Selasa, 6 Ogos 2019

Gunung Pangrango trans Gunung Putri - Cibodas




Kami memulakan pendakian ke Gunung Pangrango ini dari Kem Kandang Badak. Sehari sebelum itu saya mendaki Gunung Gede dari laluan Gunung Putri dan bermalam di Kem Kandang Badak ini. Hari kedua saya di Taman Nasional Gunung Gede Pangrango ini, saya memulakan pendakian ke puncak Gunung Pangrango seawal jam 05:05 pagi bersama seorang teman. Pagi itu cuaca tidak begitu baik, angin bertiup agak kencang dan hujan renyai-renyai kadang kala jatuh ke bumi.


Mendaki Gunung Pangrango seperti mendaki gunung di Malaysia. Trek tanah dan tidak berpasir. Semakin tinggi kita mendaki, semakin banyak pokok-pokoknya disaluti lumut. Tidak banyak gambar yang dapat dirakam semasa mendaki gunung ini kerana cuaca gelap dan tidak banyak ruang pemandangan sepanjang jalur ke puncak. Kawasan rata untuk berkhemah di sepanjang jalur ke puncak juga agak terhad dan kami cuma jumpa dua buah khemah sahaja yang didirikan sepanjang trek ke puncak.


Kami berdua sampai di puncak Gunung Pangrango 3019 mdpl pada jam 08:05 pagi. Puncak Pangrango dikenali sebagai Puncak Mandalawangi dan ia merupakan pertemuan titik tiga buah daerah iaitu daerah Bogor, Cianjur dan Sukabumi. Tidak seperti Gunung Gede, Gunung Pangrango tidak pernah meletus.



Kami tidak berlama-lama di puncak Pangrango dan mulai turun menuju Kem Kandang Badak pada jam 08:25 pagi dan sampai di sana pada jam 10:10 pagi. Semasa kami menghampiri kawasan Kem Kandang Badak, kami berselisih dengan beberapa orang pendaki yang baru memulakan pendakian ke puncak Pangrango pagi itu.



Setelah berehat dan makan, kami berkemas dan bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan turun melalui laluan Cibodas. Jam 11:15 kami bertiga memulakan perjalanan turun melalui trek Cibodas dan trek ini amat menarik. Kami menempuhi beberapa buah air terjun antaranya air terjun Panca Weuleuh, Cibeureum dan air terjun bersuhu panas yang airnya dikatakan berpunca dari Gunung Gede.



Air terjun yang paling saya minat adalah air terjun yang bersuhu panas yang menjadi tarikan di trek Cibodas ini. Semasa melintasi kawasan ini pendaki harus hati-hati, kerana selain suhunya yang panas, batu-batu tempat berpijak semasa menyeberanginya juga amat licin. Kepada pendaki yang menggunakan kaca mata lebih sukar kerana kaca mata akan kabur.






Jam 13:40 petang kami sampai di Pondok Persinggahan Pangyangcangan dan persimpangan ke air terjun Cibeureum. Herman menyarankan kami ke air terjun tersebut kerana jaraknya dari simpang tidak berapa jauh dan waktu masih awal. Kami berdua berjalan menuju air terjun tersebut melalui trek yang dibina pelantar dari simen.



Kami sampai di air terjun Cibeureum setelah trekking 10 minit. Terdapat dua buah air terjun berkembar di situ yang terjun dari tebing batu tinggi. Kami berehat sebentar dan merakam beberapa keping gambar di sana dan berpatah balik ke persimpangan tempat Herman menunggu.




Kami sampai semula di persimpangan air terjun pada jam 14:15 petang dan meneruskan perjalanan turun. Dalam perjalanan ke pintu masuk Taman Nasional Gunung Gede Pangrango, kami singgah sebentar di telaga biru.




Hampir sampai di kawasan pintu masuk Taman Nasional, kami membuang sampah di tempat yang di sediakan, iaitu Bank Sampah. Kami sampai di Pintu Gerbang Kebun Raya Cibodas, Taman Nasional Gunung Gede Pangrango pada jam 15:15 petang.



Sebelum berangkat ke Garut untuk meneruskan pendakian di sana, kami makan di gerai yang terletak tidak berapa jauh dari Pintu Masuk Taman Nasional. Terdapat deretan gerai menjual cenderamata, baju, makanan tempatan, buah-buahan seperti strawbery dan lain-lain lagi. Setelah makan, kami menaiki van angkutan untuk ke perhentian bas menuju ke Garut. Kami menaiki bas pada jam 17:05 petang dan perjalanan ke Garut dianggarkan mengambil masa sekitar lima jam. Semoga selamat sampai. Terima kasih Allah.

Itinerary: xpdc July Jawa Barat.
Day 1
Perjalanan dari Airport Jakarta ke Ciawi, Bogor.
Day 2
07:30- Memulakan pendakian dari laluan Gunung Putri ke Gunung Gede.
18:00- Sampai Kem Kandang Badak.
Day 3
05:05- Mula mendaki ke Puncak Pangrango.
08:05- Sampai Puncak Pangrango.
08:25- Bergerak turun ke Kem Kandang Badak.
10:10- Sampai Kem Kandang Badak, berehat, sarapan dan bersiap sedia untuk turun.
11:15- Bergerak turun melalui trek Cibodas.
13:40- Sampai persimpangan Panyangcangan, air terjun Cibeureum
13:50- Rehat di air terjun Cibeureum.
14:15- Sampai persimpangan Payangcangan, meneruskan perjalanan turun.
15:15- Sampai Pintu Gerbang Kebun Raya Cibodas, Taman Nasional Gunung Gede Pangrango.
16:30- Menaiki van angkutan ke perhentian bas ke Garut.
17:05- Menaiki bas ke Garut dan meneruskan agenda.

Nota:
1- Wajib beserta surat pengesahan taraf kesihatan daripada doctor.
2- Bayaran permit Taman Nasional Gunung Gede - Pangrango:
a) Hari bekerja- Warganegara Indonesia Rp 29.000 , Warga Asing Rp 320.000 (2 hari 1 malam)
b) Hari libur- Warganegara Indonesia Rp 34.000, Warga Asing Rp470.00 (2 hari 1 malam)
# Jika pendakian 3 hari 2 malam, bayaran permit sekali ganda.
3- Contact  Porter: Herman +6287719897656

Jumaat, 2 Ogos 2019

Gunung Gede via Gunung Putri



July 2019 saya merancang pendakian lima puncak di Jawa Barat yang saya namakan "xpdc July Jawa Barat". Setibanya saya di Airport Jakarta, seorang teman sedia menunggu dan kami terus menaiki bas menuju ke Bogor. Bas bertolak pada jam 13:30 petang menuju ke Ciawi, Bogor dan kami sampai di Ciawi sekitar jam 15:00 petang. Kemudian kami meneruskan perjalanan dengan menaiki bas tempatan menuju bandar Cipanas dan sampai di sana sekitar jam 17:00 petang. Kami makan malam di Cipanas dan kemudian menaiki Ojek menuju ke kampung di kaki Gunung Gede laluan Gunung Putri. Kami bermalam di rumah penduduk kampung di sana. Keesokan paginya kami memulakan pendakian ke Gunung Gede melalui laluan Gunung Putri pada jam 07:30 pagi ditemani seorang Porter. Di awal pendakian, kami bertiga melalui kawasan perkebunan penduduk desa. Lumrah pergunungan di Indonesia, sekitar kaki gunung merupakan kawasan pertanian sayur-sayuran yang subur.



Di akhir kawasan perkebunan sebelum memasuki kawasan hutan kami singgah sebentar di Pondok Pengawal Taman Nasional Gunung Gede - Pangrango untuk menyerahkan surat izin pendakian.  Memasuki kawasan hutan, jalur amat jelas dan bersih. Kami sampai di Pos 1 pada jam 08:30 pagi dan meneruskan pendakian ke Pos 2 dan sampai di sana sekitar jam 09:20 pagi.



Setelah berehat seketika, kami meneruskan pendakian ke Pos 3 dan sampai di Pos 3 sejam kemudian. Kami rehat sebentar dan makan gorengan di Gerai Pos 3. Sekitar jam 11:00 pagi kami meneruskan pendakian dan sampai di Pos 4 pada jam 12:35 tengahari.




 Taman Nasional Gunung Gede - Pangrango adalah antara 5 Taman Nasional pertama yang diumumkan oleh kerajaan Indonesia pada tahun 1980. Setelah berehat sebentar di Pos 4, kami meneruskan pendakian ke Pos 5 dan sampai di sana sekitar jam 13:15 petang. Jalur hutan yang dilalui sehingga ke Pos 5 amat jelas, bersih, nyaman dan redup.




Nah.... apa yang saya gambarkan terbentang luas di depan mata. Alun-alun Surya Kencana yang menjadi tarikan Gunung Gede itu menyambut kedatangan kami dengan cuaca yang cerah serta hembusan angin yang nyaman. Pohon Bunga Eldelweiss yang mesra tumbuh di sini banyak berbunga namun terdapat banyak juga pokoknya yang hitam seolah mati terbakar. Menurut Herman, porter yang menemani kami, pokok-pokok Eldelweiss yang mati itu akibat suhu sejuk melampau yang melanda Gunung Gede setahun yang lalu.



Dataran Alun-alun Surya Kencana yang seluas sekitar 50 hektar boleh memuatkan ratusan khemah pendaki untuk bermalam di dadanya. Di sini juga ada bekalan air bersih untuk para pendaki dan terdapat beberapa buah gerai jualan. Kami mengambil masa agak lama di sini, menyaksikan pemandangan indah sambil merakam gambar dan bertegur sapa dengan pendaki yang berselisih turun dari puncak Gunung Gede. Menurut mereka cuaca di puncak mulai cerah semasa mereka turun.



Pada jam 14:35 petang kami meneruskan pendakian ke puncak Gunung Gede setelah puas merakam gambar. Kami sampai di puncak Gunung Gede 2958 mdpl pada jam 15:40 petang. Terdapat beberapa buah gerai menjual minuman dan gorengan di puncak Gunung Gede ini.



Masyaa Allah!, setibanya saya di puncak Gunung Gede, hamparan samudera awan terbentang indah. Saya meninjau sepanjang bibir kawah sambil menikmati keindahan alam dan merakam gambar dari berbagai sudut. Dari atas puncak Gunung Gede kami melihat puncak Gunung Pangrango yang dikelilingi awan.





Kami berada agak lama di puncak Gunung Gede ini kerana terpegun dengan samudera awan. Gunung Gede pernah meletus dan mempunyai Kawah Wadon, Kawah Ratu, Kawah Baru dan Kawah Lanang. Sesekali bila angin bertiup, kami dapat menghidu bau belerang walaupun baunya tidak menyesakkan nafas. Setelah puas bergambar, kami bergerak turun ke Kem Kandang Badak untuk bermalam. Kami menyusuri bibir kawah ke bahagian bawah sehingga ke kawasan hutan yang mempunyai pokok bongsai yang cantik.





Beberapa minit sebelum sampai ke Kem Kandang Badak, kami melewati persimpangan ke Gunung Pangrango. Gunung Pangrango adalah target kami untuk esok hari. Kem Kandang Badak terletak di antara Gunung Gede dan Gunung Pangrango, namun jalur kem ini terletak bertentangan dengan jalur laluan Gunung Putri. Ini bermaksud jika mendaki dari jalur laluan Gunung Putri, pendaki harus ke puncak Gunung Gede dahulu sebelum sampai ke Kem Kandang Badak. Kami sampai di Kem Kandang Badak pada jam 18:00 petang ketika kegelapan malam mula menyelimuti bumi. 






Setelah mendirikan khemah, kami makan dan berehat sebagai persiapan pendakian ke Gunung Pangrango pagi nanti. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Wajib beserta surat pengesahan taraf kesihatan daripada doctor.
2- Bayaran permit Taman Nasional Gunung Gede - Pangrango:
a) Hari bekerja- Warganegara Indonesia Rp 29.000 , Warga Asing Rp 320.000 (2 hari 1 malam)
b) Hari libur- Warganegara Indonesia Rp 34.000, Warga Asing Rp470.00 (2 hari 1 malam)
# Jika pendakian 3 hari 2 malam, bayaran permit sekali ganda.
3- Contact  Porter: Herman +6287719897656

Itinerary:
Day 1
13:30 Naik bas ke Ciawi, Bogor.
15:00 Sampai Ciawi, Bogor dan terus naik bas ke Cipanas.
17:00 Sampai Cipanas.
18:10 Naik Ojek ke kaki Gunung Gede, laluan Gunung Putri.
18:40 Sampai kampung, rehat dan bermalam.
Day 2
07:30 Start mendaki dari jalur Gunung Putri.
08:30 Pos1
09:20 Pos 2
10:30 Pos 3, rehat 25 minit
12:35 Pos 4
13:15 Pos 5- Surya Kencana, berehat dan berphoto.
14:35 Meneruskan pendakian ke puncak Gunung Gede.
15:40 Sampai puncak Gunung Gede.
16:40 Bergerak turun ke Kem Kandang Badak.
18:00 Kem Kandang Badak, bermalam.