Khamis, 2 Februari 2017

Gunung Pulag Trail Ambangeg-Akiki

 
     Masyarakat asli tempatan menggelar puncak Gunung Pulag "Playground of the God". Pemandangan lautan awan yang terkenal di puncak paling tinggi Pulau Luzon ini adalah panorama istimewa yang dihadiahkan kepada pendaki yang bernasib baik sahaja. Ini kerana kabus tebal juga sering menemani puncaknya. Menyaksikan pemandangan indah Puncak Pulag di media sosial menyebabkan saya dan 14 rakan merancang mendaki ke gunung ini pada January 2017. Gunung Pulag terletak di utara Manila sekitar 9 jam memandu.



      Kami sampai di Manila sekitar jam 12:20 tengahari waktu tempatan dan setelah semua bersedia kami bertolak dengan menyewa 2 buah van menuju ke Baguio, bandar paling hampir ke Taman Negara Gunung Pulag. Perjalanan melintasi bandar Manila yang terkenal dengan kesesakan kenderaan menyebabkan perjalanan kami mengambil masa agak lama seperti yang dijangka. Setelah singgah beberapa kali dalam perjalanan ke Baguio, kami sampai di bandar ini sekitar jam 10:00 malam. Di sini kami membeli air mineral dan rehat sebentar. Kami kemudian meneruskan perjalanan sekitar 2 jam dan sampai di Benguet jam 12:30 tengah malam dan bermalam di sana. Keesokan paginya sekitar jam 8:00 pagi, kami ke hospital di Bokot, Benguet untuk membuat sijil kesihatan mendaki Gunung Pulag.


      Selesai membuat sijil pengesahan tahap kesihatan, kami singgah di pejabat Taman Negara Gunung Pulag untuk mendengar taklimat dan melaporkan diri. Taklimat menerusi siaran video ini memakan masa sekitar 30 minit. Kemudian kami kembali ke homestay, sarapan, packing barang keperluan yang perlu dibawa ke gunung dan mengambil "pack lunch" yang telah disediakan. Sekitar jam 11:00 pagi kami menaiki jeepney menuju Ambangeg Station Ranger Babadak, Kabayan Benguet Taman Negara Gunung Pulag.






        Perjalanan ke Station Ranger Babadak (2340 mdpl) mengambil masa hampir 1 jam menaiki jeepney. Saya dan rakan-rakan merancang trekking ke Gunung Pulag ini dari Trail Ambangeg- Akiki. Kebiasaannya pendaki akan mendaki Gunung Pulag dari Trail Akiki-Ambangeg tetapi kami memilih untuk "reverse trek" kerana menyedari kemampuan kumpulan kami yang sederhana dan untuk menjimatkan masa. Mendaki dari trail Akiki-Ambangeg memerlukan 3 hari manakala dari Ambangeg-Akiki pula kami lakukan 2 hari. Ini kerana Trail Akiki yang terkenal sebagai "The Killer Trail" amat mencabar tambahan pula treknya yang pacak dan jauh. Ini menyebabkan 2 hari diperlukan untuk ke puncak jika mendaki dari Trail Akiki. Manakala melalui Trail Ambangeg, jarak Ranger Station Babadak ke puncak sekitar 8-9 kilometer dan mengambil masa sekitar 5-6 jam untuk ke Kem 3. Setelah berkenalan dengan 2 guide, seorang porter yang memikul beban barang kumpulan dan seorang tukang masak, kami bergerak santai dalam cuaca yang cerah dan udara yang nyaman.





       Ada empat jalur ke Gunung Pulag iaitu Trail Ambangeg yang dianggap paling mudah, Trail Akiki yang terkenal mencabar, Trail Tawangan dari Benguet dan Trail Ambaguio dari Neiva Vizcaya. Kami mula trekking pada jam 12:45 tengahari dan sampai di Kem 1 sekitar jam 2:00 petang. Setelah berehat seketika, kami meneruskan trekking ke Kem 2 dan sampai di sana sekitar jam 3:30 petang. Dalam perjalanan menuju ke Kem 2 kami disambut dengan hujan yang sederhana lebat. Guide mencadangkan kami bermalam di Kem 2 namun kami membantah kerana masih awal dan jarak Kem 2 ke puncak agak jauh sekitar 2 jam trekking. Setelah persetujuan dibuat, kami melanjutkan perjalanan menuju Kem 3 seperti yang dirancang untuk bermalam.




Kem 1
      Seksa trekking ke Kem 3 ketika hujan lebat dan angin kencang menyebabkan saya terfikir untuk bersara dari aktivity mendaki. Tangan saya gagal menggenggam kerana terlampau sejuk dan kebas. Kami sampai di Kem 3 atau lebih dikenali sebagai "Saddle campsite" sekitar jam 6:00 petang. Sementara menunggu khemah siap dipasang, saya segera menukar baju untuk mengelak terkena "hypo". Petang dan awal malam itu hujan turun renyai-renyai tetapi angin bertiup kencang. Kami berehat dan tidur di dalam khemah sementara menunggu makan malam disediakan. Tepat jam 9:00 malam, makan malam kami dihantar ke khemah. Hujan masih renyai dan cuaca amat sejuk pada masa itu menyebabkan kami keberatan untuk keluar makan. Sekitar jam 1:00 pagi, teman di khemah sebelah bersorak mengatakan hujan telah berhenti dan di langit ternampak bintang. Saya senyum sendirian kerana terbayang cuaca akan cerah pagi nanti.





      Keesokan paginya kami bergerak ke puncak sekitar jam 5:30 pagi. Seperti yang dijangka, cuaca pagi itu sungguh cerah dan yang paling menarik, permaidani awan terbentang luas di depan mata. Saya dan kebanyakan pendaki lain terpukau melihat panorama indah ini. Sebagaimana ia dirakam indah di photo, indah lagi pemandangan ini di mata kami. Kuasa cahaya dari langit itu sama sahaja di Malaysia, tetapi ia kelihatan sangat indah di tempat paling tinggi di Pulau Luzon ini. Ia seolah-olah ada negeri di atas awan.




      Saya sampai di puncak Gunung Pulag 2922 mdpl sekitar jam 6:00 pagi. Dari puncak ketiga tinggi Filipina ini kita berpeluang melihat puncak lain seperti Puncak Amuyao, Puncak Napulauan, Puncak Tabayoc yang juga merupakan puncak kedua tinggi Pulau Luzon, Puncak Tenglawan, Puncak Kibungan dan puncak-puncak lain lagi. Saya bertanya kedudukkan gunung-gunung ini pada pendaki tempatan yang berbual dengan saya semasa di puncak, namun mereka juga tidak pasti kedudukan puncak-puncak gunung ini, mungkin kerana puncak-puncak ini cuma timbul di celah-celah permaidani awan menyebabkan ia sukar dikenal pasti.




Bergambar bersama pendaki tempatan






       Setelah puas merakam gambar dari berbagai sudut di puncak Gunung Pulag, kami bergerak turun ke Kem 3 untuk sarapan, mengemas barang dan meneruskan perjalanan pulang melalui Trail Akiki. Setelah sarapan dan dibekalkan dengan "pack lunch" kami mula bergerak pulang sekitar jam 9:30 pagi. Target saya hari ini adalah sampai ke sungai sebelum cuaca gelap. Trek pulang melalui Trail Akiki ini agak jauh dan curam menyebabkan saya mendesak teman-teman mengurangkan masa rehat. Jika sampai ke Eddit River semasa cuaca cerah, baki perjalanan 2 jam keluar tidak sesukar mana.






      Dari Kem 3, kami menyusuri jalur di kawasan terbuka yang menjamukan pemandangan indah. Jalur amat jelas dan cuma ditumbuhi pokok renik setinggi paras lutut ke paha. Kami merakam gambar di sepanjang trek hingga turun ke jalur hutan berlumut.







      Selepas melalui hutan pokok berlumut, kami memasuki kawasan hutan pokok tirus yang dikenali sebagai "Marboro Country". Tidak banyak jalur yang mendatar di Trail Akiki ini, patutlah ia digelar "The Killer Trail" kerana pada pandangan saya ianya amat mencabar jika mendaki dari trek ini. Trek Akiki mengambil sempena bunyi sejenis burung di Taman Negara Pulag yang merupakan kawasan perlindungan burung. Bunyi siulan burung itu A-ki-ki menyebabkan trek ini dinamakan Akiki. Melalui trek hutan pokok tirus yang dikenali sebagai "Marboro Country" agak sukar. Kami melalui jalur yang curam hingga sampai di jambatan gantung di Eddit River. Di pertengahan jalan kami singgah makan tengahari dan berehat sebentar.









       Kami sampai di Eddit River sekitar jam 4:00 petang. Hati sedikit lega bila kumpulan terakhir sampai di sini sekitar jam 4:45 petang. Kami berehat dan minum petang sebentar di pondok seberang Eddit River selepas jambatan. Ini bermakna kami telah melepasi trek paling sukar di Trail Akiki.





      Kami kemudian meneruskan perjalanan ke pintu masuk Trail Akiki sekitar jam 5:00 petang. Trek sedikit naik kemudiannya agak mendatar. Kumpulan terakhir sampai di Akiki Ranger Station Kabayan sekitar jam 6:45 malam. Kami kemudian melanjutkan perjalanan ke homestay dengan menaiki jeepney sekitar satu jam.



      Malam itu kami berangkat pulang ke Manila dengan menaiki 2 buah van yang disewa. Untuk mengelak kesesakkan jalan raya, kami bertolak pada pukul 10:00 malam dan sampai di Manila sekitar jam 3:30 pagi. Ianya lebih baik dari kami penat melayan kesesakan jalan raya yang memakan masa sekitar 10 jam jika bertolak waktu siang. Melihat gambar indah di Puncak Pulag menyebabkan saya tidak jadi bersara dari mendaki. Terima kasih kepada teman-teman yang memberi kerjasama sepanjang trip ini. Terima kasih Allah.

Itinerary:
Day 1
ETA Manila 12:20 tengahari
13:30 - Menaiki van menuju Benguet.
00:30 - Sampai Benguet, bermalam.
Day 2
08:00 - Ke hospital membuat sijil kesihatan mendaki Gunung Pulag.
10:00 - Mendengar taklimat Gunung Pulag.
11:45 - Berangkat menaiki jeepny ke Ambangeg Ranger Station.
12:45 - Mula mendaki.
18:00 - Sampai Kem 3 (Saddle Campsite) bermalam.
Day 3
05:30 - Summit attack
06:00 - Sampai puncak, sunrise
07:30 - Bergerak turun ke Kem3, sarapan dan berkemas.
09:30 - Bergerak turun melalui Trail Akiki.
18:45 - Sampai Akiki Ranger Station Kabayan.
20:00 - Sampai homestay, makan malam dan berkemas.
22:00 - Bergerak pulang ke Manila menaiki van.
03:30 - Sampai Manila, check-in hotel.

Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Filipina.
2- Sijil kesihatan peserta wajib untuk mendaki Gunung Pulag. Sijil boleh dibuat di mana-mana hospital atau klinik (di Benguet sijil dikenakan 150 Peso seorang)
3- Jika menaiki bas tempatan dari Manila, station bas ke Baguio terletak di Pasay.
4- Peralatan mendaki seperti rain coat, head lamp, baju sejuk, glove dan lain-lain keperluan.
5- Ubat-ubatan, daycrime, sun glass, lips glose minyak angin dan sebagainya.
6- Contact in person- gina +639198169234


10 ulasan:

Jaket Merah Jambu berkata...

Aduh. Nak pengsan tengok gambar-gambar saudara. Asyik Indonesia saja. Ingatkan nak ke Pulag tahun hadapan. Terima kasih untuk ceritanya..

Jurimah Ariffin berkata...

sama-sama. terima kasih singgah di blog saya.

Jaket Merah Jambu berkata...

Guide (Gina) tu awak rekomen tak? Sebab saya tengah mencari guide ke sana..

Jurimah Ariffin berkata...

saya rekomen gina untuk uruskan trip awak di sana tetapi dia bukan guide. dia ok.

sir-riey berkata...

Salam..nk tye..peralatan khemah dgn mkn mase hiking mcm mane? Diorg provided ke?

Jurimah Ariffin berkata...


wsalam...terpulang pada anda dan group. saya dan group minta mereka masak (nasi putih, sup ikan) barangan lain kami bawa seperti sardin, sambal tumis dll. khemah sahaja kami sewa dengan mereka, peralatan peribadi seperti mat, sleeping bag, lampu dll kami bawa snderi.

sir-riey berkata...

Oic..peralatan memasak pn diorg sediakn ke..mcm stove n periuk..or bwk sndr dr msia?😊

Jurimah Ariffin berkata...


kalau minta mereka sediakan makanan, mereka akan sediakan dan bawa peralatan yang mereka perlukan untuk memasak seperti stove dan periuk. kalau makanan tambahan yang kita bawa sendiri, kita yang sediakan peralatannya jika ingin memanaskannya. tapi jika mereka tidak kisah mungkin kita boleh pinjam peralatan mereka dan bayar untuk harga gas, tetapi terpulang pada mereka. saya cadangkan bawa satu stove dan periuk ringan yang simple, mana tahu jika perlu masak air tengah malam untuk ngopi.

muhammad bin idris berkata...

Berapa ongkos y dikeluarkan exclude flight

Jurimah Ariffin berkata...

Masa saya ke sana..nilai matawang msia agak rendah...pada masa itu sekitar rm700.