Rabu, 11 Februari 2015

Gunung Lawu via jalur Cemorosewu

   
        Gunung lawu 3265 mdpl terletak di pulau Jawa Timur dan Jawa Tengah. Saya ke gunung ini bersama teman-teman pendaki dari Malaysia yang di ketuai oleh Encik Deeno. Pada 3 May 2012 kami sampai di bandar Solo yang juga dikenali sebagai "Kota Batik". Dari airport kami menaiki 2 buah van menuju ke Sarangan iaitu pos pendakian di kaki Gunung Lawu. Perjalanan normal dari kota Solo ke Sarangan memakan masa sekitar 2 jam, tetapi disebabkan kami menyinggah di merata tempat, kami sampai di sana pada pukul 9:00 malam.

Kedai wajib dikunjungi bagi pendaki.

Toko batik

Singgah di surau Fathurrohman untuk tunai tanggungjawap.
       Kami sampai di Sarangan kurang lebih pukul 9:00 malam. Setelah berehat dan makan malam kami mula mendaki pada pukul 12:30 tengah malam 4 May. Gunung Lawu boleh didaki dari Cemorokandang di Tawangmangu, Jawa Tengah atau dari Cemorosewu di Sarangan, Jawa Timur. Dua pintu jalur pendakian yang sering menjadi pilihan pendaki ini hanya berjarak 200 meter. Gunung Lawu juga boleh didaki dari Ceto dan Jogorogo. Mendaki dari Cemorokandang mengambil masa kurang lebih 9 hingga  10 jam, jadi kami memilih laluan dari Cemorosewu kerana treknya lebih dekat dan bagus dengan batu-batuan yang telah disusun. Tidak banyak gambar dapat dirakam sepanjang pendakian waktu malam, kerana keletihan dan mengantuk kami sampai agak lewat di puncak iaitu pada pukul 7:25 pagi.


Bersama Pak Kassim, guide popular di Semenanjung.

Puncak Gunung Lawu
         Dari jalur Cemorosewu ada 5 pos untuk sampai ke puncak Gunung Lawu. Di puncak Gunung Lawu, di kala cuaca yang bagus, jika kita memandang ke barat akan ternampak puncak Gunung Merapi dan Merbabu. jika memandang ke timur akan nampak Gunung Kelud, Butak dan Wilis.

Melihat permandangan di puncak Lawu
         Setelah berehat dan merakam gambar kenangan di puncak Gunung Lawu kami turun di sebuah pondok yang terletak 20 minit dari puncak Lawu. Di pondok ini kita boleh menyewa untuk bermalam sekiranya kita mula mendaki waktu petang. Pengusaha pondok ini juga menjual makanan dan pondok ini boleh muat kurang lebih 30 pendaki.

Bersama anak-anak sekolah pondok yang juga mendaki.

Anak-anak sekolah pondok Salak Tiga 

        Kami berehat di pondok ini agak lama kerana menunggu teman yang sampai lewat di puncak disebabkan tertidur di atas trek malam tadi. Pada pukul 10:30 pagi kami mula turun ke kaki gunung mengunakan trek sama yang kami daki malam tadi.

       
Pemandangan trek Gunung Lawu amat cantik di waktu siang.





         Pemandangan di sepanjang trek Gunung Lawu amat indah dan saya bercadang ke sini lagi satu hari nanti. Setelah berjalan lebih 4 jam kami sampai di pintu masuk Gunung Lawu. Terima kasih Allah.

Selamat sampai di pintu masuk gunung lawu.
Nota:
1- Ticket masuk pos pendakian Gunung Lawu Rp 2500 seorang.
2- Gunung Lawu dikeramatkan oleh penduduk di kaki gunung, jadi jaga percakapan.


Sabtu, 7 Februari 2015

Nairobi Kenya

     
Negara Kenya terletak di Benua Africa, berada di selatan Ethiopia, di utara Tanzania dan di barat daya Sudan, Tenggara Nairobi Lautan Hindi, di baratnya Uganda dan di timur lautnya Somalia. Nairobi ibu kota Kenya bermaksud "cool water" dalam bahasa Maasai.


      Saya ke sini pada August 2014 kerana transit selama 3 hari dalam perjalanan pergi dan pulang dari Tanzania. Puncak tertingginya adalah Gunung Kenya 5199 mdpl dan merupakan puncak kedua tertinggi di Benua Afrika. Bandar yang berada di ketinggian 1795 mdpl ini bercuaca seperti Cameron Highland semasa saya di sana. Malam pertama setibanya di Nairobi kami menginap di Nomad Palace Hotel yang terletak di pinggir bandar Nairobi berdekatan kawasan setinggan. Hotel ini selamat dan terdapat surau di tingkat 2.

Permandangan dari bilik hotel


        Masyarakat Nairobi kreatif dan pakar mengukir kayu. Dalam perjalanan ke Tanzania kami singgah di sebuah kedai cenderamata iaitu Paradise Gallery. Kerja mengukir dilakukan di belakang kedai. Banyak barang kraf tangan ukiran penduduk tempatan di jual di kedai ini.





        Malam kedua sekembalinya dari Tanzania, kami menginap di hotel La Jardine. Hotel ini terletak di kawasan agak bahaya dan tidak dicadangkan kepada pembaca. Malam ketiga kami menginap di tengah bandar Nairobi iaitu di Hotel 680. Hotel ini terletak berdekatan Masjid Jamek, di tengah bandar dan servisnya bagus. Makanan halal mudah didapati di sekitar hotel.

Jamia Mosque


          Kami melawat beberapa tempat di bandar Nairobi dan singgah di City Market yang dibuka 24 jam. Market ini menjual barangan makanan basah dan kering, cenderamata, perhiasan dan pakaian. Bunga-bunga segar juga banyak dijual di pintu keluar City Market ini.



Antara punca pencarian masyarakat di Nairobi
      Nairobi dibangunkan oleh British pada tahun 1899 sebagai depot bagi perjalanan keretapi antara Mombasa ke Uganda. Pada tahun 1907 Nairobi berkembang dengan pantas setelah menjadi ibu negeri British East Africa dan bangunan peninggalan British masih berdiri megah di kota Nairobi yang pesat membangun.




Bandar Nairobi yang pesat membangun



       Nairobi antara negara menarik untuk dilawati. Taman safarinya juga antara yang popular di dunia. Saya pasti ke sini lagi jika ada rezki di masa akan datang. Terima asih Allah.


Sabtu, 3 Januari 2015

Pulau Jeju Yang Best

      Pulau Jeju terletak di Selatan Semenjung Korea dan pada 2007 pulau ini dinobatkan sebagai salah satu tempat warisan dunia UNESCO. Seperti juga Pulau Hawaii, Pulau Jeju terbentuk dari lava gunung berapi yang meletus di dasar laut lalu membentuk pulau terbesar di Korea beratus-ratus tahun dahulu. Kerana pemandangan yang cantik dan keunikannya, maka pulau ini telah menjadi lokasi pengambaran drama Korea sekaligus telah mempromosi Korea sebagai tempat pelancongan dunia yang terkenal.

Pulau yang banyak kumpul duit dalam industry pelancongan Korea
        Saya dan 3 orang teman telah ke sini pada September 2013 dengan tujuan asal mendaki Gunung Hallasan iaitu gunung tertinggi di Korea Selatan. Perjalanan bermula dari Busan dengan penerbangan tempatan mengambil masa kurang lebih 1 jam dan sampai ke Jeju Airport pada tengahari. Dari airport kami menaiki bas kurang lebih 20 minit ke terminal bas Bandar Jeju. Dari terminal bas kami berjalan kaki 5 hingga10 minit mengunakan google map untuk ke Yeha Guesthouse untuk menginap. Saya rekomen Yeha Guesthouse kepada pembaca kerana tempat penginapan membenarkan penyewa memasak dan peralatan memasak bagi  yang beragama Islam diasingkan dari penganut agama lain.

Peralatan memasak muslim disimpan di cabinet halal

"Kim Chi" free pun mereka bagi di Yeha GuestHouse
       Petang hari pertama selepas makan kami ke Dongmun Fisheries Market. Di sini banyak menjual seafood, sayur dan buah.

Limau  popular di Pulau Jeju

Makanan laut memang banyak kat Pulau Jeju

Dongmun Fisheries Market
      Kemudian kami mengambil teksi dan terus ke Yongduam Rock. Perjalanan ke Yongduam Rock mengambil masa kurang lebih 15 minit. Di Yongduam Rock terdapat batu yang menyerupai kepala naga. Masuk ke sini free dan ia dibuka 24 jam.


Belakang tu la batu kepala naga.
       Hari kedua di Jeju kami habiskan dengan mendaki Gunung Hallasan (schedule pendakian ditulis dalam blog Gunung Hallasan). Selesai mendaki kami kembali bermalam di Yeha GuestHouse dan sebelum pulang kami singgah di mini market untuk membeli barang keperluan makan malam. Mini market tersebut terletak 15 minit berjalan kaki dari Yeha Guest House. Hari ketiga kami menyewa sebuah teksi untuk ke Seogwipo bagi memudahkan kami berhenti di tempat menarik sepanjang perjalanan dan tempat pertama yang kami singgah adalah Saryeon Forest Trail.

Sekadar tangkap gambar.
     Kemudian kami ke Sangumburi Creater, kawah gunung berapi yang terletak di tenggara Pulau Jeju. Untuk melawat Sangumburi Creater ini dikenakan bayaran 6000 won seorang.




      Seterusnya kami ke Maze Park atau pagar sesat. Ia juga dikenali sebagai Gimnyeong atau Kimnyoung Maze Park. Ticket masuk ke sini adalah 3300 won seorang dan ia antara lokasi drama Running Man yang popular. Park ini bukan untuk bergambar dan bergembira sahaja tetapi baik juga untuk kesihatan badan dan minda. Park ini berdekatan dengan Manjanggul Lava Tube.

Hafal dulu peta ini, nanti sesat berjam-jam pula.





        Kemudian kami melawat Manjanggul Lava Tube, gua sepanjang 7 kilometer yang terbentuk dari lahar gunung berapi yang telah membeku, namun cuma 1 kilometer sahaja yang dibuka untuk pelancong. Jika ke gua ini dicadangkan memakai baju sejuk kerana udara di dalam gua dingin dan lembap. Ticket masuk ke sini adalah 2000 won seorang.





        Kami meneruskan perjalanan ke Haenyeo Museum atau Museum Nelayan. Jeju terkenal dengan kepakaran nelayan wanita yang menyelam mencari berbagai kerang laut, rumpai laut dan lain-lain hasil laut. Tetapi kami tidak masuk musium itu kerana kurang berminat. Ticket masuk ke museum adalah 1100 won seorang.


Berihat di luar museum
       Kebetulan pemandu teksi yang kami sewa ini pernah bekerja di Sabah dalam industri pembalakan. Maka dia tahu serba sedikit tentang makanan halal dan dia mencadangkan kami mencuba makanan laut di sebuah kampung nelayan di sekitar kawasan museum. Kedai tersebut "free alkohol" katanya kerana faham kami beragama islam.

Sedap makanan laut sini, seorang dalam 15000 won.
       Kami meneruskan perjalanan ke Seongsang Ilchulbong atau Songsan Sunrise Peak yang juga dikenali sebagai puncak matahari terbit yang terletak di Timur Pulau Jeju. Ticket masuk ke sini 2000 won seorang.









        Seterusnya kami ke Mt. Seopjikoji, gareja tepi laut yang menjadi lokasi pengambaran Drama Korea popular "All In" yang terletak di hujung pantai timur Pulau Jeju. Tempat ini dibuka 24 jam sehari, sepanjang tahun dan masuk adalah percuma.

Gareja tempat heroin "all in" dibesarkan.

Background Seongsang Ilchubong



      Akhir sekali hari ketiga ini kami ke Trick  Art Museum. Selain pemandangan yang cantik, Pulau Jeju juga terkenal dengan casino dan musium. Oleh itu banyak sebab pelancong datang ke pulau ini. Ticket masuk ke Trick Art Museum ini adalah 8000 won seorang.




      Kami bayar Rm100 seorang untuk sehari sewa teksi dan tip. Malam ketiga ini kami bermalam di KodakKodak Guesthouse di bandar Seogwipo. Bandar Seogwipo terletak di selatan Pulau Jeju.       Hari keempat kami mulai dengan melawat Cheonjiyeon Waterfall. Hari ini kami menggunakan khidmat bas tempatan, teksi dan berjalan kaki sahaja.


Cheonjiyeon Waterfall
      Kemudian kami ke Jeongbang Waterfall. Air terjun Jeongbang ini terus mengalir ke laut. Ticket masuk ke sini adalah 2000 won seorang.






      Kemudian kami ke Teddy Bear Museum. Ticket masuk ke sini 9000 won seorang. Saya tidak masuk ke museum ini kerana tak berminat dengan anak patung. Sementara menunggu teman yang masuk, saya berehat di hadapan Believe It Or Not Musium yang terletak di sebelah Teddy Bear Museum.



       Kemudian kami ke Alive Museum. Barang pameran di Trick Art dan Alive museum lebih kurang sama sahaja, jadi saya cadangkan pembaca masuk ke Alive Museum sahaja kerana di sini barangnya lebih banyak. Ticket masuk ke Alive Museum adalah 9000 won seorang.






      Kemudian kami ke Cheonjeyeon Waterfall yang juga di kenali sebagai air terjun 3 tingkat dan terletak di barat kota Seogwipo. Cerita dongeng mengatakan 7 pari-pari turun mandi di airterjun ini. Ia dibuka sepanjang tahun dari 7:00 pagi hingga 11:00 malam dan ticket masuk ke sini adalah 2500 won seorang.



Musim panas tiada airterjun



    Kemudian kami ke Jisatgae Jusangjeolli, tebing batu menegak tepi laut. Batu menegak ini terbentuk dari lava Gunung Hallasan yang meletus dalam laut Jungmun. Ticket masuk ke sini adalah 2000 won seorang. 





Limau tanggerine  yang popular di Pulau Jeju
      Kemudian kami ke Oedolgae, yang terletak di Selatan Bandar Seogwipo. Batu tegak setinggi 20 meter tinggi yang dikenali sebagai "Batu Kesepian" atau "Batu Tunggu Suami" ini juga dijadikan tempat pengambaran Drama Korea Jewel In The Palace. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke sini.



Sunset di Oedolgae
        Lewat petang itu kami menaiki bas pulang semula ke pusat Bandar Jeju untuk bermalam di Yeha Guest House. Perjalanan menaiki bas dari Seogwipo ke pusat bandar mengambil masa kurang lebih 1 jam. Hari kelima kami menyewa teksi untuk ke Mysterious Road, antara tempat di dunia yang mempunyai tarikan gravity di atas bukit. Pemandu teksi ini telah mempraktikkan keajaiban dunia ini bila dia mematikan enjin dan membebaskan gear, kereta kami bergerak ke atas bukit.


     Kemudian kami ke Seolmundae Halmang atau pun Jeju Stone Park. Ticket masuk ke Stone Park ini 5000 won seorang.







       Berakhirlah perjalanan kami di Pulau Jeju dan kami meneruskan perjalanan ke Seoul dengan penerbangan Jeju Air untuk mendaki Gunung Seorak. Saya bercadang ke sini lagi suatu hari nanti kerana banyak tempat yang tidak sempat dilawati diperjalanan kali ini.


Nota:
1- Semua harga ticket adalah bayaran untuk dewasa (kanak-kanak harga lebih murah).
2- Tukaran wang 1000 won = Rm 3.++ (2013)