Bercuti di Taman Negara Zhangjiajie ini kami rancang dua bulan sebelum tarikh berangkat. Bilangan kami empat orang bertambah menjadi enam orang setelah dua orang teman ingin turut serta. Kami berenam berangkat ke Changsha menaiki penerbangan yang berbeza masa dan berkumpul di Changsha Mellow Orange Hotel di malam pertama kami di Wilayah Hunan ini. Hari kedua kami memulakan perjalanan ke Bandar Zhangjiajie dengan menaiki bas pada jam 11:00 pagi dan sampai di sana pada jam 16:00 petang. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Bandar Wulingyuan dengan menaiki bas tempatan dan sampai di sana pada jam 17:30 petang. Kami menyewa sebuah apartmen dan kerana petang itu hujan renyai, kami cuma berehat setelah check in.
Hari ketiga kami memulakan lawatan di Taman Negara Zhangjiajie. Tempat pertama lawatan kami adalah Glass Bridge dan Zhangjiajie Grand Canyon. Kami membeli pakage ticket Glass Bridge dan Zhangjiajie Grand Canyon ini di App Klook dengan harga Rm 126, murah Rm30 dari harga di counter tiket. Pakage Glass Bridge kami bermula jam 10:00 pagi hingga 13:00 petang. Dalam perjalanan kami ke bas station untuk ke pintu masuk taman negara, sebuah van sewa berhenti menawarkan khidmat. Disebabkan kami agak terlewat, kami bersetuju menyewa van tersebut dan meminta dia menghantar terus ke pintu masuk Glass Bridge.
Glass Bridge ini dibuka kepada pelawat pada bulan August 2016 menghubungkan dua tebing setinggi 300 meter dan sejauh 430 meter. Kami berjalan dari tebing permulaan masuk hingga ke tebing hujung sebelah sana. Cuaca pada hari itu sangat baik dan kami dapat melihat dengan jelas pemandangan di bawah, gaung, tebing tinggi dan air terjun. Setelah sampai di hujung jambatan di sebelah sana, kami meneruskan perjalanan turun melalui tangga ke bawah untuk menjelajah Zhangjiajie Grand Canyon. Terdapat jambatan kaca di tebing dalam perjalanan turun ke bawah dan beberapa spot untuk melihat pemandangan dibina di tebing.
Menuruni trek bertangga ke bawah menimbulkan rasa gayat kerana binaan tangga yang agak menegak. Terdapat dua peringkat lift yang dibina di tebing tinggi ini untuk turun ke bawah sebagai pilihan kedua selain tangga, setiap lift dikenakan bayaran tambahan 30 Yuan. Kami menaiki salah satu lift dan meneruskan perjalanan turun melalui trek bertangga sehingga kami sampai di stesen slide. Saya dan tiga teman memilih untuk mencuba slide manakala dua yang lain memilih trek bertangga landai.
Kemudian kami meneruskan perjalanan di Zhangjiajie Grand Canyon dengan trekking di pelantar kayu yang dibina di sisi tebing selari dengan sungai yang jernih. Jika anda minat trekking, jangan lepaskan pakage di Zhangjiajie Grand Canyon yang mempunyai trek yang baik dan pemandangan yang memukau mata. Pilihan pakaian juga haruslah sesuai kerana trek di Grand Canyon ini jauh.
Berbagai fasa dilalui semasa trekking di sepanjang Zhangjiajie Grand Canyon ini, bermula dari berakhirnya Glass Bridge, melintasi Glass Bridge yang dibina di sisi tebing, menuruni tangga yang dibina agak menegak, menggunakan dua peringkat lift dengan harga tambahan, slide, menyusuri dan menyeberangi sungai jernih melalui pelantar kayu yang dijaga baik, melintasi air terjun, tasik, flying fox, gua, terowong dan berakhir dengan menaiki bot menyusuri sungai hingga ke pintu keluar Zhangjiajie Grand Canyon.
Kami kembali ke apartmen pada jam 16:00 petang untuk berehat dan keluar semula ke Bandar Wulingyuan pada jam 17:00 petang. Tujuan kami untuk bersiar di Xibu Street. Petang itu kami menyaksikan persembahan tradisional penduduk tempatan di luar bangunan di Bandar Wulingyuan. Persembahan percuma sebagai promosi kepada pelawat agar membeli tiket di dalam dewan itu berlangsung sekitar 30 minit.
Xibu Street di Wulingyuan merupakan kawasan pelancongan, bangunan di sini akan kelihatan meriah dengan cahaya lampu di waktu malam. Di sini pelancong boleh membeli cenderahati dan makanan product tempatan. Kami juga makan malam di salah sebuah restauran muslim di bandar ini.
Hari keempat kami keluar seawal 08:00 pagi untuk ke Tianmen Mountain. Van sewa kemarin telah sedia menunggu setelah kata sepakat dipersetujui untuk digunakan pada hari ini. Ticket masuk ke Tianmen Mountain ini adalah 235 Yuan sorang, kami membelinya di counter dan dapat giliran cable car pada jam 09:00 pagi. Ada tiga jenis ticket yang dijual di pintu masuk Tianmen Mountain dengan harga berbeza.
1- Pergi naik cable car dan turun dengan bas.
2- Pergi naik bas dan turun dengan cable car.
3- Pergi naik bas dan pulang juga naik bas.
Kami membeli ticket pergi naik cable car dan turun dengan bas kerana cable car akan terus ke puncak Gunung Tianmen manakala bas pula sekadar menghantar hingga di kaki tangga Gunung Tianmen. Rancangan kami, menaiki cable car terus ke puncak gunung, kemudian trekking ke lubang Gunung Tianmenn, seterusnya turun melalui tangga dan terus ke bawah menaiki bas.
Cableway di Tianmen Mountain ini merupakan cableway terpanjang di dunia manakala jalanraya yang berbelok-belok di bawah yang akan dilalui bila menaiki bas masa pulang nanti merupakan antara jalan raya terbahaya di dunia. Tiba di puncak Gunung Tianmen terdapat banyak pilihan laluan yang boleh dipilih oleh pelawat. Kami memilih trek ke kiri, menyusuri trek dan jambatan kaca yang dibina di tepi tebing tinggi sehingga ke Transmountain Escalator yang panjang.
Kemudian kami ke lubang besar di Gunung Tianmen. Ruang besar yang terbentuk di tengah gunung ini sungguh luar biasa kejadiannya. Kami menuruni tangga yang dibina di hadapan ruang besar di Gunung Tianmen hingga di perhentian bawah, tempat bas menurun dan mengambil penumpang untuk pulang ke stesen cable car.
Setibanya kami di bawah, kami terus beratur untuk menaiki shuttle bas ke Cable Car Station dan di sana pemandu van telah sedia menunggu. Kami kemudian meminta pemandu van menghantar kami ke pintu taman negara Bailong Elevator. Ticket masuk untuk package selama empat hari ini adalah 228 Yuan merangkumi empat tempat lawatan. Petang itu kami cuma sempat ke Bailong Elevator dan ticket menaiki Lift Bailong Elevator adalah 65 Yuan sehala. Tempat ini menjadi popular setelah menjadi lokasi pengambaran filem barat Avatar.
Keesokkan paginya kami bercadang untuk ke Yellow Stone Village sebelum berangkat ke Furong. Disebabkan hujan renyai, kami membatalkan niat ke sana dan meneruskan perjalanan ke Bandar Furong Ancient Village dengan menyewa sebuah van. Cara lain ke Bandar Furong adalah dengan menaiki bas dari Bandar Zhangjiajie. Kami berangkat sekitar jam 09:00 pagi dan di pertengahan jalan kami singgah di kebun kiwi yang sedang dituai hasilnya.
Kami sampai Di Furong Town atau Furong Village pada jam 11:00 pagi. Nama asal bandar ini adalah Wangcun Village kini lebih dikenali sebagai Furong Town setelah filem Furong Town yang pengambarannya dilakukan di sini menjadi box office. Petang itu kami bersiar di Furong Town. Keistimewaan Furong Town adalah air terjun dua tingkat yang terletak di pusat bandar ini. Ticket masuk ke air terjun di sini berharga 120 Yuan dan masa lawatan bermula dari 08:00 pagi hingga 18:00 petang. Manakala lawatan waktu malam pula percuma.
Hari keenam, kami berangkat ke Bandar Fenghuang sekitar jam 08:30 pagi dengan menaiki van sewa yang diatur oleh tuan rumah. Cara kedua untuk ke Fenghuang adalah dengan menaiki bas dari Furong Town ke Bandar Jishou dan kemudian meneruskan perjalanan samada menaiki bas atau keretapi dari Bandar Jishou ke Bandar Fenghuang. Kami sampai di Bandar kuno ini sekitar jam 11:00 pagi. Setelah meletakkan beg dan barang-barang kami di rumah yang disewa untuk bermalam, kami keluar bersiar di bandar tua itu sementara rumah sewa siap dibersihkan.
Bandar Fenghuang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Fenghuang moden yang sedang dibangunkan dan Bandar Fenghuang kuno yang terbina di tebing Sungai Tuojiang sejak 1300 tahun dahulu. Bandar Fenghuang kuno ini yang mengamit kami untuk datang ke sini. Bandar tua ini dijaga dengan baik, setiap jalan dan lorong di sini diturap dengan batu bata. Terdapat deretan kedai menjual makanan, pakaian dan berbagai barangan diniagakan untuk menarik pelancong. Penjual buah-buahan yang memikul buah berlegar di serata bandar ini, begitu juga penjual bunga. Beberapa kincir air yang masih berfungsi dan binaan bangunan dari kayu yang dibina di kiri dan kanan Sungai Tuojiang mengambarkan kemajuan dan kebijaksaan para jurutera masa dahulu. Saya terkasima melihat bandar kuno ini secara berdepan. Bandar ini berjaya dikekalkan dengan ciri-ciri masa lampau dan tradisi etnik masih dijaga. Bandar ini lebih cantik di depan mata berbanding di dalam gambar.
Kami bersiar di bandar tua ini sehingga jam 14:00 petang dan bersepakat meneruskan lawatan ke bandar ini malam nanti. Kami bercadang menyusuri Sungai Tuojiang pada waktu malam. Kami pulang ke apartmen untuk berehat dan makan. Malam itu jam 20:00 malam kami keluar semula ke Bandar Fenghuang yang berjarak sekitar 300 meter dari tempat tinggal kami. Bandar Fenghuang yang damai dan tenang di waktu siang kini berubah wajah 360 darjah pada waktu malam. Bangunan kayu di kiri dan kanan Sungai Tuojiang bergemerlapan dengan cahaya lampu berwarna warni. Suara hiruk pikuk dari pusat hiburan di sepanjang Sungai Tuojiang menghangatkan lagi suasana yang sedia meriah pada waktu malam.
Kami menyusuri Sungai Tuojiang malam itu dengan manaiki sampan. Harga ticket 80 Yuan sehala sorang. Sampan yang dihiasi lampu tanglung itu menghilir di Sungai Tuojiang sekitar 20 minit dan kami turun di jety hilir. Kami berjalan kaki pulang ke hulu dengan menyusuri lorong- lorong kedai yang menjual berbagai barangan di sepanjang Sungai Tuojiang.
Bandar Fenghuang kuno sangat menarik bagi saya. Melawat ke sini seolah kami mengimbau suasana Negara China masa lampau. Hari ketujuh kami berangkat pulang ke Bandar Changsha pada jam 09:30 pagi. Menaiki bas dari Bandar Fenghuang ke Changsha mengambil masa sekitar tujuh jam dan kami sekali lagi menyewa sebuah van untuk memudahkan perjalanan. Kami sampai di Changsha sekitar jam 16:00 petang setelah terperangkap lebih sejam dalam kesesakkan jalan raya ketika memasuki Bandar Changsha. Petang itu, setelah berehat kami keluar bersiar ke Bandar Changsha. Kami singgah sebentar di bangunan IFS yang dikatakan bangunan tertinggi di Changsha buat masa ini, kemudian berjalan di lorong-lorong yang sebok di waktu malam dengan pelancong di bandar Changsha . Sebelum pulang ke hotel, kami singgah makan di sebuah Muslim Restaurant di Bandar Changsha ini.
Hari kelapan kami keluar agak lewat, tujuan hari ini cuma meluangkan masa kerana jadual penerbangan pulang ke Malaysia kami lewat malam. Saya berharap akan datang lagi ke Negara China yang luas ini untuk menyaksikan pemandangan indah dan ajaib ciptaan yang Maha Pencipta. Terima kasih Allah.
Itinerary
Hari 1
Kuala Lumpur ke Changsha.
Airport ke Bandar Changsha, shuttle bas 18 Yuan.
Hari 2
11:00 Bas Changsha ke Zhangjiajie, 120 Yuan.
16:00 Sampai ke Bandar Zhangjiajie.
17:00 Bas Zhangjiajie ke Wulingyuan, 13 Yuan.
17:30 Sampai Wulingyuan, check in apartmen, berehat dan bermalam.
Hari 3
08:45 Zhangjiajie Grand Canyon dan Glass Bridge, Rm126 beli di internet-App Klook.
16:00 Kembali ke apartmen.
17:00 Bersiar ke Xibu Street Wulingyuan.
Hari 4
08:00 Tiamen Mountain ticket 235 Yuan.
15:00 Bailong Elevator ticket 228 Yuan- pas empat hari lawatan, lift 65 Yuan sehala.
Hari 5
09:00 Berangkat ke Furong Village- van 100 Yuan seorang.
11:00 Sampai Furong, checkin apartmen, masak dan lunch.
15:00 Jalan-jalan di Furong Village- (ticket Furong Village 120 Yuan, 08:00am-18:00pm).
20:00 Melawat Furong Accient Village, malam ticket percuma.
Hari 6
08:30 Berangkat ke Fenghuang Ancient Town,van 100 Yuan seorang.
11:00 Sampai Fenghuang, checkin apartmen.
11:30 Bersiar di Fenghuang, shopping.
14:00 Kembali ke apartmen, berehat dan makan.
20:00 Bersiar di Fenghuang, sampan 80 Yuan seorang.
Hari 7
09:30 Berangkat ke Changsha, van 200 Yuan seorang.
16:00 Sampai Changsha.
18:00 Bersiar di Bandar Changsha.
Hari 8
10:00 Bersiar di Bandar Changsha.
19:00 Bergerak ke airport, shuttle bas 18 Yuan.
23:55 Changsha ke Kuala Lumpur.
2 ulasan:
Terbaik lah cite mak kecik.. dh boleh buat novel dh ni.. panjang beno.. anyway congrats best kan melawat China.. amy pegi dl Great Wall Beijing pon syok sgt..
makaseh amy...rajin baca.
Catat Ulasan