lebat dan trek licin. Akhirnya saya sampai di Kem 1 pada pukul 4:00 petang. Kami berehat di pondok ini dengan selesa kerana tiada pendaki lain yang bermalam di perhentian ini. Keesokan paginya kami berangkat turun seawal jam 7:45 pagi walaupun hujan masih renyai dan ketika menyeberangi sungai semasa turun agak mengentarkan perasaan kerana air sungai agak deras.


      Kami sampai di pintu masuk Taman Negara Hoang Lien pada pukul 10:00 pagi, kemudian kami meneruskan perjalanan pulang ke bandar Sapa. Petang itu kami cuci mata di bandar Sapa.

Dataran mencari jodoh di bandar Sapa

Peniaga jalanan

Bandar Sapa
                                                                                    
                                                                               
    Saya bersama 2 orang teman bermalam di Sapa, sementara 3 lagi teman terus pulang ke Hanoi malam itu. Keesokan paginya kami ke pasar Bac Ha. Pasar Bac Ha hanya beroperasi pada hari minggu sahaja.


Suasana di pasar Bac Ha




Mereka sedang bergaduh, bukan jual kain!!  
           Setelah cuci mata di pasar, kami melawat sebuah kampung. Kampung ini menjadi kampung lawatan pelancong yang ingin melihat secara dekat cara hidup masyarakat tempatan melangsungkan kehidupan seharian mereka.

                           



Satu bukit mereka tanam jagung
      Selepas melawat kampung, kami terus menaiki bas ke bandar Lao Cai. Kami pulang ke Hanoi dengan menaiki bas malam dan sampai ke bandar Hanoi pada pukul 4:00 pagi. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Pendaki boleh ke sini dengan menghubungi terus agensi Sapa Pathfinder Travel.                                Email: bookingsapapathfinder@gmail.com tentu lebih murah dari pakai orang tengah.
2- Makanan halal bawa sendiri.
3- Bawa barang keperluan pakaian mendaki yang lengkap, gunung ini sejuk.
4- Melawat Vietnam tidak memerlukan visa.