Khamis, 20 Jun 2024

Mendaki Gunung Angsi Negeri Sembilan



Bercadang mendaki Gunung Angsi dan Gunung Datuk, saya bersama dua teman ke Seremban pada awal June 2024. Kami bermalam di hotel area Bandar Seremban dan keesokkan paginya, kami memandu ke Bukit Putus di kaki Gunung Angsi. Dalam perjalanan ke sana kami singgah membeli sedikit jajan dan air mineral. Kami sampai di Bukit Putus sekitar jam 08:50. 




Terdapat pondok berteduh dan kaunter bayaran untuk permit pendakian, tandas, dan surau di sini.  Parking percuma. Setelah membayar permit seorang RM5.00 dan bersedia, kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Angsi sekitar jam 09:00 pagi. Memulakan pendakian dengan memanjat tangga yang dibina di permulaan jalur sedikit memenatkan. Kami mendaki secara santai, trek redup, jelas, terjaga dan menegak. Di beberapa bahagian jalur dibina tangga dan sebahagian trek terdapat tali yang diikat di sisi jalur untuk pendaki berpaut. Kami berehat beberapa kali sehingga sampai di pondok yang dibina di tengah perjalanan.






Kami berehat agak lama di pondok pertengahan trek ini. Kemudian kami meneruskan pendakian dan jalur agak mendatar sehingga kami hampir sampai di puncak, trek kembali menegak. Kami sampai di puncak Gunung Angsi, 825 mdpl sekitar jam 11.45 pagi, setelah hampir tiga jam mendaki.




Kami berehat sambil merakam gambar kenangan. Terdapat pondok berehat, beirut, binaan penanda puncak Gunung Angsi, bendera Negeri Sembilan dan bendara Malaysia di puncak yang luas ini. Kerana kami mendaki di hari bekerja, tambahan pula agak lewat, cuma kami bertiga sahaja di puncak Gunung Angsi waktu itu. Cuaca cerah dan kami dapat melihat pemandangan bawah dari sini.




Setelah puas merakam gambar, kami bergerak turun pada jam 12:15 tengahari melalui jalur kami mendaki tadi dan sampai di tapak parkir sekitar jam 14:15 petang. Terima kasih Allah.

Tiada ulasan: