Kedudukan pondok-pondok di Rock Village ini di atas bukit di Daerah Sik Kedah. Jauh dari kesesakkan jalan raya dan bandar amat sesuai untuk pengunjung merehatkan minda dan menikmati masa untuk bertenang. Saya dan seorang teman berehat di Rock Village ini pada akhir January 2025 selama tiga hari dua malam. Kami membuat tempahan dan pada hari daftar masuk, kami menuju ke Wat Siam Kampung Kura tempat pertemuan kami dan wakil pengurus Rock Village. Setelah bertemu dengan wakil Rock Village, dia membawa kami ke rumahnya untuk memakir kenderaan. Di sebabkan jalan ke Rock Village agak tidak selesa untuk kereta biasa, kami menaiki kenderaan empat roda yang disediakan oleh pihak Rock Village.
Setelah sampai di Rock Village, kami di beri sedikit taklimat tentang kemudahan dan peraturan penginapan di sini. Bekalan eletrik di sini beroperasi dari jam 7 malam ke 12 tengah malam. Tandas dan bilik mandi kongsi. Terdapat cafe yang beroperasi dari 7 pagi ke 7 petang.
Petang itu setelah menyusun semua barang dan peralatan yang kami bawa, masak dan makan, kami cuma berehat sambil menikmati malam yang tenang. Liputan komunikasi di sini baik dan tiada masalah semasa kami bercuti di sini.
Pagi hari kedua selepas sarapan, kami berjalan pagi di sekitar kawasan tempat penginapan. Terdapat beberapa jenis pondok di sini. Selain La Maison Roof Camp seperti penginapan kami, terdapat juga Casa Roof Camp, Rock Cabana, Rock Glamping dan Casa Karen House dengan keluasan dan harga yang berbeza.
Disebelah petang pula kami menempah ATV. Saya sedikit gugup bila guide menerangkan cara dan laluan yang akan kami tempuh. Memandangkan jalan di kawasan ni agak curam, saya merasa sangsi untuk memandu ATV ini dan kami sepakat membatalkan aktivity itu. Petang itu kami sekali lagi melawat kawasan penginapan. Terdapat sebuah lagi kawasan perkhemahan di bukit ini. Saraphi Campside yang berjiran dengan Rock Village membenarkan kami melawat kawasan perkhemahan mereka dan menceritakan dengan ramah kemudahan yang mereka sediakan.
Malam itu kami berehat sepenuhnya seperti malam tadi. Menikmati sunyi malam dengan hembusan angin yang sedikit dingin. Keesokkan paginya, selepas sarapan kami berjalan pagi dan kemudian bersiap sedia untuk pulang pada tengahari itu.
Rock Village merupakan tempat penginapan yang tenang di atas sebuah bukit di Sik Kedah. Sangat sesuai untuk pengunjung yang ingin berehat di tempat yang sunyi atau lari dari hiruk pikuk bandar. Liputan komunikasi baik jika pengunjung ingin berehat sambil kerja menggunakan computer.
No tel Rock Village: +60 13-469 1857
Tiada ulasan:
Catat Ulasan