Jumaat, 12 November 2021

Hiking ke Bukit Tempoyak Besar


Saya dan tiga orang kawan hiking ke Bukit Tempoyak Besar ini pada bulan October 2021. Kami memakir kenderaan berhampiran Balai Polis Permatang Damar Laut. Kami kemudian berjalan ke kawasan perkampungan tepi laut dan menyusuri jalur di sebelah kiri rumah kampung.


Kami berjalan secara santai melalui mini tar sehingga ke tepi Pantai Asen yang popular damai dengan pokok kelapa dan pantainya. Kami banyak merakam gambar di kawasan pantai ini.







Kami meneruskan perjalanan menyusuri trek memasuki kawasan hutan dan terdapat sebuah wakaf yang selesa untuk berehat didirikan di trek ini. Bangku batu dan meja juga disediakan. 





Memasuki kawasan hutan, trek mula menaik sehingga sampai di sebuah tokong. Tanpa berhenti di kawasan  tokong kami meneruskan perjalanan melalui jalur hutan yang jelas dan bertanda sehingga sampai di spot Batu Pelangi. Di kawasan ini batu-batu besar dicat berbagai warna sehingga kehilangan jati diri batu tersebut. Walaupun kelihatan cantik namun keaslian hutan sedikit tercemar pada pandangan saya. 





Kami berehat agak lama di sini sambil bercerita. Kemudian kami meneruskan perjalanan dan setelah mendaki sekitar 20 minit kami sampai di Puncak Bukit Tempoyak Besar yang dianggarkan berada di ketinggian 222 mdpl. Terdapat pencawang di puncak bukit ini.





Kami berehat dan merakam gambar di puncak Bukit Tempoyak Besar ini. Disebabkan puncak bukit ini dikelilingi hutan, tiada pemandangan dapat dilihat dari sini walaupun di bawah sana merupakan lautan biru. Dari puncak ini kami boleh memilih untuk pulang dengan tiga arah jalur.


1- Melalui jalur kami datang tadi. Jalur ini lebih dekat dan mudah, tambahan pula kita sudah boleh menganggarkan jarak dan masa semasa turun.
2- Kami pernah turun melalui jalur bertentangan dengan jalur kami naik tadi. Jalur itu membawa kami ke Kampung Telok Tempoyak di sebelah sana. Jalur agak jauh dan terdapat banyak jejak-jejak babi hutan. Kami sedikit gentar kerana jalan turun agak jauh namun trek masih bertanda dan jelas sehingga ke kawasan kebun pisang. Dari dalam Kebun pisang yang berada di kaki bukit, kami dapat melihat Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan jelas. Kami melalui kawasan kebun pisang sehingga bertemu ke jalan besar. Seterusnya kami menapak ke Telok Tempoyak. Setibanya kami di sini, kami rehat dan minum di sebuah kedai sambil berbincang cara untuk pulang ke tempat pakir kereta. Kami bertanya kepada penduduk kampung ini sekiranya ada bot berbayar ke Pantai Asen atau kereta sewa memandangkan ketika kami ke sini, sebuah Grap hanya boleh membawa seorang penumpang. Akhirnya ada sebuah kereta yang menawarkan khidmat menghantar  kami ke Permatang Damar Laut.




3- Pulang melalui jalur Sea Mountain, jalur yang punya banyak peninggalan sejarah. Kali kedua kami mendaki Bukit Telok Tempoyak Besar, kami pulang melalui jalur menarik ini. Jalur ini agak jauh berbanding dua jalur tadi, trek bertanda jelas dan kami melalui satu kawasan yang penuh sejarah. Dalam perjalanan turun kami singgah di kawasan empat bangunan batu peninggalan penjajah yang terbiar di hutan ini. 



Keempat-empat bangunan batu terbiar ini didirikan berdekatan di pertengahan bukit. Kami merakam gambar di bangunan terbiar yang tidak kami tahu tentang ceritanya ini. Memandangkan tiada seorang pun di antara kami yang mengetahui tentang sejarah Bukit Tempoyak Besar, maka tiada info yang dapat saya kongsikan di sini.






Sampai di bangunan batu ke empat, trek menaik semula menyebabkan kami merasa agak penat dan terfikir untuk meneruskan perjalanan turun melalui jalur ini atau berpatah balik. Akhirnya kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan turun dan terjumpa sebuah lagi bangunan peninggalan penjajah ini. Tidak dapat saya pastikan berapa bilangan sebenar bangunan batu peninggalan penjajah yang terdapat di Bukit Telok Tempoyak besar ini. Kami merakam gambar di bangunan ke lima yang ditandai dengan nama Sea Mountain. Dari sini laut cuma kelihatan dari celah-celah daun yang rimbun.






Saya tidak pasti tujuan sebenar bangunan batu ini didirikan oleh penjajah namun mungkin terdapat banguan batu lain yang masih tersimpan di bukit ini yang masih tidak dijumpai. Kami kemudian meneruskan perjalanan turun sehingga bertemu pantai. Jalur ini bertemu laut dan bertentangan dengan Pulau Rimau. Kami berehat sebentar setibanya di pantai ini. 




Setelah berehat kami meneruskan perjalanan melalui jalur seiring dengan laut namun trek naik turun melalui batu-batu besar dan trek bertanda jelas. Kami singgah makan di atas sebuah batu besar, berehat semahunya sambil menikmati angin laut. 

 
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pantai Asen dan ke tapak pakir untuk pulang. Di pantai Asen, selain trekking pengunjung juga boleh melakukan activity lain seperti mountain bike, ATV rider, berkelah dan ke hiking ke Bukit Tempoyak Besar.




Nota:
1- Parking kereta percuma di sekitar kawasan padang permainan berhampiran Balai Polis Permatang Damar Laut. 
2- Jika bercadang melalui jalur jauh, bawa makanan ringan dan air minuman yang mencukupi.


Tiada ulasan: