Selasa, 4 Februari 2025

Mendaki Gunung Wakakusa di Nara Park Jepun


Saya dan seorang teman mendaki ke Gunung Wakakusa di Nara Park ini di akhir bulan November 2024. Hari itu merupakan hari ke tiga belas percutian kami di Jepun. Kami menginap di Osaka. Pagi itu kami menaiki keretapi dari Stesen Osaka ke Stesen Nara Park sekitar 45 minit. Kemudian dari Stesen Nara Park kami berjalan kaki ke Nara Park sekitar 20 minit.



Masuk ke Nara park percuma. Nara Park seolah zoo tanpa ticket. Sekitar 1200 ekor rusa hidup bebas di taman besar di sini. Pengunjung boleh memberi makan rusa dengan membeli biscut Shika-Senbei yang di jual di taman ini. Kebanyakan rusa akan menundukkan kepalanya seperti adat orang Jepun bila mereka mahukan biscut yang kita beli. Rusa merupakan simbol bandar Nara.




Terdapat deretan kedai menjual cenderamata, makanan dan berbagai barangan di taman ini. Beberapa kemudahan seperti tandas, padang yang luas dan bersih untuk berkelah, bangku untuk berehat dan rumah ibadat juga terdapat di sini.




Kami bersiar sambil merakam gambar bersama rusa yang jinak di taman rusa ini hingga ke Todaiji Temple dan Kasuga Taisha Shrine. Jalur mendaki ke Gunung Wakakusa bermula di antara dua rumah ibadat ini.




Mendaki ke Gunung Wakakusa dikenakan bayaran 150 Yen. Tiket mendaki ke gunung ini dibeli di pondok pengawal masuk ke trek dan tiket perlu di simpan kerana akan diperiksa di satu lagi pondok pengawal ketika menghampiri puncak gunung nanti.
 





Kami mengambil masa untuk sampai ke puncak sekitar 30 minit dan pendakian tidak sesukar mana. Trek redup bertanda dan jelas. Sambil menapak ke atas kami menyaksikan Bandar Nara terbentang luas di bawah sana. 




Kami mendaki secara santai sambil merakam gambar. Cuaca yang baik hari itu menampakkan lagi keindahan Bandar Nara dengan jelas. Kami berehat di padang luas menghampiri puncak sebelum melanjutkan perjalanan ke puncak sebenar.




Terdapat sebongkah batu besar sebagai penanda di puncak Gunung Wakakusa 342 meter. Dari puncak yang terbuka 360 darjah ini kami menikmati angin nyaman sambil menyaksikan keindahan sebahagian Negara Jepun.




Setelah merakam gambar kenangan dengan seorang pelancong satu negara yang kami sapa ketika mendaki tadi, kami bergerak ke padang rumput dan berehat sambil mengisi perut dengan bekalan yang kami bawa.






Hari ke empat sabtu di bulan January, terdapat perayaan membakar di Gunung Wakakusa ini. Perayaan Yamayaki ini berlangsung setiap tahun. Dari Bandar Nara di bawah sana akan kelihatan Gunung Wakakusa yang merah dengan api ketika perayaan ini berlangsung. Gunung Wakakusa ini ditutup pada pertengahan Disember hingga March setiap tahun. Gunung Wakakusa bermaksud Gunung Rumput Muda.




Setelah puas merakam gambar dan berehat, Kami bergerak turun dan bersolat di Nara Visitor Center di Nara Park. Sebelum pulang kami membeli sedikit cenderamata di Nara Park dan di deretan kedai sepanjang jalan ke Stasen keretapi Nara Park.







Kami kemudian pulang ke Osaka dengan menghabiskan hari ke tiga belas ini di Dotonbori seperti hari semalam sebelum pulang ke penginapan. Terima kasih Allah.



Tiada ulasan: