Saya suka bercuti ke Negara Jepun. Ini kali kedua saya ke sana dan saya pasti akan datang lagi jika ada rezeki. Kali ini saya dan seorang teman mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Osaka pergi dan pulang. Kami sampai di Osaka pada jam 09:30 pagi pertengahan november 2024. Kami berdua bercuti di Jepun secara backpack DIY. Setelah membeli sim card kami berdua bergerak ke stesen keretapi. Di sini kami menghadapi masalah bila saya tidak membuat tempahan online untuk membeli JR Pas terlebih dahulu. Dan semasa di sana kami gagal untuk beli JR Pas secara online. Solusinya kami kembali ke airport dan kami beli JR Pas dari Information Center di sana. Baiknya mereka telah mencadangkan pakage yang lebih jimat dari yang saya rancang untuk ambil semasa percutian ini. Kemudian kami bergerak ke Kobe dengan menaiki keretapi. Setelah daftar masuk di The b Kobe Hotel, kami berehat dan di sebelah malam kami keluar bersiar ke Kobe Harbour.
Hari kedua, kami memulakan perjalanan ke Kochi di Pulau Shikoku. Dari Kobe kami menaiki keretapi ke Okayama. Di Okayama kami menyimpan beg pakaian di stesen keretapi dan kemudian kami mengambil peluang bersiar di kota Okayama. Kami menaiki keretapi sekitar 17 minit menuju ke Kurashiki Bikan Historical Quarter.
Kurashiki Bikan Historical Quarter merupakan bandar tradisional Jepun yang berusia sekitar 400 tahun dan masih kekal dengan bangunan asli yang kini merupakan tempat lawatan di Okayama. Selesai melawat kota sejarah ini kami kembali ke stesen keretapi dan meneruskan perjalanan ke Bandar Kochi di Pulau Shikoku. Petang itu kami sampai di Bandar Kochi pada jam 18:00 petang. Kami menginap di Hotel Liberty Kochi selama empat malam. Malam itu setelah daftar masuk kami cuma berehat. Keesokkan paginya hari ketiga kami bergerak awal ke Stasen Keretapi Kochi. Rancangan kami hari itu adalah trekking di Nakatsu Gorge.
Malam itu setelah pulang ke Bandar Kochi kami keluar bersiar membeli sedikit keperluan dan makanan. Kami juga mengunjungi bazar dan Hirome Market yang merupa salah satu tempat yang dicanangkan di Kochi.
Hari keempat di Jepun, kami mendaki ke Gunung Tsurugi. Gunung Tsurugi merupakan gunung kedua tinggi di Pulau Shikoku. Cabaran ke gunung yang mempunyai jalur dan pemandangan yang indah ini adalah menyusun jadual perjalanan sekiranya kita menggunakan pengangkutan awam yang agak terhad. Kami menaiki keretapi dari Kochi ke Oboke. Menaiki bas dari Oboke ke Kubo dan meneruskan perjalanan dari Kubo ke Minokoshi juga dengan menaiki bas. Bas beroperasi dari Oboke ke Kubo empat kali sehari manakala dari Kubo ke Minokoshi dua kali sehari. Ada hari-hari tertentu bas tidak beroperasi ke Minokoshi.
Hari keempat di Pulau Shikoku dan kelima dalam perjalanan kami di Jepun, kami ke Sunday Market. Pasar pagi ini beroperasi setiap hari ahad dan berbagai barangan dari hasil tempatan diniaga di pasar ini. Kemudian kami melawat ke Istana Kochi.
Setelah selesai melawat Istana Kochi, kami mengambil ticket bas persiaran My-Yu Bas sehari perjalanan. Bas persiaran ini singgah di beberapa perhentian tempat tarikan di Kochi dan kami cuma singgah di beberapa tempat sahaja seperti Godaisan Park, Makino Botanikal Garden dan akhirnya ke Katsurahama Beach.
Petang itu kami lengkapkan dengan aktivity menjamu mata di deretan bazzar di Bandar Kochi sebagai penutup percutian kami di Pulau Shikoku. Hari keenam kami bergerak awal pagi. Tujuan hari ini adalah ke Tottori yang terletak di Pulau Honshu. Dari stesen Kochi kami menaiki keretapi ke Stesen Sakaide. Kemudian kami meneruskan perjalanan dengan keretapi ke stesen Okayama. Di Okayama kami menukar lagi keretapi ke Tottori. Perjalanan mengambil masa lebih separuh hari dan kami sampai di Stesen Tottori sekitar jam 3 petang.
Kami menginap di Tottori Washington Hotel sekitar 200 meter dari Stesen Tottori. Petang itu kami bercadang ke Sand Dune, tetapi difikirkan sudah agak lewat, kami hanya bersiar di kedai sekitar Stesen Tottori. Hari ke tujuh percutian kami ke Sand Dune Tottori.
Kemudian kami singgah di muzium pasir. Masuk ke muzium ini dikenakan bayaran. Pameran pasir di muzium ini bertukar tema setiap tahun. Ketika saya kesana pada tahun 2024, tema pameran di muzium ini adalah Perancis. Pameran pasir di muzium ini adalah hasil seni pengukir dari serata dunia. Setelah selesai melawat ke Sand Dunes Tottori, kami kembali ke Bandar Tottori dan meneruskan perjalanan kami di Kyoto. Kami sampai di Kyoto lewat petang dan kami bermalam di Caligraphy House untuk empat malam.
Hari kelapan aktiviti percutian kami di Jepun, kami ke Arashiyama. Menaiki Sagano Romantic Train ke Kameoka dan pulang semula ke Arashiyama dengan Hazugawa Boat. Pagi itu kami ke Stesen Kyoto dan dari sana kami menaiki keretapi ke Saga-Arashiyama. Kami menempah tiket Sagano Romantic Train ini jam 09:00 pagi untuk ke Kameoka.
Sagano Romantic Train merupakan keretapi gaya lama abad ke19 yang melakukan perjalanan antara Stesen Saga-Arashiyama ke Kameoka dan mengambil masa 25 minit. Ia beroperasi dari awal March hingga akhir Disember setiap tahun. Keretapi Sagano Romantic ini mempunyai lima gerabak dan gerabak kelima adalah gerabak terbuka. Sampai di Kameoka kami bersiar sebentar di bandar ini sebelum ke Jeti Sungai Hozugawa untuk menaiki bot pulang ke Arashiyama.
Hozugawa Boat Ride ini beroperasi sepanjang tahun dan pada bulan November dan Disember, aktivity ini sangat popular di kalangan pelancong ketika daun bertukar warna kuning kemerahan. Perjalanan ke arashiyama sejauh 16 kilometer dan mengambil masa sekitar dua jam menyusuri arus sungai dan masa sampai di Arashiyama bergantung aras air sungai.
Setelah tiba di arashiyama kami bersiar di kawasan pelancongan yang sesak dengan pelawat sepanjang tahun itu. Kami makan dan solat di Restaurant Yosida Arashiyama. Lewat petang itu kami pulang semula ke Kyoto menaiki keretapi.
Hari kesembilan percutian kami di Jepun, kami ke Ine Town dan Amanohashidate. Seawal pagi kami ke Stasen Kyoto dan menaiki keretapi ke Amanohashidate pada jam 08:00 pagi. Sampai di Amanohashidate kami ke View Point dahulu. Kami berjalan kaki ke stesen chairlif dan cable car. Kami memilih menaiki chairlif naik dan turun dengan tambang 1700 Yen untuk dua orang. Dari atas bukit di Amanohashidate kami menyaksikan pemandangan indah benteng pasir yang dipenuhi pokok pine yang membelah laut di Teluk Miyazu.
Hari ke sepuluh kami bercuti di Jepun, kami ke bandar tua Higashiyama. Kami menaiki bas dari Stesen Kyoto dan turun di Bandar Higashigama. Kemudian kami berjalan sepanjang deretan kedai cenderamata menghala ke sebuah rumah ibadat orang Jepun. Ramai pengunjung menyewa pakaian kimono di deretan kedai di sini. Lambakan pelancong ke sini menyebabkan kesesakan semasa kami naik dan turun bukit menghala ke tokong tua.
Kami merakam gambar dan kemudian berehat seketika di pekarangan tokong tua ini. Kebanjiran pelancong di sini menyebabkan kami sepakat bergerak turun untuk ke lokasi lawatan lain.
Kami menjamu mata di sepanjang deretan kedai cenderamata ketika berjalan ke stesen bas untuk pulang ke Bandar Kyoto. Kemudian kami ke Restaurant Halal Honolu Grande untuk makan tengahari. Kami juga menumpang solat di restaurant ini. Kemudian kami bersiar sekitar bandar Kyoto.
Hari kedua belas percutian, kami trekking ke Air Terjun Minoh National Park.
Mengunjungi Air Terjun Minoh setinggi 33 meter di Minoo National Park ini percuma. Kami ke sini dengan cara menaiki keretapi dari Stesen Osaka ke Hankyu Minoo Stasen. Dari Hankyu Minoo Stasen kami menapak sejauh 2.6 kilometer seperti pengunjung lain. Jalan ke Air Terjun Minoh jelas bertanda, terdapat beberapa kemudahan sepanjang perjalanan ke sana seperti gerai makanan gerai cenderahati dan tandas. Kerepek daun maple sangat popular di sini ketika musim luruh.Selepas melawat Air Terjun Minoh kami ke Masjid Jamek Osaka. Dari Stasen Osaka kami menaik keretapi ke stesen terdekat masjid dan kemudian kami berjalan kaki ke Masjid Osaka ini sekitar 10 minit. Seperti biasa terdapat beberapa restaurant halal di sekitar bangunan masjid dan terdapat juga kedai runcit pengusaha muslim.
Hari ke tiga belas percutian kami, kami mendaki Gunung Wakakusa di Nara Park. Dari Osaka kami menaiki keretapi ke Stasen Nara Park sekitar 45 minit dan kemudian berjalan kaki sekitar 20 minit ke ke Taman Nara. Terdapat sekitar 1200 ekor rusa hidup bebas di Nara Park ini. Rusa merupakan simbol Bandar Nara.
Masuk ke Nara Park ini percuma namun mendaki ke Gunung Wakakusa di Nara Park ini dikenakan bayaran 150 Yen. Tiket dibeli di pondok pengawal di permulaan trek dan pendakian ke puncak mengambil masa sekitar 30 minit.
Setelah mendaki Gunung Wakakusa, kami ke Visitor Centre Nara Park untuk solat. Sebelum pulang kami membeli sedikit cenderamata di Nara Park dan deretan kedai cenderamata sepanjang jalan ke Stasen Nara Park. Petang itu kami habiskan hari ke tiga belas ini di Dotonburi seperti semalam dan kedai sekitar kawasan penginapan kami.
Nota:
Keseluruhan perbelanjaan percutian kami di Jepun selama 14 hari adalah sekitar Rm9300 termasuk perbelanjaan tiket kapal terbang pergi pulang dan sedikit cenderamata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan