Selasa, 2 April 2019

Camping di Pantai Kerachut Taman Negara Pulau Pinang



Memenuhi janji saya kepada anak-anak teman pada cuti sekolah kali ini, saya merancang camping dan bermalam di Pantai Kerachut Taman Negara Pulau Pinang. Saya suka berkhemah di Pantai Kerachut berbanding di Teluk Duyung di taman negara ini kerana selain terdapat Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu dan Tasik Meromiktik di sini, pemandangan matahari terbenam di pantai ini selalu melengkapkan hari indah kami di sini. Saya ke sini bersama 4 orang teman dan 6 orang anak mereka pada akhir March 2019. Kami berkumpul di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang pada jam 12:00 tengahari.


Setelah urusan melaporkan diri dan menempah bot pergi dan pulang selesai kami memulakan agenda. Memandangkan kami membawa berbagai kelengkapan, tidak semua kami boleh menaiki bot. Empat dari kami menaiki bot dan membawa semua barang keperluan, manakala saya dan enam ahli yang lain seperti biasa trekking ke Pantai Kerachut. Kami memulakan trekking pada jam 13:00 tengahari dan sampai di Pantai Kerachut pada jam 14:30 petang.



Sampai di Pantai Kerachut kami berehat sebentar dan teman-teman yang menaiki bot baru sahaja sampai sekitar 15 minit kerana mereka bertolak lewat agar kami sampai dalam masa hampir serentak. Tasik Meromiktik seperti biasa, saya masih tidak berpeluang menyaksikan kejadian alam di mana tasik ini dipenuhi dua lapisan air tawar dan air masin.


Kemudian kami mendirikan khemah, masak petang dan kami ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu. Petang itu anak-anak ini menghabiskan masa dengan bermain di pantai, berehat di jetty dan memancing ikan. Di Pantai Kerachut tidak dibenarkan mandi laut dan berenang kerana terdapat terlalu banyak obor-obor.




Di tapak perkhemahan Pantai Keracut, disediakan tapak khemah yang luas, redup dan bersih, bilik mandi untuk perempuan dan lelaki berasingan, tandas, surau, dewan, singki dan paip untuk memasak. Jika bermalam di sini, taman negara mewajibkan kita mengambil guide namun permit masuk dan berkhemah adalah percuma. Petang itu kami melengkapkan hari dengan menyaksikan matahari terbenam. Malam pula kami meriahkan dengan acara BBQ.




Keesokan harinya selepas sarapan, guide membawa kami trekking sekitar 30 minit untuk ke air terjun untuk mandi. Inilah kali pertama saya ke air terjun ini walaupun saya sering trekking ke Pantai Kerachut. Meskipun air terjun ini tidak besar dan tinggi, namun ia tetap mengembirakan anak-anak ini.






Setelah pulang dari air terjun, kami makan dan berkemas kerana bot pulang akan menjemput kami pada jam 14:00 petang. Berangkat pulang, kami semua menaiki bot kerana banyak barang makanan telah habis, tambahan pula saya ingin anak-anak ini melihat objek Batu Arnab, Batu Penyu dan Batu Kepala Buaya dari atas bot nanti.


Kami semua selamat sampai di pintu masuk taman negara pada jam 14:30 petang dan seterusnya bergerak pulang ke rumah masing-masing. Sebelum berpisah anak-anak ini mengajak saya datang ke sini lagi. Saya mungkin akan membawa anak-anak ini melihat alam indah di tempat lain di masa akan datang. Jangan lupa bawa sampah anda keluar dari taman negara. Terima Kasih Allah.

Nota:
1- Setiap pengunjung wajib melaporkan diri di kaunter pejabat pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang.
2- Permit trekking adalah percuma.
3- Bermalam di taman negara wajib ambil guide.
4- Tambang bot sehala dari pintu masuk taman negara ke Pantai Kerachut RM 90 sebuah.
5- Terdapat tapak pakir kenderaan berbayar di sebelah pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang.
6- Perkhimatan bas Rapip No 101 dari Georgetown ke taman negara.



8 ulasan:

Bazilah berkata...

Hai. Ambik guide (jika bermalam) tu.. berapa bayaran nya?

Jurimahmohdariffin berkata...

Hi. Selalunya dlm rm150.

Unknown berkata...

Requesttrip taman negeripp.. 😉

Thedofi berkata...

Masih buka utk campsite ke musim covid ni?

Jurimahmohdariffin berkata...

sejak musim covit ni saya tak pasti. tuan boleh tanya pihak taman negara tel: 04 8813530 atau 04 8813500.

Jurimahmohdariffin berkata...

Boleh aja kalau nak p..

an berkata...

andaikata taknak pakai guide, so tak boleh bermalam lah?

Jurimahmohdariffin berkata...

Yer....setahu saya sekarang syarat bermalam kena ada guide.