Khamis, 7 September 2017

Gunung Sindoro via Jalur Kledung




       Kami berehat di Base Camp Gunung Sumbing di Desa Garung setelah turun dari mendaki Gunung Sumbing. Perancangan awal kami meneruskan pendakian ke Gunung Sindoro petang itu setelah berehat sebentar, tetapi disebabkan keletihan dan waktu agak lewat dari jadual kami, saya dan teman pendaki menangguhkan pendakian ke Gunung Sindoro. Kami merancang pendakian ke Gunung Sindoro keesokan paginya dan mengambil jasa porter dari Base Camp Gunung Sumbing untuk menemani kami ke Gunung Sindoro. Benny yang akan menemani kami ke Gunung Sindoro mempelawa kami bermalam di rumahnya agar lebih selesa memandangkan suasana di Base Camp Gunung Sumbing agak bising kerana ramai pendaki bermalam di sana. Kami bersetuju dan segala persediaan ke Gunung Sindoro dibuat di rumah Benny. Keesokkan paginya pada jam 7:00 pagi, setelah bersedia kami berangkat ke Base Camp Gunung Sindoro yang berjarak sekitar 10 minit menaiki motorsikal dari rumah Benny.


      Setelah mendaftar di Base Camp Gunung Sindoro, kami sarapan di salah sebuah gerai di hadapan base camp. Mendaki Gunung Sindoro ini, kami memilih dari Jalur Kledung yang popular di kalangan pendaki tempatan. Permit mendaki adalah Rp 12,500 seorang. Di Base Camp Gunung Sindoro ini pemandu ojek sentiasa bersedia untuk menghantar pendaki hingga ke Pos 1 dan kami bercadang menaiki ojek untuk memudahkan pendakian.



      Selesai sarapan, kami memulakan perjalanan dengan menaiki ojek pada jam 8:15 pagi. Menurut pemandu ojek, mereka boleh menghantar kami sehingga ke pertengahan jalur menuju Pos 2 dan bayarannya adalah Rp 25 ribu seorang. Kami melalui kebun tembakau penduduk desa dan jalan agak rata berbanding jalur Gunung Sumbing yang kami lalui kemarin. Menaiki ojek akan menjimatkan masa trekking sekitar 2 jam.




         Setelah menaiki ojek sekitar 10 minit, kami melintasi Pos 1 dan sampai di pertengahan Pos 2. Terdapat pondok ojek di pertengahan jalur dan di sini pendakian ke puncak Gunung Sindoro bermula. Kami trekking secara santai menuju Pos 2. Permulaannya trek agak landai, kemudiannya trek menegak 45 darjah menuju ke Pos 2. Kami sampai di Pos 2 pada jam 9:00 pagi dan berehat di sini sebentar. Di Pos 2 ini terdapat sebuah pondok dan kita boleh melihat Gunung Sumbing berdiri megah dengan jelas dari Pos 2 ini.



      Kami meneruskan pendakian ke Pos 3 setelah berehat sekitar 20 minit. Trek ke Pos 3 agak menegak dan jalur agak licin di musim kemarau ini. Kami sampai di Pos 3 pada jam 11:00 pagi. Terdapat banyak khemah telah didirikan di Pos 3 ini. Benny mencadangkan kami berkhemah di Sunnrise Camp, sekitar 30 minit mendaki dari Pos 3. Memandangkan masih awal, kami bertiga meneruskan pendakian ke Sunrise Camp dan sampai di sana pada jam 11:30 pagi.




     Disebabkan pendakian ke puncak tidak dapat diteruskan, kami cuma berehat di Sunrise Camp ini. Pendakian dari Sunrise Camp ke puncak mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam secara normal. Pendaki tidak dibenarkan berada di puncak melepasi jam 12:00 tengahari kerana belerang dari kawah di puncak Gunung Sindoro agak tebal di siang hari jika angin bertiup. Asap dari belerang sangat bahaya dan boleh membawa maut.



     Dari Sunrise Camp, pendaki dapat menyaksikan pemandangan Gunung Sumbing yang dikeliling rumah-rumah di Desa Garung di kakinya. Disebabkan kami mempunyai banyak masa semasa di Sunrise Camp, saya bersiar di sekitar tapak perkhemahan dan bertegur sapa dengan pendaki lain. Kami tidur awal malam itu selepas makan malam kerana kami akan "summit attack" di awal pagi. Jam 4:00 pagi kami mula trekking ke Pos 4 atau Batu Tatah. Di permulaan pendakian, kami mendaki batu-batu besar dan terdapat pokok-pokok besar juga.





       Kami sampai di Pos 4 atau Batu Tatah sekitar jam jam 6:00 pagi. Di sini trek mula terbuka dan kami menyaksikan matahari terbit dari tempat setinggi 2838 mdpl ini. Ramai pendaki mula duduk santai dan melambatkan pendakian kerana menyaksikan panorama indah ciptaan "Yang Maha Besar". Saya juga bergerak agak perlahan sambil menyaksikan alam yang damai ini. Dari Pos 4, kami melalui Hutan Lamtoro menuju ke Pos 5 atau Padang Eldewiis. Kami banyak merakam gambar di sini kerana wajah bumi sangat indah di saat ini.





      Selain Jalur Kledung, Gunung Sindoro juga oleh didaki dari beberapa jalur lain antaranya dari Jalur Sikatok /Sigedang, Jalur Sibayak dan jalur Jlumprit. Menuju ke puncak, pokok-pokok banyak yang telah mati, mungkin disebabkan asap belerang yang semakin mengganas.






         Pendakian ke Padang Eldeweis agak memenatkan kerana mendaki batu-batu besar dan bau belerang semakin tidak menyenangkan. Kami menutup mulut dan hidung menggunakan pakaian dan "facemask".



      Saya sampai di puncak Gunung Sindoro 3153 mdpl pada jam 8:00 pagi. Bau belerang agak kuat semasa kami berada di puncak dan ketika angin bertiup, asap belerang menerjah muka dan memedihkan mata. Dari bibir kawah saya mendengar suara ledakan dari dasar kawah yang agak mengerunkan. Suara garang seperti tidak sabar mahu memuntahkan laharnya. Saya tidak berada lama di puncak, selain dari bau belerang yang kuat dan asapnya yang memedihkan mata, panas terik juga menyebabkan saya ingin segera turun.



      Kami turun sekitar jam 8:10 pagi dan sampai di Sunrise Camp pada jam 11:00 pagi. Kami berehat dan masak untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan turun. Selesai makan dan bersedia, kami mula trekking turun pada jam 12:30 tengahari. Kami sampai di pengkalan ojek pada jam 2:30 petang dan terus menaiki ojek menuju ke rumah Benny di mana sebahagian barang-barang kami ditinggalkan. Kami berehat dan mandi di rumah Benny sebelum meneruskan trip "triples S" menuju Gunung Slamet. Terima kasih Allah.


Itenerary:
Hari 1
07:00- Berbangkat dari rumah Benny ke Base Camp Gunung Sindoro.
08:15- Menaiki ojek ke pertengahan Pos 2.
08:30- Memulakan pendakian ke Pos 2.
09:00- Sampai Pos 2 dan berehat seketika.
11:00- Sampai Pos 3.
11:30- Sampai Sunrise Camp, berkhemah dan bermalam.

Hari 2
04:00- Memulakan "summit attack" ke puncak Gunung Sindoro.
06:00- Sampai Pos 4 atau Batu Tatah.
08:00- Sampai puncak Gunung Sindoro 3153 mdpl.
08:10- Bergerak turun ke Sunrise Camp.
11:00- Sampai Sunrise Camp, rehat dan makan tengahari.
12:30- Bergerak turun dari Sunrise Camp.
14:30- Sampai pengkalan Pos Ojek.
15:00- Sampai rumah Benny.

Nota:
1- Permit mendaki Gunung Sindoro Rp 12,500 seorang.
2- Bayaran ojek dari Base Camp Gunung Sindoro ke pertengahan Pos 2, Rp 25 ribu seorang sehala.
3- Masa di puncak adalah dari jam 7:00 pagi sehingga 12:00 tengahari.
4- Bawa pelindung muka (facemask).
5- Contact Porter:
A- Benny (+6281327609703)
B- Miftah (+6281548313757)
6- Contact Base Camp Gunung Sindoro:
Rian (+6285747497256), Sumar (+685647854462), Ipin (+685729420989)


Tiada ulasan: