Ahad, 21 November 2021

Trekking ke Bukit Tunggal Kampung Gajah

Dikatakan satu-satunya bukit di Kampung Gajah sehingga bukit ini dinamakan Bukit Tunggal. Teringat saya cerita P Ramli tentang Bukit Tunggal dalam filem Pak Belalang. Saya dan seorang teman trekking ke bukit ini pada awal November 2021. Dengan menggunakan Google Map kami memandu sehingga ke Pusat Timbang RISDA di Kampung Gajah. Terdapat papan tanda arah ke Bukit Tunggal di sebelah kiri Pusat Timbang ini dan kami meneruskan pemanduan menyusuri jalan dalam kebun sawit sekitar tiga kilometer. Kami akhirnya sampai di kaki Bukit Tunggal. Terdapat papan tanda Bukit Tunggal dan kami memakir kenderaan di sini.



Kami memulakan trekking menyusuri trek tanah merah di dalam kebun sawit. Trek agak menegak sehingga sampai di kawasan tinggi dan trek seterusnya menurun sedikit dan mendatar. Kemudian trek muda menegak sehingga ke puncak Bukit Tunggal. Jalur ke puncak Bukit Tunggal didominasi tanah liat merah dan berbatu. Trek redup kerana membelah kawasan hutan. Sebahagian trek terdapat saki baki mini tar yang masih tersisa akibat hakisan hujan. Mungkin dahulu trek ke puncak Bukit Tunggal pernah ditar dan dilalui kereta untuk kemudahan pengunjung ke sana. 







Puncak Bukit Tunggal berada di ketinggian 186 mdpl dan kami mengambil masa sejam untuk sampai di puncak bukit ini. Di atas puncak terdapat pintu gerbang, papan tanda, tempat berehat yang dibina dengan konkrit batu dan berbumbung. Terdapat juga bangku-bangku batu untuk berehat. Pemandangan bandar Kampung Gajah dapat dilihat dengan jelas dan kebersihan di puncak agak baik dan terjaga. 



Kami bercadang mahu berehat lama di puncak ini namun niat kami terbantut dengan kehadiran seekor monyet yang kelihatan berminat menyertai kami. Melihat keadaan monyet yang agak agresif kami kemudian bergerak turun setelah berehat sekitar 10 minit di puncak. Kami turun melalui trek kami datang tadi.


Trek ke Bukit Tunggal agak ringkas dan jelas, sesuai untuk pendaki yang baru berjinak dengan aktivity  mendaki. Menurut teman saya, terdapat sebuah sebuah gua di bawah puncak ini. Kami tidak sempat melawat gua tersebut kerana bergesa turun. 


Tiada ulasan: