Khamis, 9 Disember 2021

Bercuti di Pulau Tuba Kedah



Saya sering bercuti ke Pulau Langkawi namun tidak pernah menjejakkan kaki ke Pulau Tuba yang berjarak sekitar 10 minit menaiki bot dari jetty di Bandar Kuah. Kali ini saya dan dua teman bercuti di pulau nelayan ini selama tiga hari dua malam dan menginap di Tuba Beach Resort. Kami menaiki bot dari Jetty Pekan Rabu, Kuah pada jam 13:00 petang dan turun di Jetty Selat Lubuk Cempadak. 


Terdapat banyak jetty di Pulau Tuba dan kita boleh bertanya penduduk tempatan jetty mana yang sesuai kita  berlabuh dan berhampiran tempat penginapan yang kita tempah. Selain Jetty Pekan Rabu kita juga boleh ke Pulau Tuba dari Jetty Dato Syed Omar di Kuah dan bot dari dua jetty ini singgah di Pulau Tuba di jetty yang berbeza, jadi bertanyalah dari orang tempatan bot mana yang sesuai kita naik. Jadual bot dari Pulau Langkawi ke Pulau Tuba berlepas tepat masa setiap dua jam bermula jam 09:00 pagi dan berakhir jam 19:00 malam setiap hari begitu juga masa dari Pulau Tuba ke Pulau Langkawi. Namun jika kita tersalah pilih jetty semasa mendarat di Pulau Tuba, tiada masalah kerana di jetty terdapat banyak  motosikal untuk disewa dan saiz Pulau Tuba tidak begitu besar. Setibanya kami di Jetty Selat Cempedak kami menaiki van yang telah kami hubungi untuk ke Tuba Beach Resort. 



Petang itu kami bersiar di kawasan resort, pantai dan berjalan ke hujung jetty. Jetty simen yang dibina ini menganjur jauh hingga ke tengah laut disebabkan pantainya yang cetek. Di waktu petang ramai penduduk kampung memancing di jetty ini sambil berehat. Malam itu pemilik resort menjemput kami menyertai majlis hari jadi anaknya.





Hari kedua kami menyewa motosikal dan mengambil seorang guide untuk memandu kami menerokai Pulau Tuba. Rencana pertama kami mendaki Bukit Batu Licin. Bukit ini mempunyai keistimewaan tersendiri bila mendaki melalui jalur yang dihiasi akar-akar yang melingkar-lingkar sehingga ada yang menyerupai  pintu gerbang. Dari atas puncak Bukit Batu Licin kami melihat pemandangan Pulau Dayang Bunting, Selat Bagan Nyior yang memisahkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting, jambatan simen yang mengikat Pulau Tuba dan saudaranya Pulau Dayang Bunting, jetty, Chalet Bestuba yang terapong di Selat Bagan Nyior, Noba Resort, mukim dan perkampungan Pulau Dayang Bunting. Menurut guide, Tasik Dayang Bunting tidak dapat dilihat dari atas Bukit Batu Licin kerana kedudukannya di sebelah sana pulau terlindung oleh bukit-bukit di Pulau Dayang Bunting.



Setelah turun kami dibawa ke Pulau Dayang Bunting dan menyeberangi jambatan simen yang kami lihat tadi. Kami bersiar di perkampungan Pulau Dayang Bunting sehingga ke Air Terjun Selat Bagan Nyior. Kami mandi manda di air terjun ini dan kemudian meneruskan penerokaan Pulau Tuba.



Seterusnya kami ke Gua Wang Buluh. Laluan ke Gua Wang Buluh agak jauh. Setibanya di kaki gua, kami memakir motosikal dan mula mendaki anak-anak tangga dan pelantar kayu yang telah dibina untuk ke gua ini. Pelantar kayu ke gua ini ada yang telah reput kerana jarang dilalui dan diselenggara disebabkan wabak covit yang melanda dunia. Kami mendaki sehingga sampai di sebuah wakaf rehat. Di sini terdapat dua persimpangan, ke kiri untuk melihat  pemandangan hutan dan dinding batu gua dan kami meneruskan pendakian menyusuri jalur kanan yang menghala ke Gua Wang Buluh. Sampai di pintu gua, kami disambut dengan hiasan sekawan kelawar bergantungan di dinding dan siling gua. Kawasan Gua Wang Buluh tidak sebesar mana namun batu-batu di dalamnya bersinar cantik. Di hujung muka gua terdapat "batu berdoa" yang bila dipandang dari sudut tertentu ia kelihatan seperti orang berdiri yang sedang menadah tangan berdoa. 



Selesai melawat Gua Wang Buluh kami pulang ke resort untuk berehat. Di sebelah petangnya pula kami dibawa bersiar di kawasan perkampungan Pulau Tuba dan melawat Desa Keda yang telah diwarnai dengan cat berbagai warna di setiap rumah. Desa Keda telah siap sedia menerima tetamu dan menjadi salah satu tempat lawatan istimewa Pulau Tuba bila wabak covit menghancuran percaturan pelancongan pulau ini. Di kampung ini juga terdapat bengkel kraf tangan dan kami singgah sebentar di bengkel keropok lekor.




Kemudian kami ke Pulau Dayang Bunting lagi, melawat Noba Resort yang kami lihat dari puncak Batu Licin. Di resort ini terdapat sebuah bot tersadai yang dijadikan tempat penginapan dan bot ini juga menjadi spot berphoto para pelancong. Kami akhiri lawatan hari ini bersantai di Pantai Tanjung Pandan, menikmati mie udang dan ketam. 




Keesokkan harinya kami berangkat ke Pulau Langkawi dari Jetty Teluk Bujur yang merupakan jetty utama Pulau Tuba pada jam 11:00 pagi dan berlabuh di Jetty Dato' Syed Omar Kuah, Pulau Langkawi.


Nota:
Van dari jetty ke resort: Ghani 011 10721664
Guide: Aswad 013 7905025
Tuba Beach Resort: 0122309201, 01110183454, 0175825324


Tiada ulasan: