Isnin, 6 Disember 2021

Menerokai Gua Wang Buluh di Pulau Tuba


Kehadiran kami di pintu Gua Wang Buluh ini disambut oleh sekawan kelawar sipenghuni gua yang bergayut di dinding dan siling gua. Saya dan dua rakan ke gua ini setelah mendaki Bukit Batu Licin dan mandi manda di Air Terjun Selat Bagan Nyior Pulau Dayang Bunting pada akhir November 2021. Semasa di Pulau Tuba, kami menyewa motosikal untuk memudahkan pergerakkan. Tambahan pula untuk menuju tempat-tempat lawatan di dua pulau ini amat sesuai menaiki motosikal. Kami ditemani seorang guide orang tempatan. Jalan ke gua ini agak kecil dan kami memakir motosikal di kaki Bukit Gua Wang Buluh. 


Kemudian kami mendaki anak tangga batu yang dibina dan menyusuri jalur ke Gua Wang Buluh hingga bertemu sebuah wakaf untuk berehat. Terdapat dua persimpangan di wakaf ini. Jalur ke kiri menuju ke dinding batu gua dan kawasan melihat pemandangan dan kami meneruskan perjalanan melalui jalur di sebelah kanan menuju ke Gua Wang Buluh. 

Trek gua ini dibina baik dengan setengah bahagian dibina tangga batu, pelantar kayu dan jalur alam. Semasa kami ke sini pelantar kayu banyak yang telah reput mungkin kerana jalur jarang dilalui pelawat disebabkan wabak covid. Boleh dikatakan trek ke Gua Wang Buluh ini agak menegak dan sedikit memerlukan pelawat memerah keringat. 



Setelah mendaki sekitar 30 minit, kami sampai di pintu Gua Wang Buluh. Setibanya kami di pintu gua, kami melihat sekawan kelawar yang bergayut di dinding dan siling gua. Kemudian kami memasuki gua dengan menggunakan cahaya lampu dari talipon bimbit kerana keadaan agak gelap di bahagian dalam gua. 




Batu di gua ini agak cantik bercahaya dan terdapat "batu berdoa" di pintu gua di sebelah sana. Batu berdoa mendapat gelaran kerana jika dipandang dari sudut tertentu, ia kelihatan seperti orang berdiri sedang menadah tangan. 






Kami berada agak lama di dalam gua yang pernah menjadi tampat persembunyian penduduk tempatan pada zaman Jepun dahulu. Hampir jam 12:00 tengahari kami bergerak turun untuk pulang berehat di Tuba Beach Resort sebelum meneruskan lawatan  sesi petang di Pulau Tuba. 

Nota: Guide Aswad 013 7905025


Tiada ulasan: