Terdapat banyak tempat hiking yang telah popular dan sedang dirintis untuk diperkenalkan kepada pengunjung pulau nelayan ini. Saya dan dua orang teman bercuti di Pulau Tuba dan bermalam di Tuba Beach Resort. Kami merancang mendaki ke Bukit Batu Licin hari kedua kami di sini dengan ditemani seorang guide. Untuk memudahkan pergerakan kami di pulau yang damai ini, kami menyewa motosikal. Kami memakir motosikal di sebuah rumah berdekatan dengan kebun getah.
Trek Bukit Batu Licin bermula di kawasan kebun getah di kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi. Permulaan trek agak landai namun jalur agak tertutup kerana jarang dilalui semenjak covid melanda. Setelah melalui kawasan kebun getah, kami menyusuri jalur di tepi pagar sekolah sehingga memasuki kawasan hutan.
Kami kemudian menyusuri jalur hutan dan trek mula menaik sedikit. Akar-akar pokok hutan di kawasan ini kelihatan menarik kerana menumpang di pokok-pokok lain dan berlingkar-lingkar, sehingga ada yang menjalar membentuk seperti pintu gerbang. Kami mendaki secara santai sambil bercerita dan merakam gambar.
Di setengah-setengah bahagian trek terdapat batu-batu besar yang perlu didaki dan kami berpaut menggunakan tali yang telah tersedia dan diikat kuat. Hampir sejam mendaki kami sampai di satu kawasan terbuka yang membolehkan kami melihat Pulau Dayang Bunting yang bertentangan dengan tempat kami berdiri dan pemandangan di bawah sana dengan jelas.
Kami berehat di sini sebentar dan meneruskan pendakian dengan mendaki beberapa lagi batu-batu besar menggunakan tali. Kami kemudian sampai di sebuah lagi batu besar yang menghidangkan pemandangan terbuka. Dari sini kami melihat Selat Bagan Nyior yang memisahkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting. Perkampungan Mukim Dayang Bunting dan Noba Resort juga jelas kelihatan. Kami melihat sebatang jambatan yang menghubungkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting, juga Chalet Bestuba yang terapong di Selat Bagan Nyior. Saya bertanya tasik yang kelihatan di bawah sana adakah itu Tasik Dayang Bunting. Menurut guide, Tasik Dayang Bunting tidak dapat dilihat dari atas Bukit Licin kerana ia terletak di sebelah sana, di belakang beberapa bukit di Pulau Dayang Bunting. Kami berehat sepuasnya di batu besar di atas Bukit Batu Licin ini. Tidak terdapat papan tanda ketinggian di atas ini.
Setelah berehat agak lama di atas batu besar ini kami sepakat untuk turun dan merancang ke Air Terjun Selat Bagan Nyior untuk mandi. Seperti biasa perjalanan turun lebih cepat dari masa mendaki melalui jalur yang sama kami lalui masa naik tadi. Kemudian guide membawa kami mandi manda di Air terjun Selat Bagan Nyior yang terletak di Pulau Dayang Bunting. Dari Pulau Tuba ke Pulau Dayang Bunting kami menyeberangi Selat Bagan Nyior melalui jambatan simen.
Selesai mandi manda, kami meneruskan perjalanan menerokai Pulau Tuba dengan motosikal dan tujuan seterusnya adalah Gua Wang Buluh.
Nota:
Guide Aswad :013 7905025
Tuba Beach Resort:0122309201, 01110183454, 0175825324
Tiada ulasan:
Catat Ulasan