Jumaat, 15 November 2019

Fenghuang, kota purba di tebing sungai



Hari keenam kami meneruskan perjalanan dari Furong Town ke Bandar Fenghuang. Kami ada dua pilihan untuk ke sini iaitu menaiki bas dari Furong Town ke Bandar Jishou dan kemudian dari Bandar Jishou menaiki bas atau keretapi untuk ke Bandar Fenghuang dan kami sepakat memilih cara yang ringkas iaitu menyewa sebuah van untuk memudahkan perjalanan kami ke sini walaupun sedikit mahal. Kami sampai di bandar kuno ini sekitar jam 11:00 pagi. Semasa kami sampai, rumah sewa yang kami tempah belum sedia diduduki tetapi tuan rumah berbesar hati menyambut kami dan membenarkan kami meletakkan barang-barang kami sementara rumah siap sedia dibersihkan. Setelah meletakkan beg dan barang-barang, kami keluar bersiar di bandar tua ini.




Fenghuang terletak di daerah Xiangxi dan keistimewaan kota kuno ini adalah bandar kecil ini terbina lebih daripada 1300 tahun dahulu. Bangunan-bangunan kayu yang didirikan di kiri dan kanan aliran Sungai Tuojiang menampakkan keunikkan dan keistimewaan bandar tua ini. Pihak kerajaan Negara China juga menyarankan penduduknya berkunjung dan melawat ke bandar ini.




Bandar Fenghuang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Fenghuang moden di mana bangunan moden dan kemudahan terkini sedang giat membangun dan Fenghuang Kuno di tebing Sungai Tuojiang yang dikekalkan dengan bangunan tua, adat, budaya dan tradisi etnik asli yang berasal di sini sebagai sumber pelancongan. Bandar purba ini dijaga rapi sejak ia terbina, kesemua jalan dan lorong diturap batu bata dengan baik.




Di sini terdapat deretan kedai menjual makanan, pakaian, perhiasan, cenderahati dan bermacam lagi. Penjual buah-buahan yang memikul barang dagangan juga sentiasa berlegar mencari pembeli. Sang penjual bunga juga tidak ketinggalan memujuk pelawat membeli barangan mereka. Di sini juga pelancong boleh memakai pakaian etnik asli tempatan dengan harga yang ditetapkan untuk bergambar.






Suasana bandar tepi sungai ini sungguh aman dan damai. Pelawat juga berpeluang menyusuri sungai Tuojiang ini menaiki sampan dengan bayaran ticket 80 Yuan seorang. Kami juga bercadang menaiki sampan ini, memandangkan sekarang sekitar jam 14:30 petang, kami sepakat akan menaiki sampan ini di waktu malam nanti. Kami kemudian kembali ke rumah sewa untuk berehat dan makan.




Jam 20:00 malam kami keluar semula ke Bandar Fenghuang yang terletak sekitar 300 meter dari rumah sewa kami. Suasana malam di tepi sungai ini sungguh meriah dengan lampu berbagai warna yang bergemerlapan, berbeza keadaannya di waktu siang yang aman dan damai. Jika anda seorang yang pentingkan ketenangan waktu malam, menginap di hotel sekitar tebing sungai Tuojiang sangatlah tidak dicadangkan.




Memasuki dan melawat Bandar Fenghuang ini tidak dikenakan sebarang bayaran namun perkhimatan lain dikenakan bayaran seperti sampan dan sebagainya. Pada waktu malam, selain kedai-kedai di sini rancak berniaga, terdapat banyak pusat-pusat hiburan yang beroperasi sesuai dengan waktunya di sepanjang kiri dan kanan sungai.



Kami membeli ticket untuk menyusuri Sungai Tuojiang dengan harga 80 Yuan seorang sehala. Menaiki sampan yang digantung dan dihiasi dengan lampu tanglung menampakkan klasiknya kenderaan kami malam itu. Kami menyusuri Sungai Tuojiang sekitar 20 minit sehingga ke jety di bahagian hilir dan kemudian kami berjalan kaki pulang semula ke jety pertama untuk pulang ke rumah sewa. Sepanjang perjalanan pulang, kami menyusuri lorong-lorong di sisi sungai yang dipenuhi pelancong, nampaknya sepanjang Sungai Tuojiang di Fenghuang ini meriah dengan pelancong pada waktu malam.





Fenghuang merupakan bandar mesti lawat jika anda ke Wilayah Hunan. Bandar ini membuktikan ciri Cina klasic yang masih berjaya dikekalkan. Kedudukkan bandar yang didirikan di tebing Sungai Tuojiang ini menampakkannya seperti berada di Set pengambaran filem kungfu dengan binaan bangunan kayu yang berseni. Fenghuang kelihatan lebih cantik dilihat di depan mata berbanding di dalam gambar. Kemudahan pengangkutan untuk ke sini dari bandar lain juga mudah dan berbagai.




Hari ketujuh kami berangkat pulang ke Bandar Changsha. Perjalanan menaiki bas dari Fenghuang ke Changsha mengambil masa sekitar enam hingga tujuh jam. Kami sekali lagi sepakat menggunakan khidmat van sewa dan meminta tuan rumah mencari sebuah van sewa untuk memudahkan perjalanan kami. Kami memulakan perjalanan ke Bandar Changsha sekitar jam 09:30 pagi dan sampai di sana sekitar jam 16:00 petang setelah terperangkap sejam lebih dalam kesesakkan lalu lintas semasa memasuki Bandar Changsha. Malam itu kami bermalam di Bandar Changsha. Terima kasih Allah.

Hari 6
08:30 Berangkat ke Fenghuang Ancient Town, van 100 Yuan seorang.
11:00 Sampai Bandar Fenghuang, check in Apartment.
11:30 Bersiar di Bandar Fenghuang, shopping.
14:00 Kembali ke Apartmen, berehat.
20:00 Bersiar di Fenghuang, menyusuri Sungai Tuojiang.
Hari 7
09:30 Berangkat ke Bandar Changsha, van 200 Yuan seorang
16:00 Sampai Bandar Changsha.


Tiada ulasan: