Saya bersama seorang teman telah
mendaki gunung Rante Mario ini pada 2012. Kami sampai di Makasar sekitar jam 5:00 petang. Di airport kami telah dijemput oleh 2 orang teman dan membawa kami ke rumah sewa anak-anak pelajar University Makasar. Setelah berbincang, 4
orang dipilih di antara mereka untuk menemani kami ke puncak Rante Mario, seorang penunjuk jalan dan 3 orang lagi porter yang merangkumi
peneman. Di antara mereka ada seorang pelajar yang boleh bertutur
bahasa puak Duri. Dia berasal dari daerah Gurah. Boleh bertutur bahasa
puak Duri adalah satu kelebihan kerana penduduk di kaki gunung Rante Mario bertutur di dalam bahasa ini. Kami berenam memulakan perjalanan sekitar jam 3:00 pagi dengan menyewa sebuah kenderaan. Perjalanan
ke Baraka mengambil masa kurang lebih 7 jam. Kami sampai di pekan Baraka
sekitar jam 10:00 pagi. Pagi itu hari khamis, setiap hari isnin dan khamis
adalah hari pasar di pekan Baraka.
Membeli barang keperluan dan makanan di pasar Baraka |
Untuk sampai ke Karangan (kampung di kaki gunung) kita
boleh menumpang lori yang ingin pulang ke Rante Lemo. Lori-lori ini akan turun ke pekan Baraka setiap hari pasar untuk menjual
hasil pertanian mereka. Selesai membeli barang keperluan dan makan tengahari di pekan Baraka, kami pun menaiki lori yang ingin pulang ke kampung Rante Lemo.
Perjalanan ke Kampung Rante Lemo |
Kampung Rante Lemo adalah kampung terakhir yang boleh dilalui
kenderaan empat roda. Tambang lori tersebut sekitar 7 ribu rupiah seorang. Perjalanan dari pekan Baraka ke kampung Rante Lemo mengambil masa kurang lebih 3 jam. Sangatlah dicadangkan merancang perjalanan ke gunung Rante Mario pada hari isnin dan khamis untuk menjimatkan perbelanjaan.
Kampung Rante Lemo. |
Dari kampung Rante Lemo, kami meneruskan perjalanan dengan berjalan
kaki ke Kampung Karangan. Sepanjang perjalanan ke kampung Karangan, iaitu kampung terakhir di
kaki gunung Rante Mario, kami melalui rumah-rumah yang banyak menanam
bawang, ini terbukti kerana di setiap bawah rumah mereka ada
mengantung bawang yang dalam process pengeringan daun.
Bawang dalam proces pengeringan daun. |
Berjalan kaki menuju kampung Karangan mengambil masa kurang lebih 1 hingga 2 jam. Kami
sampai di kampung Karangan agak lewat petang. Penunjuk arah kami iaitu Achong mencadangkan kami bermalam di rumah Pak Lurah. Alang yang fasih
berbahasa Duri, bertegur sapa dengan penduduk kampung. Suhu di kampung Karangan amat sejuk kerana ia terletak di kaki gunung dan masih dikelilingi hutan. Di kampung ini terdapat sebuah air terjun yang
cantik, tapi pastilah airnya amat sejuk sekali.
Berehat sambil menyaksikan permandangan. |
Kampung Karangan |
Keesokan paginya,kami memulakan pendakian sekitar jam 10:00 pagi kerana
keletihan dan sejuk yang amat. Di awal perjalanan, kami melalui kebun kopi. Pasti punca pendapatan penduduk kampung ini adalah kopi kerana
kawasan penanaman kopi yang agak luas. Juga terdapat tanaman lain yang
di selang seli seperti jagung dan bawang.
Kami sampai di Pos 2 setelah mendaki kurang lebih 2 jam. Pos 2 terletak hampir dengan punca air. Perjalanan diteruskan lagi ke Pos 3, Pos 4 dan setrusnya ke Pos 5 di mana
kami akan bermalam. Trek dari pos 2 ke pos 3 dan pos 4 agak pacak. Pendaki mesti membuat latihan fizikal jika bercadang ke gunung ini.
Kami sampai di Pos 5 sekitar jam 5:00 petang. Tapak Pos 5 agak luas dan boleh menampung banyak
khemah. Di sini juga terdapat punca air kurang lebih 30 minit
perjalanan. Di waktu malam cuaca amat dingin di Pos 5. Pendaki harus membawa kelengkapan seperti khemah dan pakaian sejuk jika bermalam di sini.
Keesokan paginya
kami memulakan pendakian sekitar jam 9:00 pagi. Kami menuju ke Pos 6 dan seterusnya ke Pos 7. Dari Pos 7 ke Pos 8, kami melalui hutan pokok lumut. Pemandangan di kawasan ini sungguh indah,
Sungai di Pos 2 |
Pos 2 |
Pos 3 |
Pos 5 |
Trek pokok berlumut dari Pos 7 ke Pos 8 |
Di Pos 8, kami berehat sebentar untuk membuat minuman panas kerana cuaca sejuk dan kabus tebal. Di Pos 8 juga pendaki boleh bermalam kerana ada punca air, namun punca air ini bergantung pada musim hujan kerana punca air ini berupa sebuah lopak yang besar. Setelah berehat lebih 1 jam, kami meneruskan pendakian ke puncak.
Pos 8 |
Puncak Gunung Rante Mario |
Gunung Rante Mario 3478 mdpl adalah gunung tertinggi di pulau Sulawesi Indonesia. Ia terletak di pergunungan Lantemojong di Daerah Kabupaten Enrekang di tengah Sulawesi Selatan. Kami berada di puncak Rante Mario selama 1 jam. Kerana kabus tebal dan pemandangan tidak dapat dilihat, kami mengambil keputusan untuk turun. Selepas mengambil gambar kenangan, kami terus turun ke Pos 5, mengemas
barang dan terus turun ke Pos 2 untuk bermalam.
Pos 2 |
Keesokan paginya kami
terus turun dari pos 2 ke kampung Karangan. Kami berehat sebentar di rumah Pak Lurah dan meninggalkan sedikit makanan yang berlebihan kerana kami
menumpang di rumah itu dengan percuma.
Kami terus berjalan kaki menuju ke
kampung Rante Lemo untuk mencari kenderaan keluar. Akhirnya kami menyewa
ojek untuk ke rumah Alang (salah seorang porter) yang terletak di Gurah, dan bermalam di rumahnya. Keesokan paginya kami menaiki angkutan kota ke pekan Baraka dan dari Baraka
kami ke Tana Toraja untuk melihat misteri mayat yang disimpan di dalam gua.
Pintu gerbang Tana Toraja
Di Tana Toraja, kami melawat mayat yang disimpan di keranda dan ditempatkan di dalam gua. Penduduk di Tana Toraja percaya orang yang sudah mati cuma berpindah ke alam lain dan mereka tidak menanam mayat-mayat tersebut, kerana mereka percaya mayat akan balik melawat keluarga yang masih hidup. Mayat yang disimpan di dalam gua, menjelaskan kedudukan mendiang semasa hayat, semakin tinggi mayat disimpan semakin tinggi kedudukan pangkatnya.
Keranda yang di simpan di luar gua. |
Sebelum pulang ke Makassar, kami singgah di sebuah rumah yang membina tempat menyimpan mayat untuk ahli keluarganya yang telah meninggal dunia di hadapan rumah mereka.
Nota;
1- Gunung Rante Mario merupakan gunung tertinggi di Pulau Sulawesi dan adalah salah satu G7 Indonesia.
2- Gunung ini boleh didaki 2 hari 1 malam untuk menjimatkan masa dan trek gunung ini hampir 80 peratus pacak dan cuma 20 peratus sahaja mendatar pada pandangan saya.
3- Sewa kijang (kenderaan pancuan empat roda) dari Makassar ke Baraka adalah setengah juta rupiah sehala.
3- Sewa kijang (kenderaan pancuan empat roda) dari Makassar ke Baraka adalah setengah juta rupiah sehala.
4- Tambang lori dari Bandar Barakah ke Kampung Rante Lemo adalah 7 ribu Rupiah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan