Di Taipei kami menginap di hostel berdekatan Taipei Main Station dan malam itu kami keluar makan malam dan mengunjungi kedai "outdoor". Keesokan harinya, kami bertolak ke Taman Negara Shie-Pa di Taichung pada jam 06:45 pagi dengan menyewa sebuah mini bas. Perjalanan mengambil masa sekitar empat jam setelah berhenti rehat sebanyak dua kali. Sampai di Taman Negara Shie-Pa, Apip melaporkan kedatangan kami di balai polis dan kemudian kami terus menuju ke "trail head" Gunung Syue.
Seperti biasa saya trekking di kumpulan terakhir dan kami sampai di Cika Cabin, 2463 mdpl pada jam 13:30 petang. Kami berehat sebentar di Cika Cabin dan pendaki tidak dibenarkan membuat bising dan merokok di kawasan cabin. Cika Cabin boleh memuatkan sekitar 156 orang pendaki dalam satu masa. Jam 14:30 kami meneruskan pendakian ke 369 Cabin untuk bermalam.
Dalam perjalanan ke 369 Cabin, seorang teman kekejangan dan kami berehat agak lama untuk merawat dan menunggu sehingga dia pulih semula. Trek masih lagi agak landai dan cuaca petang itu amat cerah. Kami di kumpulan terakhir bergerak perlahan sehingga ke satu kawasan yang dijoloki dengan gelaran "crying slope". Ini menandakan kami sudah sampai di kilometer empat dari 'trail head'.
Kawasan ini dikenali sebagai "crying slope" kerana jalurnya agak menegak dan bisa menyebabkan pendaki merintih ketika mendaki. Namun bila sampai di bahagian atas, pendaki pasti terpesona melihat pemandangan yang memukau.
Kami sampai di kilometer lima sekitar jam 18:30. Berada di dua persimpangan antara East Peak dan tapak pendaratan helikopter, kami berhenti sebentar untuk mengeluarkan 'head lamp' dan bersiap sedia berjalan di waktu malam. Dari sini kami dapat melihat 369 Cabin dengan jelas dan baki perjalanan menuju ke sana adalah sekitar dua kilometer. Menuju ke 369 Cabin jalur agak landai dan trek dipenuhi dengan bunga Rhododendron yang sedang mekar berkembang.
Kami di kumpulan terakhir sampai di 369 Cabin atau Sanliujiu Hut, 3100 mdpl pada jam 20:50 malam. Kebanyakan pendaki lain telah dan sedang tidur. Seperti Cika Cabin, 369 Cabin juga menyediakan kemudahan asas seperti dua buah dewan tidur yang dibina katil dua tingkat, dapur untuk memasak dan tandas. 369 Cabin boleh menampong sekitar 106 pendaki dalam satu masa. Pendaki tidak dibenarkan merokok dan membuat bising di kawasan cabin kerana pendaki di Taiwan mementingkan ketenangan dan rehat yang cukup. Hari kedua pendakian ke puncak, kami bersedia sekitar jam 04:15 pagi setelah bersarapan. Cuaca pagi itu tidak begitu baik. Hujan renyai dan angin bertiup sejuk. Seorang teman telah siap sedia mengundurkan diri kerana kesejukan yang amat sangat. Kami 13 orang memulakan pendakian dalam kedinginan dan kehujanan. Setelah mendaki sekitar 30 minit, seorang lagi teman menarik diri dan pulang semula ke cabin. Saya mula bergerak di dalam kumpulan hadapan kerana kurang keyakinan dengan kumpulan belakang. Hujan semakin lebat dan memasuki 'black forest', kami berselisih dengan tiga pendaki dari India yang mengambil keputusan berpatah balik ke cabin. Menurut mereka, di kawasan terbuka selepas 'black forest', hujan dan petir agak aktif. Beberapa orang teman turut mengambil keputusan untuk berpatah balik. Apip mencadangkan kami meneruskan pendakian kerana kami memerlukan masa sekitar dua jam untuk sampai di kawasan terbuka dan berbagai kemungkinan boleh berlaku dan saya berharap keajaiban cuaca bertukar baik. Sampai di hujung kawasan 'black forest' kami menunggu kumpulan terakhir sekitar sejam sambil memasak air untuk minuman bagi memanaskan badan. Setelah pasti tiada teman yang menuruti kami, kami bergerak menuju puncak dalam kehujanan namun tiada petir. Terdapat tompok-tompok salji di trek walaupun musim salji telah berakhir.
Setelah melalui kawasan 'dead tree zone', kami melengkapkan jumlah jarak trek pendakian sejauh 10.9 kilometer dari 'trail head'. Kami seramai enam orang sampai bersama di puncak Snow Mountain atau Gunung Syue, 3886 mdpl pada jam 09:50 pagi. Pendakian ke puncak di waktu cuaca yang agak mencabar memerlukan keyakinan juga kemahuan selain takdir dan tuah.
Kami tidak berlama-lama di puncak memandangkan cuaca yang tidak bersahabat dan jam 10:10 pagi, kami kembali turun ke 369 Cabin. Memandangkan tiada gambar yang dapat dirakam sepanjang pendakian ke puncak, saya mengambil peluang merakam gambar semasa turun. Melalui kawasan hutan 'black forest', saya terpesona melihat pokok-pokok Alpine yang tegak berdiri.
Trekking di kawasan 'black forest' seolah berada di dalam filem-filem Robin Hood. Hutan canopi yang redup dan hamparan lumut hijau yang membalut tanah meredupkan pandangan. Pada waktu malam, kawasan 'black forest' sangat gelap kerana pokok-pokok besar yang berdiri rapat menutupi bahagian bawah hutan dari cahaya bulan ataupun cahaya langit. Oleh kerana keadaan gelap pada waktu malam, kawasan ini di gelar 'black forest'.
Di kawasan 'black forest' kami melintasi jalur yang menarik. Kami melintasi 'stone river'. Di kawasan ini trek dibina di tengah lambakan bongkah-bongkah batu yang jatuh dari atas cerun seperti sebatang sungai mengalir. Bongkah-bongkah batu sederhana besar ini kelihatan seperti aliran sungai dari atas gunung. Terdapat papan menceritakan tentang 'stone river' ini namun saya terlupa merakam gambar dan membacanya.
Kami meneruskan perjalanan turun ke 369 Cabin sambil merakam gambar sehingga sampai di kawasan hutan terbakar menandakan kawasan 'black forest' hampir berakhir. Hutan 'black forest' sedikit terbakar beberapa bulan sebelum ini.
Day 1:
15:30- Semua berkumpul di Taiwan International Airport.
17:00- Menaiki bas ke Bandar Taipei.
18:00- Sampai Taipei, check in Flip Flop hostel.
19:00- Keluar makan dan melawat kedai 'outdoor'.
Day 2
06:45- Berangkat ke Taman Negara Shei-Pa.
10:45- Sampai Shei-Pa National Park, register dan makan.
12:15- Start trekking ke Gunung Syue.
13:40- Sampai Cika Cabin.
14:30- Trekking ke 369 Cabin.
20:50- Kumpulan akhir sampai di 369 Cabin, makan dan tidur.
Day 3
04:15- Start trekking ke puncak Syue.
09:50- Sampai puncak Syue.
10:10- Bergerak turun ke 369 Cabin
12:40- Sampai 369 Cabin, makan dan berkemas pulang.
14:15- Start trekking turun ke trail head.
19:00- Sampai Trail head.
20:00- Berangkat pulang ke Taipei
23:00- Sampai Taipei, check in hostel
Day 4
Berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Nota;
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Taiwan
2- Perlu ada permit untuk mendaki Gunung Syue.
3- Gunung Syue boleh didaki sepanjang tahun
4- Tidak dicadangkan mendaki pada musim typhoon iaitu dari July hingga September
5- Peralatan seperti crampon, harnest, helmit dan lain-lain diwajibkan semasa pendakian di musim salji.
6- Contact trip- Apip : 013 3508508.
2 ulasan:
Hi!
Kami dari PTT Outdoor berminat nak collaborate dengan blog anda. Boleh saya tahu macam mana nak hubungi tuan punya blog?
hi...terimakasih singgah di blog saya. boleh hubungi saya kat email judaunpisang@gmail.com
Catat Ulasan