Rabu, 3 November 2021

Hiking ke Zi Zai Bukit Lang Penang

 

Saya dan kawan-kawan sekerja berkumpul di pintu masuk Taman Belia yang juga dikenali Botanical Garden Pulau Pinang pada jam 08:00 satu hari di akhir bulan October 2021. Kali ini kami berencana mendaki ke Zi Zai Hill yang menjadi popular sejak akhir- akhir ini. Jumlah kami agak ramai bila bergabung dengan beberapa kumpulan lain memandangkan hari ini cuti hujung minggu. Beberapa orang teman yang pernah ke Zi Zai Hill bertindak sebagai guide dan setelah memberi sedikit taklimat dan mengira jumlah peserta kami memulakan trekking pada jam 08:15 pagi.



Guide memandu kami menyusuri mini tar yang dibina di Taman Belia sehingga kami menyimpang ke jalur kanan memasuki hutan. Trek bertanda dan kami mula mendaki sedikit sehingga bertembung dengan air terjun. Di sini kami berehat sebentar sambil merakam gambar. 



Kemudian kami meneruskan trekking melalui jalur hutan. Perjalanan agak jauh dan kami mula terbahagi kepada beberapa kumpulan mengikut keupayaan stamina masing-masing. Seperti biasa saya berjalan di kumpulan terakhir. Jalur di bukit ini banyak yang menaik namun sesekali menurun dan mempunyai banyak simpang. Sebaiknya mendakilah dengan guide atau kawan yang biasa dengan selok belok bukit ini walaupun trek bertanda.





Kelebihan mendaki di hujung minggu kita akan bertembung atau bersaing dengan kumpulan lain dan boleh bertegur sapa untuk bertanya arah. Kami di kumpulan belakang sampai di satu bukit yang tinggi. Di sini terdapat beberapa pendaki sedang menunggu ahli dari kumpulan mereka. Di puncak bukit ini terdapat beberapa simpang, kami mengikut arah tanda ke kanan manakala kumpulan yang sedia ada ke tujuan yang tidak sama dengan kami. Bukit Lang ini menjadi pertembungan beberapa jalur antaranya jalur dari Tanjung Bungah, Batu Feringgi, Mount Erskin, Taman Belia dan Penang Hill. 




Kami manaiki dan menuruni bukit dan pada jam 12.00 tengahari akhirnya sampai ke destinasi tujuan kami iaitu sebuah rumah tinggal yang besar di atas sebuah bukit. Zi Zai Hill terletak di kawasan Tanjung Bungah dan terdapat sebuah rumah papan yang agak besar di sini. Sebaik sampai kami terus merakam gambar kumpulan dan sejurus kemudiannya hujan mendadak turun. Kami berpusu- pusu naik ke rumah papan tersebut. 






Rumah papan bertangga dan bertiang batu ini sungguh kukuh binaannya sehingga saya tidak merasa sangsi ketika kami yang sekitar 50 orang bergabung kumpulan pendaki lain menumpang teduh di dalamnya. Ia juga dikenali sebagai "rumah hantu" mungkin kerana dibina solo di atas bukit di dalam hutan tanpa penghuni dan jiran. Usia rumah ini mungkin sekitar sekurun. Terdapat angka 1910 di papan tanda namun saya tidak dapat pastikan adakah itu tahun ia didirikan. Rumah papan berwarna perang ini berada di ketinggian 507 mdpl. Rumah yang ditinggalkan ini telah dibaik pulih oleh para sukarelawan dan jawatankuasa keselamatan dan  kesihatan (JKKM)  Tanjung Bungah. Mereka juga telah merintis dan membina semula trek ke "rumah hantu" ini dan ianya secara resmi telah dibuka semula kepada awam pada tanggal 17 April 2016 dan sejak itu trek ke rumah mistery ini menjadi tempat berehat para hikers dan ia semangkin sibuk dikunjungi di hujung minggu dan cuti umum.  Kami berehat agak lama di rumah yang dibina kukuh ini sehingga hujan berhenti. Pada jam 13:10 petang kami bergerak turun melalui jalur kami datang tadi.



Trek turun agak sukar sedikit disebabkan hujan sebentar tadi. Jalur menjadi becak dan licin dan kami terpaksa lebih hati-hari semasa di trek untuk mengelak kemalangan. Kami mendaki semula bukit yang tinggi tadi dan menyusuri jalur yang sama kami datang sehingga sampai di satu persimpangan, guide membawa kumpulan kami ke satu kawasan tepi sungai kerana menurut perancangan, kami akan mandi manda dalam perjalanan turun. Namun kerana hujan dan air sungai keruh, kami meneruskan perjalanan turun setelah menyeberangi sungai melalui titi batu. 




Setelah itu kami meneruskan perjalanan turun melalui jalur yang lain. Kami meneruskan perjalanan melalui trek yang jelas sehingga ke tangga yang dikenali tangga 1500. Saya sedikit "mabuk tangga" semasa melalui anak-anak tangga yang tersusun rapi ini.





Kami akhirnya sampai semula di pintu masuk Taman Belia pada jam 15:30 petang. Saya mungkin ke Zi Zai Hill lagi. Mungkin kali itu saya melalui trek dari Tanjung Bungah yang lebih dekat berbanding dari Taman Belia. 

Nota:
1- Parking kenderaan di Taman Belia percuma. 
2- Guide a) Hamzah - 0194744752, b) Shamsul- 0164963000


Tiada ulasan: