Saya pernah ke sini tahun lalu secara kebetulan. Setelah melawat dua bandar menarik dan unik ini, saya berhasrat untuk datang lagi ke sini dan merancang lawatan ke sini pada tahun berikutnya. Saya memilih tarikh yang dijangka musim bunga sakura berkembang. Saya dan tujuh orang teman membeli ticket ke sini pada 11 January hingga 16 January 2018 untuk bercuti.
Kemudian kami meneruskan perjalanan dan singgah di Wat White Temple. Wat Rong Khun atau White Temple ini direka dan dibina oleh seorang jurutera dengan modal sendiri. THB 50 dikenakan sebagai bayaran masuk ke dalam wat yang di cat dengan warna putih ini dan wang tersebut digunakan untuk membayar gaji sekitar 100 orang pekerja yang menjaga dan merawat wat separuh kaca ini. Wat White Temple ini berbeza dengan wat lain kerana kebiasaannya wat di negara Thailand berwarna kuning keemasan.
Chiang bermaksud bandar dan Rai pula mengambil nama seorang raja yang pernah memerintah Chiang Rai satu masa dahulu. Kami sampai di Chiang Rai sekitar jam 2:00 petang dan terus menuju ke Masjid Darunaman. Terdapat kedai makanan halal di sebelah masjid ini dan kami makan tengahari di sini.
Selesai makan tengahari kami melawat pesta bunga yang sedang berlangsung di bandar Chiang Rai. Pesta Bunga kali ke 14 ini bertemakan bunga tulip, namun berbagai bunga lain turut disertakan dan dihias indah. Pesta Bunga di Chiang Rai biasanya akan berlangsung setiap hujung tahun di bulan Disember sehingga akhir bulan January. Namun pembaca dicadangkan merujuk kepada internet untuk kepastian tarikh pesta ini. Manakala di Chiang Mai pula pesta bunga biasanya berlangsung pada bulan February setiap tahun. Masuk ke Pesta Bunga Chiang Rai ini percuma.
Setelah puas bergambar di pesta bunga ini, kami "check in" hotel di bandar Chiang Rai dan pada jam 7:50 malam kami menaiki van ke Menara Jam Chiang Rai yang juga dikenali sebagai Golden Clock Tower Chiang Rai. Telah ramai pelancong menunggu kerana setiap jam 7:00, 8:00 dan 9:00 malam menara jam di tengah bandar Chiang Rai ini akan disimbahi cahaya lampu berbagai warna dan diiringi muzik umpama persembahan pendek menyambut pelancong. Persembahan ini akan berlangsung selama 10 minit setiap sesi pada waktu yang telah ditetapkan setiap malam. Golden Clock Tower Chiang Rai ini dibina pada tahun 2008 oleh seorang jurutera yang juga membina Wat White Temple iaitu Encik Chalermchai Khositpipat.
Kemudian kami ke Chiang Rai Night Bazzar. Night Bazzar ini diadakan setiap malam dan berbagai barangan dijual kebanyakannya pakaian, makanan, barangan kraf tangan buatan penduduk tempatan dan berbagai lagi.
Keesokkan paginya, hari kedua kami "check out" dan ke Masjid Darunaman sekali lagi untuk bersarapan. Setelah bersarapan kami ke Golden Triangle. Perjalanan ke sempadan 3 buah negara ini mengambil masa sekitar 1 jam memandu dari bandar Chiang Rai. Kami menyewa sebuah bot untuk 8 orang dan meninggalkan pasport di pondok polis di jetty kerana memasuki Laos tidak memerlukan pasport. THB 30 seorang dikenakan untuk pas ke Laos manakala Burma pula hanya dapat dilihat dari atas bot. Pakage ini memakan masa sekitar 90 minit. Di daratan Laos, deretan kedai menjual pakaian, barangan kulit, makanan, kraf tangan dan berbagai lagi dijual dengan harga yang agak murah. Namun kepakaran tawar menawar memainkan peranan semasa urusan jual beli berlangsung. Lebih menarik, barangan yang dibeli oleh pelancong di Laos tidak dikenakan cukai ketika dibawa masuk ke Thailand.
Selesai jadual di Golden Triangle, kami ke bandar Mae Sai untuk makan tengahari. Ada restoran halal iaitu Bismillah Halal Food di bandar ini. Mae Sai adalah bandar paling utara di negara Thailand.
Selesai makan kami berjalan ke titik paling utara Thailand untuk merakam gambar. Bandar paling utara di Thailand ini bersempadan dengan Burma yang dipisahkan oleh sebatang sungai. Di bandar ini batu permata dan berbagai batu perhiasan dijual murah dan banyak pilihan. Selain batu permata, pakaian, buah-buahan, perhiasan rumah dan berbagai barang dijual di deretan kedai dan tepi jalan di bandar ini. Gerbang penanda sempadan antara Thailand dan Burma ini terletak di belakang pejabat imergresen.
Dalam perjalanan pulang ke Chiang Mai kami singgah untuk melawat Long Neck Karen Village. Ticket masuk untuk melawat rumah di kampung ini adalah THB 300 seorang dan wang ini dipulangkan oleh kerajaan Thailand kepada penduduk kampung tersebut untuk keperluan mereka. Keunikan Long Neck Karen Village ini adalah kerana kaum wanitanya dipakaikan gelang di leher seawal usia 5 tahun. Gelang leher ini ditambah setiap tahun sehingga usia mereka mencecah 25 tahun sekiranya mereka tidak berkahwin, namun jika mereka berkahwin sebelum usia 25 tahun, bilangan gelang leher itu kekal bilangannya pada tahun mereka berkahwin. Sejajar dengan arus kemodenan yang melanda dunia, pemakaian gelang di leher ini bukanlah satu kewajiban bagi kaum wanita di kampung itu sekarang, namun terpulang kepada pihak individu dan keluarga masing-masing. Saya tercari-cari 2 orang kanak-kanak perempuan yang saya jumpa semasa saya melawat kampung ini setahun yang lalu. Setelah menunjukkan gambar mereka, penduduk kampung tersebut memberitahu saya salah seorang daripada kanak-kanak ini telah pulang ke Burma untuk bersekolah di sana. Saya cuma berjumpa seorang sahaja dan kami merakam gambar untuk kali kedua bersama.
Selesai melawat Long Neck Karen Village kami kembali ke bandar Chiang Mai yang mengambil masa sekitar 3 jam memandu. Kami sampai di Chiang Mai sekitar jam 10:00 malam dan "check in" di Night Bazzar Place Hotel yang terletak di kawasan Night Bazzar, bersebelahan dengan lorong Halal Street Hilal Town dan Masjid Hidayatul Islam. Sampai di hotel, ada teman yang masih bertenaga menapak di night bazzar namun saya mengambil keputusan untuk berehat. Keesokan paginya kami berangkat ke Ang Khang untuk melihat bunga sakura yang sedang mekar berkembang.
Ang Khang terletak sekitar 137 kilometer dari Chiang Mai dan bersempadan dengan Burma. Perjalanan ke sana mengambil masa sekitar 2 hingga 3 jam kerana melalui jalan yang bengkang bengkok dan ditambah pula keadaan kabus yang agak tebal, memandu ke tanah tinggi ini agak perlahan. Dalam perjalanan ke kawasan yang kaya dengan tanaman sayur dan buah itu kami singgah sebentar di tepian jalan di mana bunga sakura liar sedang lebat berkembang. Terdapat ramai pelancong lain yang sedang merakam gambar semasa kami melalui kawasan itu.
Setelah merakam gambar sebentar kerana teruja melihat bunga sakura liar yang banyak berkembang sepanjang jalan ke Ang Khang, kami meneruskan perjalanan yang sesekali diselaputi kabus yang agak tebal. Kami berhenti lagi di sebuah perhentian yang terdapat tandas dan deretan gerai menjual makanan, buah-buahan dan pakaian.
Ang Khang Royal Agricultural Station merupakan kawasan penanaman bunga sakura yang direka bertujuan menarik pelancong datang ke Chiang Mai pada masa akan datang. Bayaran masuk ke taman ini adalah THB 50 seorang. Deretan bunga sakura yang sedang berkembang mekar mewarnai jalan semasa kami ke sini. Walaupun tarikan utama ke Royal Ang Khang Agricultural Station ini adalah bunga sakura, terdapat banyak lagi bunga lain yang dijaga rapi di sini.
Bunga sakura biasanya hanya berkembang kurang 2 minggu sahaja. Sekiranya ia gugur, ia akan gugur total sehingga tinggal ranting. Rancanglah percutian anda ke sini jika ingin melihat mekarnya bunga yang menjadi tarikan Negara Jepun ini. Selain di Royal Ang Khang Agricucultural Station ini, bunga sakura juga boleh didapati di tempat lain di Chiang Mai seperti di Doi Ithanon, Wat Suthep dan beberapa tempat lain.
Setelah puas bergambar di taman sakura, kami melawat kebun stawbery. Ang Khang merupakan kawasan tanah tinggi kedua di Chiang Mai selepas Doi Ithanon dan penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan tarikan utama di sini. Kami melawat kebun stawberry yang banyak terdapat di Ang Khang dan di sepanjang jalan pulang. Kami juga singgah sebentar di Kebun Teh namun singgah berlama-lamaan di Kebun Limau.
Dari tapak pakir kenderaan kami trekking sekitar 400 meter untuk ke Pha Chor Canyon ini. Teman-teman saya yang tidak biasa trekking sedikit tercungap untuk sampai ke sini. Kami menuruni dan menaiki tangga perlahan-lahan sambil berbual. Namun setelah melihat batu perang menjulang setinggi 30 meter dan mendongak langit yang biru, mereka merasa puas dan merakam gambar dari berbagai sudut.
Terdapat lebih 300 barangan berjenama di Primium Outlet ini dan kami menghabiskan banyak masa di sini memandangkan kegemaran kaum hawa adalah membeli belah. Jika anda suka barang berjenama, Primium Outlet Chiang Mai ini adalah tempat mesti singgah jika bercuti di Chiang Mai. Jangan lupa dapatkan air percuma ini Sala Cafe jika berkunjung ke sini.
Malam kelima kami di Chiang Mai, kami ke Sunday Night Market. Sunday Night Market beroperasi bermula jam 5:00 petang hingga lewat malam setiap hari Ahad di Tha Phae Gate. Chiang bermaksud bandar dan Mai pula bermaksud baru. Chiang Mai bermaksud bandar baru dan Tha Pha Gate ini adalah penanda bandar baru dan lama tersebut. Kami berjalan kaki sahaja dari hotel kami ke Sunday Night Market ini kerana ia berdekatan dengan kawasan Night Bazzar. Kebanyakkan barangan yang dijual di Sunday Night Market ini sama dengan barangan yang dijual di Saturday Night Market dan Night Bazzar. Tetapi di Sunday Night Market terdapat lebih banyak penjual dan berbagai jenis makanan tempatan diniagakan.
Ada satu kejadian menarik perhatian saya semasa berjalan di Sunday Night Market ini. Seorang lelaki peniaga tempatan menahan seorang pelancong kulit putih yang berjalan sambil meminum minuman keras. Peniaga tersebut menegur dengan cara berhemah dan membawa lelaki kulit putih itu ke belakang gerai dan menyuruhnya menghabiskan minuman dahulu dan meletakkan botol minuman keras yang telah habis di satu bahagian sebelum terus berjalan di pasar malam walaupun pelancong tersebut memberi alasan hotelnya terletak berdekatan sahaja. Larangan merokok dan meminum minuman keras di pasar malam adalah tegahan serius dan penduduk tempatan memainkan peranan yang baik tanpa kawalan pihak berwajib. Kejadian ini amat saya kagumi di Chiang Mai pada lawatan kali ini.
Dalam perjalanan pulang dari Sunday Night Market ini saya singgah sebentar di luar Tha Phae Gate. Ada pertunjukkan percuma di lapangan luar Tha Phae Gate ini. Selesai persembahan ramai penonton memberi sumbangan kepada orang-orang seni tanpa nobat ini kerana kepuasan melihat persembahan hebat mereka.
Hari kelima kami di Chiang Mai, kami ke Maesa Elephant Camp. Ticket masuk ke sini adalah THB 250 seorang dan ia dibuka dari jam 08:00 pagi hingga 4:00 petang setiap hari. Pelawat bebas bergambar dengan keluarga gajah ini sebelum activity harian sang gajah bermula. Pelawat juga boleh membeli buah-buahan yang dijual di dalam camp ini untuk memberi gajah makan sambil merakam gambar.
Sekitar jam 9:20 gajah-gajah ini akan dibawa turun ke sungai untuk mandi. Pelawat boleh menyaksikan anak-anak gajah yang comel ini bermain air. Selepas mandi, gajah-gajah ini akan dibawa ke gelanggang untuk membuat persembahan. Persembahan istimewa dan popular di Maesa Elephant Camp ini adalah kemampuan gajah-gajah ini melukis mengguna berus dengan belalainya. Lukisan-lukisan yang telah siap ini akan dipamerkan dan dijual kepada pelawat. Pelawat juga boleh menunggang gajah di sini dengan bayaran tertentu mengikut masa tunggangan.
Selepas melawat Maesa Elephant Camp, kami ke Queen Sirikit Botanic Garden yang juga terletak berdekatan dengan Maesa Elephant Camp. Ticket masuk ke Queen Sirikit Botanic Garden ini adalah THB 100 seorang. Ada canopy walkway terpanjang di Thailand di taman ini dan canopy tersebut mula beroperasi pada Disember 2015. Selain taman berbagai bunga dan herba, terdapat kemudahan lain seperti cafe, souvenir shop, tandas, Mae Sa Noi Waterfall, climber trail, natural science muzium dan lain-lain lagi.
Dalam perjalanan pulang ke Chiang Mai, kami menyusuri jalan yang seiring dengan sebatang sungai. Terdapat banyak gerai makanan di sepanjang sungai tersebut dan meja makan pula terletak di sisi aliran sungai. Kami singgah sebantar di salah sebuah gerai dan disebabkan tiada gerai yang menghidangkan makanan halal, kami meneruskan perjalanan pulang ke Chiang Mai.
Kami singgah sebentar di Wat Chedi Luang. Wat Chedi Luang ini antara wat tertua di Chiang Mai. Ia mula dibina pada abad ke14 dengan ketinggian 82 meter dan lebar 54 meter. Namun 30 meter di bahagian atas banggunan ini telah runtuh semasa gempa bumi pada tahun 1545. Wat ini dibuka dari 6:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari. Bayaran masuk bagi pelancong adalah THB 40 seorang manakala bagi warga Thailand adalah percuma.
Hari kelima di Chiang Mai kami akhiri dengan activity membeli belah di night bazzar di sekitar hotel penginapan kami. Memandangkan kami sering pulang lewat dan keletihan, petang itu kami memanjakan badan dengan Thai massage, makan malam di Anusan market dan shopping.
Hari keenam, kami pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan awal pagi. Saya mungkin akan ke sini lagi pada masa akan datang. Kali seterusnya, mungkin saya akan mendaki gunung-gunung menarik di Utara Thailand pula. Terima kasih ALLAH.
Itinerary:
Day1
Sampai Chiang Mai terus ke Chiang Rai, melawat Maekajan Hot Spring, Wat White Temple, Chiang Rai Flowers Festival, Checkin hotel, Chiang Rai Golden Clock Tower dan Chiang Rai Night Bazzar.
Day 2
Checkout hotel, breakfast di Masjid Darulaman, Golden Triangle, Mae Sai Town, Long Neck Karen Village dan kembali ke Chiang Mai, Chiang Mai Night bazzar.
Day 3
Ang Khang menyaksikan sakura berkembang, ladang strawberry, ladang teh dan ladang limau dan Chiang Mai Saturday Night Market.
Day 4
Pha Chor Canyon, Primium Outlet dan Chiang Mai Sunday Night Market.
Day 5
Maesa Elephant Camp, Queen Sirikit Botanic Garden, Wat Chedi Luang dan Chiang Mai Night Bazzar.
Day 6
Pulang ke Kuala Lumpur.
Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk melancong ke Thailand.
2- Kenderaan sekali pemandu: kereta - Suwit (+66947382168), van- Tom (+66932858985)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan