Selasa, 24 September 2019

Mendaki Gunung Raya Langkawi



Selain merupakan puncak tertinggi di Pulau Langkawi, keistimewaan gunung ini adalah trek bertangganya. Saya bersama seorang teman mendaki ke gunung ini pada hujung bulan September 2019. Dari bandar Kuah, kami menaiki 'grab' ke Hutan Lipur Lubuk Semilang di mana pendakian trek bertangga ini bermula. Kami sampai di Hutan Lipur Lubuk Semilang sekitar jam 15:45 petang dan sebaik sahaja kami ingin memulakan trekking, hujan mulai turun dan kami mengambil keputusan untuk berteduh dahulu. Hutan Lipur Lubuk Semilang merupakan tempat perkelahan, terdapat sungai yang jernih dan beberapa kemudahan seperti tapak pakir kenderaan, surau, tandas dan pondok berehat disediakan. Kami mengambil keputusan jika hujan tidak berhenti sehingga jam 16:30 petang, kami akan membatalkan pendakian ini kerana dari bawah hingga ke atas memerlukan masa sekitar 2 jam mendaki, tambahan pula kami terlupa membawa lampu suluh dan beberapa keperluan mendaki. Jam 16:05 petang, hujan mulai berhenti dan kami meneruskan rencana pendakian.




Jalur ke puncak dibina tangga batu sebanyak 4287 anak tangga mengingatkan saya pada pendakian ke puncak Gunung Adam yang juga dibina tangga sebanyak 5000 lebih anak tangga. Jalur Gunung Raya ini pasti menarik dengan bilangan anak tangga yang juga menghampiri bilangan anak tangga Gunung Adam di Sri Lanka.





Trek anak tangga ini dikenali sebagai Tangga Helang Seribu Kenangan dan anak tangga pertamanya dibina pada paras 55.4 mdpl manakala anak tangga tertingginya pada ketinggian 787.8 mdpl dengan jarak 3.1 kilometer. Kami mendaki anak-anak tangga ini dengan perasaan teruja. Trek pendakian bertangga ini sangat berbeza dari gunung lain di Malaysia. Tangga Helang Seribu Kenangan ini mula dibina pada March 2000 dan siap pada February 2001.



Anak tangga dibina dengan jarak ketinggian yang sederhana dan di beberapa bahagian palang besi dibina kiri dan kanan tangga. Kami terus mendaki secara sederhana sambil mencari penanda ketinggian atau penanda bilangan anak tangga namun tidak kelihatan sehingga di anak tangga ke 2000 barulah kami melihat tanda ringkas yang dilekatkan di pokok.




Pada pandangan saya, jalur bertangga Gunung Raya ini amat cantik, pokok-pokok besar meredupkan dan menyamankan pendaki. Saya sedikit gentar bila melalui kawasan sedikit landai yang tidak mempunyai palang besi apabila ternampak banyak jejak binatang yang berkemungkinan Babi Hutan. Meneruskan pendakian sambil melangkah lebih laju sehingga sampai di kawasan jalur bertangga berpalang besi sedikit melegakan. Jalur pendakian bertangga ini dibina baik namun seperti tidak diselenggara dengan rapi. Terdapat banyak pokok dan dahan tumbang menghalang laluan tangga sehingga ada jalur terbina di luar laluan bertangga di mana pokok tumbang yang menghempap tangga tidak dipotong dan dialihkan.




Berjarak 30 minit ke puncak, kami terlihat Burung Enggang yang besar, tapi malangnya kami tidak sempat merakam gambar apabila dia terbang. Kami sampai di anak tangga teratas sekitar jam 18:20 petang, tepat 2 jam 15 minit masa pendakian seperti diramal.




Sampai di anak tangga teratas, terdapat kawasan sederhana lapang untuk melihat pemandanan namun petang itu berjerebu menyebabkan pemandangan berbalam-balam sahaja yang kelihatan. Saya bertegur sapa dengan sebuah keluarga kecil yang memakir motosikal di kawasan lapang ini. Mereka juga berencana ke puncak Gunung Raya dan dari sini kami sama-sama berjalan melalui jalan raya ke puncak sambil bercerita. Encik Hazimin mencadangkan kami terus jalan menuju ke pencawang TM. Kami berjalan hingga ke hujung, terdapat kawasan persendirian milik TM yang berpagar, tetapi di sini bukan puncak tertinggi Gunung Raya.



Kemudian kami berpatah balik dan memasuki simpang ke sebuah resort di mana puncak tertinggi Gunung Raya sebenar. Menghampiri kawasan resort terdapat "spot" kecil untuk melihat matahari terbenam dan kami meneruskan perjalanan hingga ke hadapan resort. Kami berehat sebentar di hadapan resort iaitu di puncak Gunung Raya. Di sana terdapat sebuah menara tinjau pemandangan tetapi saya tidak naik ke menara tinjau tersebut kerana pasti tidak nampak pemandangan disebabkan jerebu. Ketinggian Gunung Raya adalah 881 mdpl.



Kami kemudian pulang ke Bandar Kuah melalui jalan raya setelah dijemput teman. Pada pandangan saya, trek Gunung Raya agak menarik, jika trek dijaga rapi. Terima kasih Allah.

Beberapa cadangan mungkin boleh menjadikan trek Gunung Raya lebih menarik seperti:
1- Pendaki mungkin merasa lebih selamat jika tiang besi dibina sepanjang tangga untuk keselamatan.
2- Pokok-pokok besar juga boleh ditanda mengikut nama dan jenis pokok.
3- Papan tanda ketinggian atau  penanda bilangan anak tangga juga mungkin bagus dibina sebagai rujukan atau motivasi pendaki.
4- Membina beberapa pondok untuk rehat dan berteduh jika hujan dapat menampakkan santai trek.
5- Membina bangku batu untuk berehat.
6- Mengekalkan pendakian percuma.

Nota:
1- Tapak pakir kenderaan percuma di Hutan Lipur Lubuk Semilang.
2- Tiada permit dan bayaran dikenakan untuk mendaki Tangga Helang Seribu Kenangan.
3- Tidak digalakkan memulakan pendakian lewat petang (terpulang pada kecergasan pendaki).
4- Membawa bekalan minuman, jajan, tongkat, lampu picit, baju hujan dan sebagainya.
5- Agak sukar mendapat "grap" di puncak Gunung Raya.
6- Selain mendaki, puncak gunung raya juga boleh dikunjungi melalui jalan raya.
7- Terdapat liputan telephon bimbit dan wifi sepanjang jalur.


Tiada ulasan: