Saya ke Yogyakarta lagi pada August 2017 untuk melaksanakan trip "Triple S". Trip ini saya rancang untuk menawan puncak Gunung Sumbing, Gunung Sindoro dan Gunung Slamet di Jawa Tengah dan jika berkesempatan saya juga akan mendaki Gunung Phrau. Pesawat akhirnya mendarat lewat hampir satu jam dari masa yang dijadualkan. Di airport seorang rakan peneman saya telah sedia menunggu dan kami berdua terus berjalan kaki keluar dari kawasan airport untuk memesan "grabcar" agar lebih jimat dari menaiki teksi di airport. Kami terus menuju ke stesen travel RamaSakti (bas kecil / van) untuk menuju ke bandar Wonosobo. Perjalanan dari Yogyakarta ke Wonosobo mengambil masa sekitar 3 jam. Kami singgah sebentar di pertengahan jalan untuk makan tengahari. Pemandu van yang baik hati itu telah menghantar kami terus ke Base Camp Gunung Sumbing di Desa Garung dan kami sampai di sana pada jam 13:30 petang.
Di Pos Pendakian Jalur Garung kami membayar permit pendakian sebanyak Rp15 ribu seorang termasuk fasility. Setiap kumpulan pendaki dibekalkan sebuah karung (beg sampah) untuk membawa turun sampah sendiri agar kebersihan gunung terjaga. Setelah melaporkan diri di Pos Pendakian Gunung Sumbing jalur Garung kami memulakan pendakian ke Gunung Sumbing ditemani seorang porter pada jam 14:30 petang. Untuk menjimatkan masa, kami menaiki ojek ke Pos 1 dan ini menjimatkan masa trekking sekitar 2 jam.
Saya sakit perut menahan tawa kerana semasa menaiki ojek, penumpang diminta duduk di hadapan untuk mengurangkan beban ojek di belakang ketika ojek mendaki gunung ke Pos 1. Melalui jalan kampung yang batu jalan tersusun rapi tetapi tidak rata tetap bergoncang menyebabkan saya menjerit seperti menaiki "rollercoster" kerana terbit sedikit rasa gayat bila ojek dipacu laju. Seperti biasa, kaki Gunung Sumbing dihijaukan dengan kebun-kebun penduduk kampung yang sedang menanam tembakau.
Setelah menaiki ojek sekitar 10 minit, kami sampai di Pos 1 Malim. Pendakian ke puncak bermula di sini dan jalur terus pacak 45 darjah pada pandangan saya. Untuk mendaki hari pertama ini, kami mendaki dari Desa Garung melalui jalur lama.
Kami sampai di Pos 2 Genus pada jam 15:40 petang setelah sejam trekking. Kami rehat seketika dan meneruskan pendakian ke Pos 3. Perjalanan ke Pos 3 paling mencabar bagi saya bila mana mendaki di jalur berdebu dan licin yang dikenali sebagai engkol-engkolan. Saya terpaksa mendaki sambil menarik rumput di tepi trek kerana jalur tanah merah yang licin dan berpasir. Kami mendaki semasa musim kemarau dan debu berterbangan setiap kali kami mengelonsor ke bawah. Saya tidak dapat membayangkan jika mendaki di musin hujan, pasti kesukarannya berganda.
Kami sampai di Pos 3 Sedelupak Roto pada jam 17:00 dan berehat seketika di pos ini. Pos 3 agak rata dan boleh memuatkan beberapa buah khemah. Kami kemudian terus mendaki secara santai ke Pestan sekitar 30 minit untuk bermalam. Di Pestan terdapat beberapa khemah yang didirikan oleh pendaki yang telah sedia sampai. Kebanyakkan pendaki berehat-rehat sambil menunggu matahari terbenam dan saya terus menyertai mereka tanpa membuang masa.
Pestan berada di ketinggan 2437 mdpl dan dari sini kami melihat jelas Gunung Sindoro berdiri setia menemani Gunung Sumbing yang sedang kami daki. Seperti Gunung Merbabu dan Gunung Merapi yang dikenali sebagai "Double M" atau Gunung Kembar, Gunung Sumbing dan Gunung Sindoro pula dikenali sebagai gunung "suami isteri". Kami juga nampak puncak Gunung Phrau dan Gunung Slamet yang muncul di celah awan walaupun kedudukkannya agak jauh. Kami berehat di sini sehingga matahari terbenam dan setelah itu kami menyediakan makan malam, berehat dan tidur.
Kami bangun sekitar jam 2:30 pagi hari kedua. Setelah minum dan membuat persediaan, kami mula menuju ke puncak pada jam 3:00 pagi ditemani lampu suluh dan kedinginan pagi. Kami menyaksikan matahari terbit di pertengahan jalan menuju puncak.
Kami meneruskan pendakian ke puncak secara santai. Setelah melalui Pasar Watu dan Watu Kotak, kami terus mendaki menyusuri trek batu-batu besar. Kami kemudiannya melalui jalur Tanah Putih menandakan kami telah hampir sampai ke puncak.
Kami sampai di Puncak Buntu Gunung Sumbing pada jam 7:40 pagi dan kami berada di sana hampir sejam. Gunung Sumbing ada beberapa puncak antaranya Puncak Buntu 3362 mdpl dan Puncak Rajawali 3371 mdpl. Untuk ke Puncak Rajawali, pendaki terpaksa turun ke kawah dahulu dan kemudian mendaki semula ke Puncak Rajawali dari jalur di kawah.
Kami turun sekitar jam 8:30 pagi. Perjalanan turun ke tapak khemah lebih mengujakan bila kami berhadapan dengan pemandangan indah waktu pagi dan melihat Gunung Sindoro yang dihiasi awan putih seperti kapas. Desa Garung di kaki gunung juga kelihatan jelas. Selain mendaki dari jalur Garung, Gunung Sumbing juga boleh didaki dari jalur Cepit Parakan di Temanggung, jalur Bowongso di Wonosobo dan jalur Butuh Kaliangkrik di Magelang.
Kami tiba di tapak khemah Pestan pada jam 10:15 pagi. Setelah makan dan bersiap sedia, kami mula turun ke Base Camp melalui jalur baru pada jam 11:30 pagi. Jalur baru dan jalur lama bertemu di Pestan dan kami turun melalui jalur baru ini kerana ia agak landai. Kami sampai di Pos 1 jalur baru sekitar jam 14:00 petang dan dari situ kami menaiki ojek menuju base camp. Kali ini kami menaiki ojek seperti orang biasa, duduk di belakang secara normal.
Itinerary:
Day 1
09:00- Mendarat di Airport Yogyakarta terus menuju stesen Travel RamaSakti.
10:10- Menaiki van menuju bandar Wonosobo (Base Camp Gunung Sumbing)
13:30- Sampai Base Camp Gunung Sumbing jalur Garung, register pendakian.
14:30- Menaiki ojek ke Pos 1.
14:40- Mendaki dari Pos 1 Malim.
15:40- Pos 2 Genus.
17:00- Pos 3 Sedelupak Roto.
17:30- Pestan, pasang khemah dan bermalam.
Day 2
02:30- Bangun dan sarapan.
03:00- Mula mendaki ke puncak.
07:40- Sampai Puncak Buntu 3362 mdpl.
08:30- Turun ke Pestan.
10:15- Pestan, makan dan bersiap untuk turun.
11:30- Turun ke base camp melalui jalur baru.
14:00- Pos 1 jalur baru, naik ojek ke base camp.
14:15- Base Camp Gunung Sumbing, berehat, bermalam dan buat persiapan mendaki Gunung Sindoro.
Nota:
1- Tambang van dari Yogyakarta ke Wonosobo Rp70 ribu seorang.
2- Permit mendaki Gunung Sumbing Rp 15 ribu seorang.
3- Ojek dari base camp ke Pos 1 Rp 25 ribu sehala seorang.
4- Tidak ada punca air di jalur lama (air bawa dari base camp)
5- Trek hampir keseluruhannya pacak.
6- Bawa pelindung muka (face mask) jika mendaki di musim kemarau.
7- Base Camp Gunung Sumbing Desa Garung, bermalam percuma, tandas bersih dan ada surau.
8- Cubalah susu segar keluaran penduduk Desa Garung (pesan dari pengusaha Base Camp Garung).
9- Contact Porter: a) Miftah +6281548313757, b) Benny +6281327609703.
2 ulasan:
Ya Allah, kagumnya saya. Saya yang naik Merbabu pun rasa macam nak tercabut kalau sambung ke Merapi. inikan pula 3S!!!! tahniah... tahniah! tahniah! Sebenarnya saya nak tanya pasal guide ke Pulag (saya ada baca post ke Pulag). Nombor Gina (guide) tu, recommanded tak? Sebab saya memang tengah mencari guide ke sana. Terima kasih...
iya..saya rekomen dia. mudah berurusan dengan dia tanpa guna orang tengah. lebih jimat.
Catat Ulasan