Tujuan utama saya dan 6 teman berkunjung ke Sri Lanka adalah untuk mendaki Adam Peaks. Hari kedua di sana, kami sampai di Nallathanni atau lebih tepatnya Delhousie dari Bandar Kandy awal malam. Setelah "check in" di Guest House" yang terletak sekitar 300 meter dari starting point Adam Peaks, kami tidur awal kerana pendakian ke Puncak Adam akan bermula sekitar jam 2:00 pagi. Pagi itu jam 2:00 pagi kami bertujuh berkumpul dan bersedia di hadapan "guesthouse".
Jam 2:05 pagi kami mula bergerak ke "starting point" yang berjarak sekitar 10 minit berjalan kaki dari guesthouse. Malam itu cuaca amat tenang dan damai. Dari bawah kami melihat trek menuju ke Puncak Adam disinari cahaya lampu gerai minuman di kiri dan kanan laluan menuju puncak. Setelah berjalan sekitar 10 minit, kami mula mendaki ke Puncak Adam yang terkenal dengan binaan laluan melebihi 5000 anak tangga. Kemudian kami melalui sebuah kuil. Di kuil ini pergelangan tangan setiap pendaki dan mengunjung akan diikat dengan seutas benang. Setiap pendaki dikehendaki menulis nama di dalam sebuah buku dan menyumbang bayaran mengikut kemampuan atas keikhlasan hati. Wang tersebut saya anggap sebagai bayaran permit mendaki memandangkan tiada bayaran yang dikenakan untuk mendaki ke sini. Kemudian kami meneruskan pendakian secara santai mengikut rentak keupayaan sendiri. Saya mendaki di kumpulan terakhir dan kami bernasib baik kerana bilangan pendaki tidak berapa ramai malam itu dan laluan tidak sesak. Laluan pendakian ke Adam Peaks kadang-kala penuh sesak pada hari tertentu kerana pengikut ajaran Buddha dan penganut Agama Hindu meraikan hari-hari tertentu di Adam Peaks.
Sejam pertama laluan masih landai dan kami selesa mendaki tangga. Sekali sekala kami berehat di kerusi yang disediakan sekitar kedai minuman yang terdapat di sepanjang laluan ke Puncak Adam. Kebanyakkan pendaki luar ditemani penduduk tempatan. Begitu juga kami yang tidak dapat menolak setelah disediakan "guide" oleh pemandu van tanpa berbincang dengan kami terlebih dahulu walaupun trek ke puncak ini amat jelas dan tidak memerlukan khidmat penunjuk arah. Namun ada baiknya juga kita ditemani penduduk tempatan semasa mendaki, selain mendapat info dia juga menjaga kasut yang terpaksa dibuka dan ditinggalkan semasa kami melihat tapak kaki Nabi Adam a.s di Puncak Adam.
Jarak dari Delhousie (kaki gunung) ke Puncak Adam adalah sekitar 7 kilometer. Dari starting point ke kilometer 3, laluan pendakian agak santai dengan mendaki anak tangga yang dibina rendah dan agak landai. Dari kilometer 3 ke kilometer 4 adalah jarak yang agak jauh pada pandangan saya. Anak-anak tangga di laluan ini juga dibina agak tinggi dan agak menegak. Di laluan ini saya lebih banyak berehat dan terpaksa memerah sedikit keringat. Dari kilometer 4 ke puncak, binaan anak-anak tangga kembali rapat dan semakin hampir ke puncak binaan laluan 2 hala disediakan supaya pergerakkan menuju ke puncak lebih lancar kerana semakin sempit.
Meneruskan pendakian ke puncak dengan harapan akan sampai sebelum matahari terbit menyebabkan saya lebih gigih memanjat anak tangga. Bila berselisih dengan wanita tua yang dalam perjalanan turun hati sedikit tercuit dengan perasaan malu kerana merasa lebih lemah dari usia. Tetapi bila menyaingi pendaki tempatan yang lebih muda ataupun seusia yang hampir tewas dengan keletihan, meningkatkan semula semangat untuk ke puncak. Mungkin tahap ibadat dan ketakwaan seorang tua lebih dari orang muda menjadikan mereka lebih kuat dan bersemangat. Akhirnya saya sampai di Puncak Adam pada jam 6:00 pagi dan matahari terbit pagi itu adalah pada jam 6:10 pagi. Sebenarnya saya tidak dapat mendaki terus ke Puncak Adam kerana sekitar kuil di puncak dan tangga telah dipenuhi pengunjung yang menunggu matahari terbit di pagi yang indah itu.
Saya dan teman menyaksikan matahari terbit hanya dari atas tangga sekitar beberapa minit mendaki ke puncak. Mentari pagi itu menyimbahkan warna keemasannya menunjukkan kekuasaan Maha Pencipta. Setelah beberapa minit matahari terbit, pengunjung mulai bergerak turun dan kami berpeluang meneruskan pendakian ke puncak dalam keadaan menentang arus dan penuh sesak walaupun terdapat 2 laluan berbeza untuk turun dan naik. Beberapa minit kemudian kami sampai di kuil yang dibina di Puncak Adam.
Puncak adam berada di ketinggian 2243 mdpl dan ia juga dikenali sebagai Sripada yang bermaksud "tapak kaki suci". Di Puncak Adam terdapat lonceng besar, tempat penyembahan dan berdoa, kawasan sembahyang ajaran Buddha dan penganut Agama Hindu. Di Puncak Adam dibina kuil di mana tapak kaki misteri itu terpahat. Kami menanggalkan kasut untuk melihat tapak kaki yang dipercayai tapak kaki Nabi Adam a.s bagi yang beragama Islam dan Christian. Pengikut ajaran Buddha pula menganggap tapak kaki bersaiz 1.8 meter itu milik Buddha manakala yang berkepercayaan Hindu pula mengatakan tapak kaki misteri tersebut adalah tapak kaki Dewa Shiva. Saya menyaksikan tapak kaki tersebut sebanyak 2 kali untuk kepuasan diri setelah hampir 4 jam memerah keringat ke puncak ini.
Di dalam kuil ini terdapatnya tapak kaki misteri tersebut |
Bayang puncak Adam yang kelihatan seperti "piramid" |
Kedudukan tandas berbayar di Adam Peaks ini terletak sekitar 20 minit mendaki setiap satu. Kami turun secara santai sambil merakam gambar memandangkan semasa kami mendaki tidak banyak gambar pemandangan dapat dirakam kerana gelap.
Terdapat beberapa buah pondok polis di laluan ke Puncak Adam ini. Masa sesuai ke Adam Peaks adalah dari bulan January hingga May. Sri Lanka mula dilanda musim hujan pada bulan June. Pendaki juga dinasihatkan mengelak mendaki Adam Peaks ketika bulan penuh atau hujung minggu dan pertengahan bulan April (hari perayaan Sri Lanka) kerana ramai pengunjung tempatan ke sini sehingga laluan menjadi sesak mengakibatkan masa ke puncak mencecah lima hingga sepuluh jam.
Perjalanan turun ini lebih menyakitkan kaki kerana melayan tangga sehingga saya merasa seolah-olah seperti mabuk tangga. Kami banyak berehat sambil memaling badan melihat Puncak Adam yang ditinggalkan. Dalam perjalanan turun baru saya sedar laluan ke Puncak Adam membelah kawasan ladang teh. Semakin hampir ke bawah, pemandangan ladang teh kian mempesonakan.
Adam Peaks boleh didaki pada bila-bila masa tetapi dicadangkan mendaki di awal pagi sekitar jam 1:30 hingga 2:00 pagi agar pendaki sampai ke puncak sebelum matahari terbit. Masa melihat tapak kaki misteri juga kebiasaannya dibuka selepas matahari terbit.
Bilik mandi awam di kaki Adam Peaks. |
Kami sampai di guesthouse di Delhousie pada jam 10:50 pagi. Setelah berehat sebentar kami membersihkan diri dan meneruskan perjalanan kami ke Galle. Terima kasih Allah.
Nota:
1- Warga Malaysia memerlukan visa untuk berkunjung ke Sri Lanka (Usd 30 / online visa)
2- Tiada bayaran dan permit dikenakan untuk mendaki Adam Peaks.
3- Masa sesuai ke sini adalah dari bulan January hingga May.
4- Masa yang patut dielak adalah ketika bulan penuh, hujung minggu dan pertengahan bulan April (perayaan Sri Lanka)
5- Bawa baju sejuk, tongkat, baju hujan, topi, head lamp dan keperluan "daypack trekking".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan