Selasa, 10 September 2019

Gunung Keriang Kedah




Walaupun Gunung Keriang cuma setinggi 217 mdpl, agak rendah dari gunung lain yang saya pernah daki, namun jalur pendakian ke puncak gunung yang berdiri di tengah sawah padi ini agak menarik. Awal bulan September 2019, saya dan tiga teman merancang mendaki ke gunung yang terletak sekitar 8 kilometer dari Bandar Alor Setar. Pagi itu kami memandu dari Penang melalui Lebuh Raya Utara Selatan dan keluar exit Alor Setar Utara. Kami kemudian singgah sarapan sebentar dalam perjalanan ke kaki Gunung Keriang. Memandu mengikuti papan tanda ke Gunung Keriang, akhirnya kami sampai di tapak pakir kaki Gunung Keriang sekitar jam 09:00 pagi. Seorang teman yang berasal dari kampung di Gunung Keriang telah sedia menunggu. Dia menyarankan kami bergabung dengan dua orang teman sekampungnya yang kebetulan berencana mendaki pada hari itu.


Di kaki Gunung Keriang terdapat deretan kedai yang menjual batu kristal dan barang hiasan dari batu Gunung Keriang. Terdapat juga kedai menjual makanan dan minuman. Kami memakir kereta di  kawasan lapang di kaki gunung secara percuma. Setelah berkenalan kami berenam memulakan pendakian ke puncak Gunung Keriang sekitar jam 09:30 pagi. Kami menyusuri lorong tepi pagar di belakang gerai sebelah kanan. Terdapat kawasan perkuburan dan gerbang pendakian ke Gunung Keriang terletak di sebelah tanah perkuburan.



Trek ke puncak agak menegak namun jalur dibina dan dijaga baik. Kami mendaki secara santai sambil sekali sekala menjamu mata dengan pemandangan sawah padi yang hijau kekuningan. Gunung Keriang lebih mirip kepada bukit batu kapur yang menjulang di tengah jelapang padi pada pandangan saya. Berbagai dongeng dikaitkan dengan kewujudan gunung batu kapur purba ini.




Meneruskan pendakian dari check point 1 ke check point 2, kami ternampak penanda simpang ke Gua Terus dan merancang ke gua itu dalam perjalanan turun nanti. Gunung Keriang sesuai untuk peminat yang baru menceburkan diri dalam hobi pendakian. Jalur agak menegak tetapi pendek dan redup tambahan pula pemandangan agak menarik.




Kami berenam sampai di puncak Gunung Keriang sekitar jam 10:30 pagi. Terdapat sebatang tiang yang mengibarkan bendera Malaysia dan sebuah pondok untuk berehat di puncak namun kawasan rata memang terhad. Puncak Gunung Keriang dipenuhi batu tajam menegak ke atas. Batu-batu Pinnacle ini mengingatkan saya kepada Puncak Gunung Api di Serawak.



Kami berehat sambil merakam gambar di puncak yang menjamukan pemandangan sawah padi 360 darjah, bandar dan Menara Alor Setar. Kami kemudian bergerak turun pada jam 12:00 tengahari. Dalam perjalanan turun kami singgah ke Gua Terus sebentar. Dari simpang ke Gua Terus ini cuma sekitar 10 minit trekking. Kami tidak berlama-lama di gua ini dan meneruskan perjalanan turun ke bawah dan sampai di tapak pakir sekitar jam 12:40 tengahari.







Sekiranya anda mempunyai masa setelah turun dari Gunung Keriang, bolehlah singgah di Muzium Padi yang terletak berhampiran Gunung Keriang. Melawat ke muzium tersebut dikenakan bayaran Rm 5 seorang. Terima Kasih Allah.

Nota:
1- Gunung Keriang tidak memerlukan permit dan guide (jalur jelas).
2- Tapak pakir kenderaan percuma.
3- Pemandangan lebih menarik ketika musim padi menguning.


Tiada ulasan: