Sabtu, 6 Julai 2019

Pulau Jerejak, menjejaki sejarah yang hampir dilupakan



Dahulu pulau ini pernah digelar sebagai "Alcatraz Malaysia", namun sekarang pulau ini lebih dikenali sebagai sebuah pulau peranginan setelah didirikan sebuah resort. Saya memenuhi ajakkan teman-teman yang menyertai trekking sambil menjejaki sejarah pulau ini pada awal April 2019. Kami sampai di jety ke Pulau Jerejak pada jam 07:00 pagi itu. Selain petugas, cuma kumpulan kami dan seorang wanita cina yang menunggu di situ. Setelah menyaksikan matahari terbit saya merasa  sedikit janggal kerana tiada peserta lain yang muncul dan meminta teman saya menghubungi pihak penganjur untuk kepastian di mana jety yang telah diarah untuk berkumpul. Ada beberapa jety untuk ke Pulau Jerejak. Kami semua diminta berkumpul di jety belakang Seagate dan kami bergegas ke sana. Ada dua buah lagi kereta peserta yang baru sampai dan tersasar jety mengikuti kami ke sana.



Kami menaiki bot sekitar jam 08:00 pagi dan perjalanan mengambil masa sekitar 10 minit. Pemandu bot bercerita sedikit sebanyak tentang Pulau Jerejak. Menurutnya terdapat "kubur panjang" di sana namun tidak mengetahui siapa yang dimakamkan di kubur itu. Dari atas bot dia menunjukkan arah "batu gajah", namun batu tersebut terlindung dengan hutan dan daun-daun pokok. Dia berhasrat untuk mencantas hutan-hutan tersebut bila berkelapangan supaya "batu gajah" dapat dilihat dari atas bot.


Sampai di pantai Pulau Jerejak, kami menunggu peserta lain yang menaiki bot yang sama secara bergilir-gilir. Hampir jam 09:00 pagi, kumpulan terakhir sampai dan kami berkumpul di pantai untuk proses pengiraan peserta dan mendengar sedikit taklimat dari pihak penganjur. Inilah kali pertama saya menyertai program yang menghimpunkan lebih seratus orang peserta. Setelah mendengar taklimat ringkas, kami bergerak ke tempat lawatan pertama beberapa meter dari pantai, iaitu Russian War Memorial.


Russian War Memorial atau Tugu Peringatan Russia ini dibina oleh Kerajaan Rusia sebagai tugu peringatan bagi mengenang jasa dua orang kelasi Rusia yang terbunuh semasa Kapal Rusia Zhemchung yang ditembak oleh Kapal Perang Jerman Emden di pelabuhan Pulau Pinang pada 28 October 1914. Dari 354 orang kelasi Rusia, 115 orang cedera, 82 orang terkorban manakala dua kelasi yang hanyut hingga ke Pulau Jerejak dikuburkan oleh nelayan di sini. Kelasi lain yang terkorban disemadikan di tanah perkuburan Western Road, Penang. Kemudian kami bergerak ke tempat lawatan ke dua iaitu British War Bunker.


British War Bunker merupakan terowong bawah tanah yang dibina sebagai tempat untuk menyimpan senjata api, tahanan dan air untuk kapal British yang berlabuh di Timur Pulau Jerejak. Ia berukuran 30 kaki dalam dan  30 inci lebar. Terdapat beberapa buah Bunker di sana. Kemudian kami ke sebuah empangan kecil iaitu The Green Bank.



Empangan terbiar ini dibina pada tahun 1924 berfungsi untuk membekalkan air bagi keperluan Camp 3 dan ia masih boleh menakung air sehingga sekarang. Disebabkan empangan ini dipenuhi semak, takungan air menjadi warna kehijauan. Seterusnya kami melanjutkan trekking ke sebuah penjara.





Penjara British ini dibina pada tahun 1930 dengan 12 sel (bilik) yang bertingkap jerigi dan terdapat sebuah dewan mahkamah. Di sini juga terdapat sebuah pondok pengawal, tandas, bilik mandi dan quaters untuk pengawal penjara. Menurut Encik Ishak, antara jurupandu untuk trip ini, sel-sel (bilik) di sini mirip kepada tempat tahanan yang di "torture" dan di seksa. Terdapat kata-kata semangat dan keluhan hati di dinding-dinding sel tersebut. Berdekatan dengan penjara ini terdapat sebuah kubur kepunyaan Madem Tye Kheng Sooi, seorang jururawat yang menabur bakti di Klinik Kusta Pulau Jerejak. Madem Tye Kheng Sooi meninggal pada 12 October 1887. Dua orang anaknya juga bekerja di hospital kusta tersebut.

Madem Tye Kheng Sooi paling kanan bersama saudara perempuannya. Gambar ikhsan Cikgu Hazri
Kemudian kami meneruskan trekking ke Camp B atau Camp 2 yang dikenali sebagai Eurasian Camp yang dibuka pada tahun 1921. Dari tahun 1946 hingga 1969 Eurasian Camp dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja Hospital TB dan di sini dibina sebuah sekolah. Di tapak sekolah kini cuma terdapat tiang-tiang dan dinding batu yang hampir rebah. Bangunan sekolah Sir Edward Cent ini terbiar di dalam semak. Kami kemudian meneruskan trekking menyusuri tepi pantai sehingga bertemu dengan sebuah gereja lama.





Gereja Roman Katolik ini dibina pada tahun 1896 juga dikenali sebagai "Leper Asylum Church" merupakan bangunan tertua yang masih bertahan dan tegak berdiri dengan binaan yang kukuh. Gereja ini dibina berdekatan dengan Hospital Kusta yang kini menjadi tempat limbungan kapal. Sampai di gereja kami membelok ke kanan menuju pantai untuk ke limbungan kapal tersebut.



Camp A atau Camp 1 merupakan tapak asal Hospital Kusta yang kemudian dikenali sebagai penempatan lama yang dibuka pada tahun 1871 hingga 1942. Kemudian Camp 1 ini menjadi Hospital TB pada tahun 1946 hingga tahun 1969. Pada tahun 1971, Selatan Pulau Jerejak diistiharkan kawasan Free Trade Zone dan kawasan Hospital Kusta dimusnahkan dan diganti dengan Dermaga Limbungan Kapal. Terdapat sebuah ferry yang sedang dalam proses pembaikan di limbungan tersebut. Tiada sebarang kesan peninggalan Hospital Kusta di tapak limbungan pada masa ini, kami berehat sambil makan tengahari di limbungan dan sekitar kawasan gereja tersebut tengahari itu.


Selesai makan kami meneruskan trekking menuju ke point paling tinggi di Pulau Jerejak. Trekking ke puncaknya yang barada di ketinggian 211 mdpl tidak sesukar mana dan walaupun melalui hutan, jalur agak jelas dan bertanda. Terdapat Beacon (lampu isyarat) seperti birut di puncaknya sebagai panduan kepada kapal terbang mendarat di Penang.



Kami berehat di puncak ini seketika sambil bergambar dan makan-makan. Kemudian kami meneruskan trekking menuruni bukit ini melalui trek yang bertentangan dari jalur kami mendaki tadi.



Kami kemudian melintasi satu kawasan batu granit yang agak luas. Bongkah-bongkah batu granit tersebut bukanlah aslinya dari Pulau Jerejak. Batu-batu granit tersebut merupakan sisa bahan binaan sebuah empangan yang dibina pada tahun 2011. Empangan tersebut dibina untuk menakung air bagi keperluan kawasan FTZ dan Bandar Siber Bayan Baru. Baki bahan binaan dari empangan tersebut dibawa ke sini dan terbiar di situ. Kemudian kami sampai ke Camp C atau Camp 3.


Camp C atau Camp 3 dibuka pada tahun 1911 sebagai station kuarantin dan dibahagi kepada enam bangunan. Lima daripadanya mempunyai 32 buah ward, tandas dan dapur. Setiap ward memuatkan 120 orang . Pada tahun 1946 ia dijadikan Camp Pelarian dan pada tahun 1948 hingga 1951 menjadi Camp Tahanan. Dari tahun 1951 hingga 1964, Camp 3 dijadikan Pusat Kuarantin. Manakala pada tahun 1969 menjadi Pusat Pemulihan. Di dinding bangunan ini juga terdapat coretan hati penghuni yang pernah tinggal di sini. Kini cuma tiga block sahaja yang tinggal. Seterusnya kami trekking menghala ke tepi pantai. Terdapat sebuah bangunan lama di sana.


Bangunan 1911 ini merupakan Pejabat Pengurusan ratusan ribu pendatang asing sehingga tahun 1993 dan di hadapannya pula terdapat jetty lama yang digunakan sebagai tempat pendaratan dan pemunggahan barang satu ketika dulu. Kami menunggu bot dan pulang melalui jety ini.



Dalam perjalanan pulang, pemandu bot memperlahankan sebentar bot di kawasan Jerejak Resort yang merupakan Camp E iaitu Camp Kusta 4 yang dibuka pada tahun 1928 hingga 1948. Camp Kusta 4 ini kemudian resmi ditutup pada tahun 1969 dan sebuah resort dibina pada tahun 2004. Kami akhiri trip di Pulau Jerejak ini pada jam 17:00. Walaupun banyak sejarah berusia berkurun tahun di sini yang kami jejaki, namun saya sedar banyak lagi sejarah lampau masih tersimpan dan berkubur di Pulau Jerejak.




Pulau Jerejak pernah menjadi tempat rawatan, rumah dan tempat bersemadinya pesakit Kusta yang berjumlah sekitar 7000 orang, pernah menjadi pusat kuarantin pendatang dari negara Cina, India dan orang pulang dari menunaikan Haji. Pernah menjadi rumah sementara Pelarian Buruh Binaan Landasan Keretapi Maut Thailand. Dia juga pernah menjadi Pusat Tahanan Komunis dan penjara. Pernah menjadi tempat Rawatan TB. Kini sebuah limbungan kapal dan sebuah resort dibina. Walaupun berbagai transfomasi telah dan akan melanda Pulau Jerejak untuk mengubah rupanya, sejarah hitam dan mimpi ngeri yang dilakar, saya berharap sejarah lebih sekurun yang lampau di Pulau Jerejak akan terus dijaga dan kekal sebagai peninggalan yang harus diingati di masa akan datang.

Itinerary:
08:00 Naik bot ke Pulau jerejak.
08:10 Sampai Pantai di Pulau Jerejak.
09:15 Mula trekking.
15:30 Sampai jety bersedia untuk pulang.
16:40 Menaiki bot untuk Pulang.

Nota:
1-Sumber rujukan dari blog jerejak Cikgu Hazri.
2- Contact Guide:
a- Cikgu Hazri +60139163722
b- Encik Ishak +60185709055
c- Encik Gman +60134424008




3 ulasan:

nanas128 berkata...

sabung ayam bangkok ok

Unknown berkata...

Teruja masa datang pulau jerejak ni yg saya lihat pada tgl 26 desember 2019 yg saya lihat begitu indah tetapi sebalik keindahan tersimpan banyak sejarah
Tapi sayang security di pulau Jerejak tak benarkan kita org utuk melihat semua sejarah yg ada di pulau tu

Jurimahmohdariffin berkata...

hi..tq singgah di blog saya. kalau nak tgk sejarah dan rahsia pulau jerejak, cuba hubungi dan join trip encik ishak (no contack ada di bawah blog) mereka selalu buat trip trekking di sini sambil menjejaki sejarah silam pulau jerejak.