Selasa, 2 Oktober 2018

Kappadokia (Cappadocia) dan belon panas



Hari ke empat dalam perjalanan kami di Turkey, kami menuju ke Kappadokia. Kami menaiki bas dari Adiyaman menuju Adana dahulu kerana tiada bas ke Kappadokia pagi itu. Seterusnya kami menaiki bas ke Kappadokia dan sampai di Gerome sekitar jam 09:00 malam dari Adiyaman. Kami bermalam di Melek Cave Hotel di Gerome. Keesokan paginya, hari kelima kami mengambil "Green Pakage' untuk melihat Kappadokia. Pakage bermula jam 10:00 pagi. Sementara menunggu pakage bermula, saya bersiar sekitar hotel melihat pemandangan unik hotel dalam batu yang menjadikan Kappadokia lain dari bandar lain di dunia. Tempat pertama lawatan kami dalam "Green Pakage" adalah Pigeon Valley untuk melihat panorama di Gerome.





Kemudian kami melawat Derinkuyu Underground City. Bandar bawah tanah ini tidak diketahui secara tepat masa kewujudannya. Ia dibina oleh orang-orang hebat seawal Zaman Hititite dan berkembang berabad-abad tahun dahulu, dirancang dengan ciri-ciri keselamatan dan berfungsi sebagai tempat perlindungan dari berbagai pasukan perompak dan perampas yang melintasi pusat Anatolia mencari tanaman. Bandar bawah tanah ini dibina lengkap dengan berbagai kemudahan seperti bilik-bilik untuk menginap, sekolah, tempat rawatan, kandang ternakan, gereja, perkebunan anggur, tanah perkuburan dan berbagai lagi. Derinkuyu merupakan bandar bawah tanah terdalam (buat masa sekarang) yang dibina berbelas tingkat di bawah tanah namun cuma 8 tingkat sahaja yang dibuka untuk lawatan. Terdapat lebih 36 buah bandar bawah tanah di Kappadokia yang berhubung antara satu sama lain melalui terowong. Bandar bawah tanah Derinkuyu boleh memuatkan sekitar 20 ribu orang dan suhunya sesuai diduduki di musim panas yang panas dan dari kesejukan di musim salji.





Sebelum memulakan lawatan ke tempat ke tiga, kami dibawa untuk makan tengahari. Setelah itu kami ke Ihlara Valley. Lembah Ihlara terletak berhampiran Gunung Hassan dan Gunung Melendiz yang merupakan 2 daripada 3 gunung berapi di Kappadokia. Kedalaman lembah ini adalah 100 meter dan ia dibentuk oleh Sungai Melendiz beribu tahun dahulu bermula dari Kampung Ihlara dan berakhir di Biara Selime, Kampung Selime sejauh 14 kilometer. Ada 4 pintu masuk di Ihlara Valley ini. Kami trekking sekitar 4 kilometer pergi dan pulang di Ihlara Valley ini melalui trek seiring dengan sungai yang jernih. Kami diberi kebenaran samada mahu melawat Saint George Church dipertengahan trek. Lembah ini pernah menempatkan lebih 4000 tempat tinggal, gareja dan gua-gua di sini dihiasi lukisan dinding.









Kami kemudian melawat Ala Church atau Ala Kilise. Ala Church merupakan gareja dalam gua batu  yang dindingnya dihiasi gambar yang menceritakan tentang Nabi Adam di syurga sehingga dihantar ke dunia. Kemudian kami menjamu mata di Yaprakhisar panorama, tempat pengambaran filem "Star Wars".



Dalam perjalanan pulang ke Gerome kami singgah di Krater Golure Jeotermal Alank. Tasik sulfur ini menjamukan pemandangan indah petang itu. Tasik ini menyimpan cerita dongeng tentang kewujudannya. Akhir sekali kami dibawa melawat kilang batu perhiasan diri dan rumah. Di sini pelawat bebas membeli perhiasan diri dengan potongan harga yang menarik.




Green Pakage berakhir pada jam 6:00 petang dan kami dihantar pulang ke hotel semula. Petang itu kami bersiar sebentar di kedai-kedai cenderamata di Gerome. Malam pula kami mengisi masa dengan menonton "Turkey Dance". Persembahan Turkey Dance bermula jam 8:30 malam dan persembahan mengambil masa sekitar 2 jam. Turkey Dance diadakan di dewan dalam batu, mempersembahkan tarian kebangsaan turkey dengan iringan alat muzik tradisional dan kemuncak persembahan adalah "belle dance" atau "tarian gelek". Pakage ini berharga 130 TL termasuk pengangkutan pergi pulang dari hotel dan makan malam.




Hari keenam, paginya kami bangun awal kerana pakage "Hot Ballon" bermula jam 5:00 pagi. Kami dijemput di hotel dan singgah sarapan sebelum aktivity menarik ini bermula. Hot ballon atau belon panas merupakan tarikan utama Kappadokia selain misteri bentuk muka buminya. Kami menyaksikan matahari terbit di langit Kappadokia pagi itu dari dalam bakul belon panas. Kapten yang mengemudi belon panas membawa kami naik setinggi 2000 meter. Sekali-sekala kami diturunkan supaya dapat menyaksikan pemandangan rumah-rumah dalam batu dengan lebih jelas. Kami melihat batu-batu yang berbentuk kerucut seperti sedang menunggu untuk menikam bakul belon kami semasa belon diturunkan ke bawah. Saya merasa gayat dan setelah lebih 30 minit berada di atas, saya merasa sedikit pening menyebabkan baki masa seperti terlalu lama. Kami menaiki belon panas lebih sejam, menyaksikan pemandangan bentuk muka bumi Kappadokia 360 darjah. Memang tidak dinafikan, Kappadokia mempunyai pemandangan dan bentuk muka bumi yang unik, menarik dan misteri. Setelah kami selamat mendarat di bumi Kappadokia, kami dijamu segelas air dan diberi sekeping sijil penghargaan.








Setelah selasai aktivity belon panas, kami dihantar pulang ke hotel. Kami sarapan dan berehat sebentar sebelum memulakan activity ATV. Activity ATV selalunya dilakukan pada waktu petang untuk melihat sunset. Namum kerana masa yang terhad, kami mengambil pakage ini pada pukul 10:00 pagi. Pakage ATV ini mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit meliputi beberapa tempat, seperti Honey Valley, Love Valley, Rose Valley. White Valley dan Cavusin Old Vallage.







Kami akhiri aktivity ATV ini sekitar jam 12:30 tengahari. Kami kemudian "checkout" hotel di Kappadokia, menyewa sebuah kereta pandu sendiri selama 6 hari untuk memudahkan pergerakan kami di Turkey dan perjalanan melihat Turkey yang sebenar pun bermula. Jumpa lagi Kappadokia, terima kasih ALLAH.

Nota:
1- Green Pakage (38 Euro).
2- Turkey Dance (130 TL).
3- Hot Ballon Pakage (120 Euro).
4- ATV Pakage (120 TL).



Tiada ulasan: