Isnin, 30 Julai 2018

Krabi dan Hong Island Thailand



Memandangkan tiada aktivity pada bulan ini, saya dan tiga teman merancang bercuti ke Krabi. Kami memulakan perjalanan dengan memandu dari Penang jam 5:20 pagi pada akhir Julay 2018. Kami singgah sebentar di perhentian Gurun Lebuhraya Utara Selatan untuk solat subuh dan sarapan. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk bermalam di Pantai Aonang Krabi dan terus menempah bilik untuk 2 malam di sana. Kami meneruskan perjalanan sehingga ke bandar Changlun dan berhenti sebentar di bandar ini untuk membuat insurant kereta untuk menyeberangi negara jiran. Selesai urusan insurant diri, kereta dan membeli kad telephone Thailand, kami meneruskan perjalanan memasuki Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam. Setelah menyeberangi negara jiran ini, kami berhenti sebentar di Bandar Danok untuk menukar matawang Thailand. Kebiasaannya kami menukar wang di dalam banggunan OPPO ini kerana nilai tukarannya agak baik.


Kemudian kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di Bandar Hat Yai dan ke Kim Yong Market membeli buah. Kami sampai di Hat Yai sekitar jam 09:15 pagi dan setelah puas menjamu mata, kami ke Kai Tod Decha & Seafood untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan ke Krabi.





Selesai makan kami meneruskan perjalanan ke Krabi melalui Patthalung. Perjalanan dari Hat Yai ke Krabi mengambil masa hampir 5 jam. Dalam perjalanan ke Krabi kami singgah sebentar di Andaman Gateway. Di perhentian ini terdapat ramai pengunjung yang berehat sambil merakam gambar dan melepaskan lelah setelah penat memandu. Terdapat banyak patung-patung gajah dan beberapa hiasan untuk pengunjung merakam gambar di sini. Tandas awam dan beberapa gerai menjual minuman dan buah-buahan juga ada di sini.





Kami sampai di Aonang Beach Krabi sekitar jam 18:00 petang dan terus ke Oscar Villa untuk bermalam. Oscar Villa terletak sekitar 2 kilometer dari bandar. Makanan di Oscar Villa ini tidak halal tetapi sekitar 200 meter dari Oscar Villa ini adalah kampung penduduk Islam dan mereka ada membuka kedai makan. Perkhimatan mesin basuh berbayar juga terdapat di tepi jalan kampung ini. Malam itu setelah makan kami menempah pakage trip ke Hong Island untuk mengisi jadual kami hari kedua di Krabi.





Keesokkan paginya kami membeli sarapan di gerai kampung penduduk Islam berhampiran Oscar Villa. Bas untuk ke Hong Island menjemput kami pada jam 08:00 pagi untuk ke tempat pelancong berkumpul. Setelah semua penumpang bersedia, perjalanan melawat Kepulauan Hong bermula jam 09:00 pagi dengan menaiki bot laju.





Sebuah bot laju memuatkan sekitar 30 hingga 35 orang penumpang. Perhentian pertama kami dalam pakage Kepulauan Hong ini adalah Hong Lagoon sekitar 45 minit perjalanan menaiki bot. Menurut Guide yang menemani kami, Hong Lagoon hanya boleh dimasuki waktu pagi ketika air surut. Di sini kami cuma merakam gambar dari atas bot sahaja.





Kemudian kami ke Pakbia Island sekitar 10 minit dari Hong Lagoon. Di sini kami diberi masa sekitar 30 minit. Pulau cantik ini ada kawasan snorkling jika kita ingin melihat hidupan laut. Di perhentian ke dua ini, terdapat beberapa pulau-pulau kecil yang bersambung antara satu oleh benting pasir. Terdapat juga kawasan merokok, pondok pengawal pantai dan beberapa buaian diikat di pokok-pokok tepi pantai.






Seterusnya kami ke Laolading Island sekitar 5 minit menaiki bot dari Pakbia Island. Kami makan tengahari di sini. Laolading Island dihiasi pantai yang redup dan dinding batu yang cantik. Terdapat kawasan snorkling, tandas awam, buaian dan pantai pasir putih halus di sini. Makanan halal disediakan dalam pakage ini dan menurut Guide yang membawa kami, sekitar 90 peratus penduduk Aonang Beach beragama Islam.



Selesai makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir kami dalam pakage Kepulauan Hong ini iaitu Hong Island. Perhentian ke empat ini merupakan perhentian kepulauan Hong yang bersaiz besar dan kami diberi masa 2 jam berehat dan snorkling di pulau ini. Setiap bot tidak mendarat hingga ke tepi pantai halus putih di Pulau Hong. Pelawat diturunkan di hujung jetty terapong berhampiran pulau ini dan bila berjalan di atas jetty terapong yang terumbang-ambing, pelawat perlu lebih berhati-hati. Selain kawasan snorkling yang luas, terdapat juga trail di Pulau Hong ini jika pelawat ingin melakukan aktivity lain atau pelawat juga boleh menyewa kenu. Tandas awam, pondok pengawal pantai, kawasan makan, meja dan bangku juga disediakan di pulau ini. Pengawal pantai agak tegas, para pelawat tidak dibenarkan snorkling tanpa jacket keselamatan.







Jam 14:15 petang, kami berangkat pulang ke Pantai Aonang dan sampai di sana sekitar jam 15:00 petang.  Kemudian kami dihantar semula ke tempat penginapan masing-masing. Petang itu setelah berehat kami keluar ke Aonang Beach dan kami makan malam di salah sebuah kedai di deretan kedai makanan di sana. Tidak sukar mencari makanan halal di Aonang Beach memandangkan 90 peratus penduduknya beragama Islam seperti kata Guide tadi. Kami juga membeli cenderahati di deretan gerai-gerai tepi jalan di sana.



Keesokkan paginya setelah "checkout" kami bersarapan di Aonang Beach, membeli buah tangan di deretan kedai di sana dan merakam beberapa keping gambar di Tugu Ikan Layaran. Sebelum keluar dari bandar Krabi kami singgah sebentar di Outlet Primium di sana.




Kami singgah beberapa kali dalam perjalanan ke Hat Yai untuk membeli buah-buahan yang dijual di tepi jalan. Sampai di Hat Yai kami terus ke Songkla Central Mosque. Masjid besar ini terletak di antara Hat Yai dan Songkla sekitar 8 kilometer dari Bandar Hat Yai.



Sekitar jam 19:00 malam kami meneruskan perjalanan ke Danok dan sampai di sana hampir jam 20:00 malam. Kami makan malam di sini dan membeli beberapa barang seperti pulut, sabun dan sebagainya untuk dibawa pulang.



Cuaca semasa kami di sana sangat cerah dan baik walaupun berdasarkan calender, akhir bulan Julai telah masuk musim monsun. Saya pasti datang lagi ke Thailand yang terkenal sebagai syurga makanan walaupun saya bukanlah seorang yang cerewet tentang makan. Terima kasih Allah.

Itinerary:
Day 1
05:20- Berangkat dari Penang menaiki sebuah kereta.
06:20- Singgah subuh dan sarapan di hentian Gurun Lebuhraya Utara Selatan.
08:00- Sampai Changlun, buat insurant dan beli kad telephon (Insurant 4 orang dan kereta RM 57.00)
09:15- Sampai Hat Yai, Kim Yong Market dan makan tengahari.
18:00- Sampai Aonang Beach, Krabi.
Day 2
07:30- Sarapan
08:10- Menaiki kenderaan untuk ke Hong Island.
09:00- Start pakage Hong Island (4 destinasy Kepulauan Hong)
15:00- Pakage Kepulauan Hong berakhir dan pulang ke penginapan masing-masing.
17:30- Bersiar di Aonang Beach dan makan malam.
Day 3
09:00- Checkout, sarapan di Aonang Beach.
12:00- Singgah di Primium Outlet.
13:00- Bertolak ke Hat Yai.
17:30- Singgah di Songkla Central Mosque, Hat Yai.
20:00- Sampai Danok.
22:30- Selesai Imergresen dan mula memandu di Malaysia

Nota:
Pakage Hong Island THB 1000 (termasuk bayaran ke Taman Laut Than Bok Khorani National Park / THB 300) menaiki bot laju. Bot Long Tail lebih murah.


Jumaat, 29 Jun 2018

Gunung Welirang via Desa Sumber Brantas Batu



Saya, seorang teman dan seorang porter (Joko) mendaki Gunung Welirang ini setelah turun dari mendaki Gunung Arjuno dari Kem Lembah Kembar. Kami mendaki Gunung Arjuno dari jalur Cangar. Hari pertama, kami sampai di Kota Batu dan terus ke Desa Sumber Brantas untuk berjumpa porter yang menemani kami mendaki Gunung Arjuno dan Gunung Welirang. Kami mendaki dari jalur Cangar dan bermalam di Kem Lembah Kembar. Hari kedua, seawal pagi jam 4:15 kami memulakan pendakian ke Puncak Ogal-Agil Gunung Arjuno dan sampai semula ke tapak khemah Kem Lembah Kembar pada jam 13:30 tengahari. Setelah berehat dan makan tengahari kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Welirang pada jam 15:35 petang. Dari Kem Lembah Kembar kami mendaki ke puncak Gunung Kembar 1 dahulu untuk ke Gunung Welirang.







Dari tapak khemah kami mendaki sekitar 35 minit untuk ke puncak Gunung Kembar 1 yang berdiri di tengah Gunung Arjuno dan Gunung Welirang. Di puncak Gunung Kembar 1 kami melihat pasangannya puncak Gunung Kembar 2 dan di belakangnya pula puncak Gunung Arjuno. Puncak Gunung Welirang yang sentiasa berasap pula terletak arah bertentangan puncak Gunung Kembar 1 ini. Cuaca cerah petang itu memberi peluang kami merakam gambar di puncak Kembar 1 dengan pemandangan yang indah. Kemudian kami menuruni Gunung Kembar 1 mengikut trek bertentangan kami mendaki tadi untuk ke jalur Gunung Welirang.






Trek ke Gunung Welirang dari kaki Gunung Kembar 1 agak landai, selesa dan baik kerana ia merupakan jalur para pelombong belerang mengangkut hasil belerang ke tapak pengumpulan belerang. Kami menyusuri trek yang dibina para pelombong ini sehingga sampai di dua persimpangan iaitu simpang ke puncak dan simpang ke kawah belerang.





Kami trekking secara santai kerana petang itu cuaca cerah dan kami puas menyaksikan pemandangan indah di gunung ini. Sampai di dua persimpangan ini, kami meneruskan pendakian ke puncak. Dari persimpangan ini kami mula mendaki di trek yang agak menegak namun tidak begitu sukar. Asap dari kawah belerang di Gunung Welirang pula semakin jelas dan kami terus mendaki sehingga puncak kerana hari semakin lewat. Dari jalur terakhir ke puncak saya melihat beberapa orang pendaki yang telah berada di puncak sedang merakam gambar ketika matahari sedang terbenam.







Kami sampai di puncak Gunung Welirang 3156 mdpl sekitar jam 17:45 petang. Matahari semakin tenggelam semasa kami di puncak dan setelah merakam beberapa keping photo kenangan, kami bergerak turun pada jam 18:00 petang bertemankan cahaya lampu suluh. Kami sampai kembali di tapak khemah Lembah Kembar pada jam 19:30 malam. Kami berehat dan bermalam di sini. Hari ke tiga kami mulai turun ke Desa Sumber Brantas pada jam 07:20 pagi.



Kami sampai di Desa Sumber Brantas sekitar jam 11 :00 pagi. Kami makan di gerai makan di desa dan kemudian ke rumah Joko sebelum meminjam motosikal Joko untuk ke Wisata Air Panas Cangar. Wisata Air Panas Cangar dikatakan mengalir dari Gunung Welirang dan mandi di sini sungguh berbaloi setelah badan penat mendaki. Welirang bermaksud belerang dalam bahasa Jawa.



Dalam perjalanan pulang ke bandar Malang, kami singgah sebentar di ladang epal. Kota Batu terkenal sebagai "kota epal" kerana terdapat kebun epal yang luas di kota tersebut. Sepanjang jalan pulang ke Kota Malang terdapat banyak gerai tepi jalan yang menjual epal.





Saya berharap akan datang lagi ke Kota Batu yang ramah ini. Mungkin mendaki gunung lain di daerah ini atau datang berehat sambil mandi-manda di telaga air panasnya. Terima kasih Allah.

Itenerary:
Day1-
Dari Malang ke Kota Batu, mula mendaki dari jalur Cangar ke Kem Lembah Kembar, bermalam.
Day 2
04:14- Mendaki Gunung Arjuno.
13:30- Sampai semula ke kem Lembah Kembar.
15:45- Start mendaki ke Gunung Welirang melalui puncak Gunung Kembar 1.
16:20- Sampai puncak Kembar 1.
17:45- Sampai puncak Gunung Welirang.
18:00- Bergerak turun ke Kem Lembah Kembar.
19:30- Sampai Kem Lembah Kembar, bermalam.
Day 3
07:20- Bergerak turun ke Desa Sumbar Brantas.
11:00- Sampai Desa Sumber Brantas.
12:00- Mandi di Wisata Air Panas Cangar.
14:30- Berangkat pulang ke Kota Malang.
15:30- Melawat kebun epal.
17:00- Meneruskan perjalanan ke Kota Malang.

Nota:
1- Permit mendaki di Gunung Welirang dan Gunung Arjuno adalah 25 ribu Rupiah sehari bagi warga asing manakala warga Indonesia pula 10 ribu Rupiah sehari. (Taman Hutan Raya Raden Soerjo).
2- Contact Porter Joko +62 823-3288-3733.
3- Bayaran masuk ke Wisata Air Panas Cangar 10 ribu Rupiah seorang.