Selasa, 9 Ogos 2016

Gunung Kitadake


       Saya bersama 2 orang teman pendaki meneruskan perjalanan dari Kawaguchiko ke Kofu untuk meneruskan xpdc Japan 1234 setelah selesai mendaki Gunung Fuji pada July 2016. Gunung Kitadake merupakan gunung kedua tinggi di Japan dan ia terletak di Minami Alps National Park. Perjalanan dari Kawaguchiko ke Kofu mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit menaiki bas dengan tambang 1470 yen. Sepanjang perjalanan ke Kofu kami melalui banyak kebun anggur dan plum kerana Kofu terkenal dengan penanaman buah plum dan anggur.


Pahlawan Takeda Shingen yang terkenal di Kofu satu masa dahulu

Jadual bas dari Kofu ke Hirogawara
      Disebabkan kami sampai di Kofu pada pukul 5:50 petang dan bas terakhir ke Hirogawara pula pada pukul 2:00 petang, kami terpaksa bermalam di Kofu sementara menunggu bas terawal ke Hirogawara pada pukul 4:35 pagi, keesokan harinya. Kami meninggalkan barang yang tidak perlu di locker penyimpanan bag di Stesen Kofu kerana kami merancang mendaki Gunung Kitadake, Ainodake dan Noutoridake. Mengikut perancangan awal, kami akan mendaki 3 gunung ini yang dikenali sebagai "Shirane-sanzan" yang bermaksud "Three White Summits" dari Hirogawara dan berakhir di Narada. Namun itu semua perancangan "DIY" kami. Ada 2 jalan masuk untuk mendaki Gunung Kitadake iaitu melalui Hirogawara dari timur atau Ryomata dari barat. Namun jalur pendakian dari Hirogawara lebih mendapat sambutan pendaki kerana kemudahannya yang lebih baik. Jalan ke Hirogawara ditutup pada musim sejuk dan ketika beroperasi kereta persendirian tidak dibenarkan melalui jalan ini. Cara mudah ke Hirogawara adalah dengan menaiki bas dari Kofu sekitar 2 jam. Jalan ke Hirogawara sempit dan dibina di lereng gunung. Hanya satu kenderaan sahaja boleh melalui jalan ini dalam satu masa dan cuma ada beberapa bahagian bahu jalan sahaja untuk kenderaan berselisih. Perkhimatan bas pula selalunya akan mula beroperasi sekitar bulan June.



       Setelah sampai di pejabat pendakian dan informasi di Hirogawara, kami melaporkan diri dan sarapan sekadarnya sebelum memulakan pendakian. Terdapat locker sewa untuk menyimpan barang di pejabat pendakian ini. Jalur pendakian ke Gunung Kitadake bermula dari jalan tar di sisi kiri ke belakang pejabat pendaftar ini, melalui pondok pengawal dan menyeberangi sungai. Terdapat papan tanda sebelum dan selepas melalui jambatan gantung ini.


Locker untuk sewa di pejabat informasi di Hirogawara







       Kami mula mendaki sekitar jam 7:15 pagi dan merancang bermalam di Kitadake Kata-no-Koya Hut iaitu hut kedua selepas Shiraneoike Hut. Namun perjalanan ke Shiraneoike Hut amat memenatkan kerana saya tidak biasa mendaki dengan beban yang berat. Perjalanan ke Shiraneoike dianggarkan sekitar 2 hingga 3 jam tetapi saya lalui sekitar 6 jam kerana banyak berehat dan masa bergambar. Pada saya, trek ke Shiraneoike Hut juga agak menegak.





        Kami sampai di Shiraneoike Hut sekitar jam 1:30 petang dan mengambil keputusan untuk berkhemah di sini. Dari sini ke Kitadake kata-no-koya Hut dianggarkan 3 jam dan saya bimbang jika kami meneruskan pendakian akan mengambil masa yang lebih panjang. Sewa tapak khemah di sini adalah 1000 yen untuk semalam. Selesa berkhemah di sini, tapak khemah agak luas, terdapat kemudahan bekalan air, meja, tandas di sini juga bersih, pekerjanya ramah dan mudah membantu. Bila mengetahui rancangan pendakian kami untuk mendaki 3 gunung iaitu Kitadake, Ainodake, Noutoridake dan seterusnya turun ke Narada, ramai pendaki di sini mengatakan perjalanan ini sangat jauh. Setelah menimbal balik rancangan kami, malam itu kami merancang mendaki Kitadake dan Ainodake secara daypack dan pulang semula ke sini untuk bermalam.

Shiraneoike Hut




        Keesokan paginya, kami memulakan pendakian sekitar jam 7:30 pagi. Perjalanan ke puncak Kitadake dianggarkan sekitar 4 jam. Di awal pendakian trek menegak dibina secara "zigzag" sehingga kami sampai dijalur berbatu-batan. Sampai di atas banjaran, kami trekking di rabung banjaran dan kami dapat melihat terdapat banyak puncak di Banjaran Minami ini.












      Kami sampai di Kitadake Kata-no-koya Hut sekitar jam 11:00 pagi. Hut ini terletak di kaki puncak Kitadake di ketinggian 3000 meter, sekitar 45 minit mendaki. Jika cuaca cerah tanpa kabus, kita boleh melihat Gunung Fuji dari sini. Kami meneruskan perjalanan ke puncak Kitadake setelah berehat 15 minit di sini.





     Pemandangan ke puncak Kitadake amat memukau pandangan saya. Cuaca cerah sebagai bonus memberi peluang kepada kami menyaksikan keindahan alam di Banjaran Minami ini. Trek turun naik agak memenatkan namun pemandangan cantik ini tidak menjemukan dan memberi kekuatan untuk kami terus melangkah.







     Akhirnya saya dan 2 teman pendaki sampai di puncak Kitadake pada pukul 12:00 tengahari. Puncak Kitadake 3193 meter merupakan puncak kedua tinggi di Jepun. Awalnya cuaca agak berkabus semasa kami sampai di puncak ini, namun ia berubah cerah 15 minit kemudian dan memberi peluang kami melihat keindahan alam yang amat cantik ciptaan MAHA PENCIPTA.




        Setelah berehat dan merakam gambar kenangan, kami meneruskan perjalanan turun dari arah bertentangan untuk menuju ke Gunung Ainodake pada jam 12:50 petang. Setelah turun sekitar 50 minit, kami jumpa papan tanda simpang ke Hirogawara. Teman saya mencadangkan kami melalui simpang menuju ke Hirogawara ini bila pulang nanti. Tujuannya bagi mengelak kami mendaki Gunung Kitadake 2 kali jika melalui jalan pulang yang sama dengan jalan mendaki tadi. Simpang ini adalah jalan altenative iaitu jalan pintas ke Hirogawara dan terdapat simpang ke Shiraneoike Hut tempat kami meninggalkan khemah di pertengahan jalan turun ke Hirogawara nanti.





        Tidak berapa jauh dari sini terdapat Kitadake Hut atau Kitadake villa (Kitadake sanso). Kami meneruskan perjalanan ke puncak Ainodake dan perjalanan dianggarkan sekitar 3 jam. Bersambung di gunung Ainodake.......
Terima kasih Allah.

Nota:
1- Ada 2 jalan masuk ke Gunung Kitadake iaitu Hirogawara dari timur dan Ryomata dari barat.
2- Perkhimatan bas dari Kofu ke Hirogawara tidak beroperasi pada musim sejuk dan kenderaan peribadi tidak dibenarkan melalui jalan ke Hirogawara. ( Jadual bas bermula sekitar bulan June ).
3- Tidak memerlukan permit dan guide untuk mendaki di Banjaran Minami.
4- Musim pendakian sesuai bermula bulan July.
5- Terdapat tapak khemah di setiap kawasan Hut. (Cuma bayar harga tapak khemah).
6- Kebanyakan papan tanda hanya ditulis dalam bahasa Jepun. Baik sekiranya kita menghafal atau membawa nota perkataan (abjad) Hirogawa atau sebagainya sebagai panduan.


5 ulasan:

Unknown berkata...

Bestnye ju....

Jurimahmohdariffin berkata...

mendaki gunung memang best jmie lia

BalanJ berkata...

next trip bila pula Ju

Jurimahmohdariffin berkata...

tunggu tabung penuh bala...trip confirm pulaq filipine on next january

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.