Jumaat, 4 Ogos 2017

Gunung Singgalang via jalur Pagu-Pagu


       Pertama kali saya melihat Telaga Dewi di puncak Gunung Singgalang pada May 2011 dahulu, mata saya terpukau dan hati tersangkut dengan pesona keindahannya. Pada masa itu saya cuma mendaki Gunung Singgalang secara "daypack" dari jalur Desa Pandai Sikek di Koto Baru. Pada hari itu saya berhasrat untuk datang lagi ke sini dan bermalam di tepian Telaga Dewi yang mendamaikan ini.


       Setelah 6 tahun berlalu, saya ke sini lagi. Kali ini saya cuba mendaki Gunung Singgalang dari jalur yang baru dibuka iaitu jalur Pagu-Pagu. Berbeza dangan jalur dari Desa Pandai Sikek, jalur Pagu-Pagu lebih jauh dan pacak. Jalur ini dibuka sebagai pilihan lain setelah jalur dari Desa Pandai Sikek rosak teruk dan dinaiki air di awal trek pendakian. Saya juga diberitahu jalur Desa Pandai Sikek amat licin dan kenderaan tidak boleh menghantar hingga ke kawasan Menara Pemancar tempat mula saya trekking dahulu. Jadi, saya dicadangkan mendaki dari jalur Pagu-Pagu.


       Saya bersama 6 rakan mendaki ke Gunung Singgalang ini pada July 2017. Kami sampai di Airport Padang sekitar jam 08:00 pagi dan teman saya menjemput kami dengan 2 buah kenderaan dan terus berangkat ke Bukit Tinggi yang mengambil masa sekitar 2 jam setengah. Dalam perjalanan ke kaki Gunung Singgalang, kami singgah di Pasar Koto Baru untuk makan tengahari dan membeli sedikit barang tambahan untuk mendaki. Setelah semua sedia, kami berangkat ke pintu masuk jalur Pagu-Pagu Gunung Singgalang.



      Di pintu masuk jalur Pagu-Pagu terdapat pondok tempat melapor diri dan bayaran seorang pendaki asing dikenakan sebanyak Rp 25 ribu seorang manakala local pula Rp 10 ribu seorang. Setelah bersiap sedia, kami ditemani seorang guide dan dua orang porter mula mendaki Gunung Singgalang pada jam 1:00 petang. Di awal trekking, jalur seperti biasa melalui kebun sayur-sayuran penduduk kampung. Jalur redup dan mendatar menyusuri parit yang mengalir jernih dan sejuk sehingga sampai di titi buluh dan di sini kami berehat seketika.




         Kemudian kami meneruskan pendakian ke Shelter 1. Jalur mulai tegak mencacak menyebabkan kami sedikit mencunggap. Kami sampai di Shelter 1 pada jam 2:30 petang. Di Shultel 1 terdapat rumah pohon dan kawasan khemah yang luas dan rata. Menurut Dedi, guide yang memandu kami, kawasan ini boleh memuatkan sekitar 100 buah khemah.



      Setelah berehat seketika, kami meneruskan pendakian ke puncak Gunung Singgalang untuk bermalam di Telaga Dewi. Jalur terus mencacak tanpa sedikit rasa ehsan pada teman saya yang mula menjinakkan diri dalam aktiviti mendaki ini. Saya bergerak di kumpulan akhir merasakan trek dari Pagu-Pagu ini agak mencabar berbeza jalur yang saya daki 6 tahun dahulu. Kami sampai di Shelter 2 setelah 45 minit mendaki. Menurut Dedi, jarak Shelter 2 ke shelter 3 agak jauh dan terus mancacak. Saya berbincang dengan Dedi, sekiranya gelap dan kami masih jauh dari Telaga Dewi, kami sebaiknya bermalam di shelter 3 sahaja. Memandangkan kami keletihan, akhirnya kami di kumpulan akhir tiba di shelter 3 pada jam 9:00 malam.



     Dari shelter 3 ini kami dapat melihat bandar Bukit Tinggi yang diterangi lampu. Disebabkan angin bertiup kencang, saya tidak berlama-lama di luar khemah kerana kesejukkan. Dari shelter 3 juga kita boleh melihat Gunung Marapi dengan jelas. Keesokkan paginya kami meneruskan pendakian ke Telaga Dewi pada jam 8:00 pagi selepas sarapan.




    Dari shelter 3 ke Telaga Dewi, kami menempuhi hutan berlumut. Trek terus mencacak dan cuma beberapa kawasan sahaja yang mendatar. Trek jelas dan ditandai dengan papan bernumbor. Tanda bernumbor "P01" bermula di shelter 1 dan numbor terakhir iaitu "P72" pula di Telaga Dewi.




       Akhirnya kami sampai di Telaga Dewi setelah trekking sekitar 1 jam. Kali ini rupa Telaga Dewi tetap juga memukau pancaindera saya. Cuaca yang bagus sebagai bonus mengindahkan lagi Telaga Dewi ini. Melihat wajah Telaga Dewi yang mesra menyambut kedatangan kami meleraikan rasa penat lelah semasa mendakinya. Benarlah kata Dedi, "proses tidak mengkhianati hasil".




      Kami berehat, bergambar dan berkongsi masa menyaksikan keindahan alam ciptaan MAHA PENCIPTA yang berada di paras 2795 mdpl ini. Kemudian saya dan beberapa orang teman meneruskan pendakian ke puncak sebenar Gunung Singgalang yang berada di Menara Pencawang di kawasan agak tinggi. Perjalanan dari Telaga Dewi ke Menara Pencawang mengambil masa sekitar sejam. Jalur ke Menara Pencawang agak semak dan berlumut tebal mungkin kerana jarang dilalui pendaki. Kebanyakan pendaki lebih selesa berehat di tepian Telaga Dewi.




      Setelah 45 minit trekking, kami sampai di puncak sebenar Gunung Singgalang di Menara Pencawang pada paras 2877mdpl. Dari puncak Gunung Singgalang ini, kami dapat melihat Gunung Marapi berdiri kukuh.




       Setelah merakam gambar kenangan di puncak Gunung Singgalang, kami kembali trekking turun ke Telaga Dewi dan mengambil masa sekitar 30 minit. Kami makan dan berehat hampir 2 jam di Telaga Dewi.





       Telaga Dewi merupakan bekas kawah gunung berapi yang tidak aktif lagi. Gunung Singgalang merupakan salah satu gunung yang kaya dengan sumber air. Selain dari jalur Desa Pandai Sikek dan jalur Pagu-Pagu, Gunung Singgalang juga boleh didaki dari jalur Toboh dan jalur Balingka. Kebiasaannya mendaki Gunung Singgalang dari jalur Pagu-Pagu mengambil masa sekitar enam hingga sembilan jam untuk ke Telaga Dewi bergantung pada kecergasan pendaki. Menurut Dedi, kami merupakan kumpulan pertama dari Malaysia dan dari luar Indonesia yang mendaki Gunung Singgalang melalui jalur Pagu-Pagu ini.






      Tidak puas bermesra dengan Telaga Dewi, kami terpaksa berangkat turun memandangkan masa yang terhad. Kami sampai di Shelter 3 pada jam 1:00 petang. Setelah mengemas barang, kami meneruskan perjalanan turun pada jam 1:45 petang dan kumpulan akhir sampai di pondok lapor diri pintu masuk jalur Pagu-Pagu adalah sekitar jam 8:30 malam. Saya berharap akan ke sini lagi. Terima Kasih ALLAH.

Itinerary:
Day 1
08:00 - Sampai Airport Padang dan terus berangkat ke kaki Gunung Singgalang di Bukit Tinggi.
10:00 - Singgah di Pasar Koto Baru, lunch dan membeli sedikit barang keperluan mendaki.
12:00 - Sampai di pondok jalur Pagu-Pagu Gunung Singgalang.
13:00 - Mulai mendaki Gunung Singgalang.
21:00 - Kumpulan akhir sampai di Shelter 3.
Day 2
08:00 - Mulai mendaki ke Telaga Dewi.
09:10 - Sampai di Telaga Dewi 2795mdpl.
09:20 - Meneruskan pendakian ke Menara Pencawang puncak Gunung Singgalang.
10:05 - Sampai Menara Pencawang puncak Gunung Singgalang 2877mdpl.
10:20 - Mulai turun ke Telaga Dewi.
10:50 - Sampai di Telaga Dewi.
12:10 - Meneruskan perjalanan turun ke Shelter 3.
13:00 - Sampai Shelter 3.
13:45 - Meneruskan perjalanan turun ke pondok jalur Pagu-Pagu.
20:30 - Kumpulan akhir sampai ke pondok lapor diri jalur Pagu-Pagu.

Nota:
1- Bayaran mendaki bagi warga asing Rp25 ribu seorang dan lokal Rp10 ribu seorang.
2- Sekiranya mendaki dengan kumpulan yang perlahan dan masih baru menceburkan diri dengan aktivity mendaki, mulailah mendaki seawal pagi.
3- Guna khidmat guide dan porter yang berpengalaman, rajin, kuat dan yang penting sabar untuk melancarkan dan menyenangkan perjalanan pendakian anda.
4- Peralatan mendaki seperti head lamp, baju sejuk atau jacket, pakaian sesuai, stick, sarong tangan, rain coat dan sebagainya.
5 - Pilihlah musim kemarau untuk mendaki kerana jika mendaki di musim hujan, jalur amat becak.
6 - Cadangan guide dan porter Dedi  +62 812-6127-1756.



Tiada ulasan: