Isnin, 30 Disember 2024

Sagano Romantic Train dan Hozugawa Bot di Kameoka Jepun



Hari kelapan percutian kami di Jepun, jadual kami ke Kameoka dengan menaiki Sagano Romantic Train dan pulang menyusuri Sungai Hozugawa dengan bot. Pagi itu kami ke Stesen Keretapi Kyoto dan menaiki keretapi ke Stesen Saga-Arashiyama. Kemudian kami ke Saga Taroko Stasen yang terletak bersebelahan Stasen Saga-Arashiyama. Kami menempah ticket Sagano Romantic Train pada jam 09:00 pagi.


Sagano Romantic Train merupakan keretapi gaya lama abad ke 19 yang melakukan perjalanan antara Stasen Saga-Arashiyama ke Kameoka. Ia beroperasi dari awal March hingga akhir Disember setiap tahun. Kebiasaannya keretapi ini tidak beroperasi pada hari rabu kecuali di musim puncak percutian seperti musim panas dan musim bunga atau cuti umum, barulah ia beroperasi pada hari rabu.



Sagano Romantic Train mempunyai lima gerabak dan coach kelima adalah coach terbuka. Perjalanan dari Saga Taroko Stasen ke Kameoka Taroko Stasen mengambil masa 25 minit. Sepanjang perjalanan menaiki keretapi ini bergerak selari dengan Sungai Hozugawa. Pemandangan sungai jernih mudik ke hulu Sungai Hozugawa pasti memukau penumpang dengan warna empat musim. Sampai di Kameoka Taroko Stasen, kami berjalan kaki ke stasen JR Umahori dan singgah sarapan di gerai tepi sawah. Dari Stasen Umahori kami menaiki keretapi ke Kameoka Stasen.




Kami bersiar di Kameoka sebentar sambil berjalan kaki ke Jeti Sungai Hozugawa untuk menaiki bot pulang ke Arashiyama. Jika malas berjalan, terdapat perkhidmatan bas dari Kameoka Taroko Stasen ke Jeti Sungai Hozugawa.



Hozugawa Boat Ride ini beroperasi sepanjang tahun dan pada bulan November dan Disember, aktivity ini sangat popular di kalangan pelancong ketika daun bertukar warna kuning kemerahan. Pada musim dingin, bot ini akan dilindungi dengan plastic jernih, namun operasi bergantung pada perubahan cuaca.



Perjalanan menaiki bot ke hilir Sungai hozugawa ini mengambil masa sekitar dua jam. Bot dikendali oleh tiga pemandu. Seorang ketua yang mengawal hala tuju bot sambil memberi arahan dan bercerita manakala dua orang sebagai pendayung dan mereka bertindak secara bergilir sepanjang perjalanan sejauh 16 kilometer.




Dalam perjalanan menyusuri arus sungai, ketua bot menunjukkan kepada kami beberapa jenis binatang yang terdapat di tebing sungai seperti beberapa spesis burung, kura-kura, monyet dan itik. Sekali sekala bot akan menempuhi jurang-jurang kecil namun agak mendebarkan dan menarik bila kami menjerit beramai-ramai untuk memeriahkan keadaan.




Dalam perjalanan, ketua bot akan bercerita dan sekali sekala bertanya dari negara mana kami datang. Apabila tiba giliran kami, saya menjawab Penang Malaysia dan kebetulan penumpang di sebelah kami juga datang dari Penang Malaysia. Kami berempat sempat merakam gambar kenangan.


Perjalanan menaiki bot ini selalunya bergantung pada aras air sungai. Jika aras air sungai tinggi masa perjalanan lebih cepat sampai berbanding ketika aras air sungai cetek. Sekitar 90 minit perjalanan kami sampai dan berhenti sebentar di tempat peniaga bot. Mereka menjual makanan dari dalam bot di Sungai Hozugawa ini dan penumpang boleh membeli dan makan ketika menghabiskan sisa perjalanan ke Arashiyama. 



Sampai di Arashiyama kami bersiar di pekan yang sebuk dengan pelancong ini. Merakam gambar dan menjamu mata di kedai-kedai cenderamata.




Kami kemudian makan di Restaurant Yosiya Arashiyama dan menumpang solat di surau comel di restaurant tersebut. Lewat petang itu kami kembali pulang ka bandar Kyoto dengan menaiki keretapi seperti kami datang tadi.


Untuk menaiki Sagano Romantic Train ke Kameoka dan menyusuri Sungai Hozugawa dengan bot ke arashiyama, sebaiknya pembaca menempah dahulu tiket dari klook untuk memastikan tempat terutama di musim puncak percutian. 

Ahad, 22 Disember 2024

Melawat ke Sand Dunes di Tottori Jepun



Saya selalu membayangkan padang pasir hanya terdapat di timur tengah dan benua afrika. Tak sangka di Jepun pun ada bukit pasir ala padang pasir. Saya dan seorang teman singgah di Tottori dalam perjalanan percutian kami di Jepun. Kami sampai di Tottori dari Kochi sekitar jam 15:00 petang. Kami menginap di Tottori Washington Hotel sekitar 200 meter dari stesen keretapi.


Petang itu kami bercadang ke Sand Dunes Tottori untuk menyaksikan matahari terbenam di sana, tetapi memandangkan keletihan kami menunda jadual perjalanan keesokkan paginya. Petang itu kami bersiar dan menjamu mata di kedai-kedai sekitar stesen keretapi. Keesokkan paginya kami menaiki bas ke Tottori Sand Dunes. Perjalanan ke sana mengambil masa sekitar 20 minit dengan tambang 370 Yen seorang.


Bas menuju ke Sand Dunes ini berhenti di beberapa stesen seperti perhentian Camel Ride, Muzium dan beberapa spot di Bukit Pasir ini dan kami terus ke perhentian terakhir iaitu Tottori Sand Dunes ataupun Sakyu Kaikan. Kemudian kami terus ke tangga papan laluan ke bukit pasir tepi laut ini. Masuk ke sini percuma dan bukit pasir ini dibuka 24 jam.


Sand Dunes Tottori ini merupakan bukit pasir terbesar di Jepun. Bukit pasir ini terbentuk bila pasir yang mengalir dari Sungai Sandaigawa yang masuk ke laut ditolak oleh ombak dan angin lalu membentuk bukit pasir setinggi 47 meter sepanjang pantai.



Kami berada agak lama di gumuk pasir yang menarik ini. Merakam gambar bersama pelancong tempatan yang juga melawat tempat istimewa ini. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti menunggang unta dan kuda, paragliding dan papan longsor pasir.





Puas merakam gambar di bukit pasir tepi laut ini, kami kembali ke pintu masuk dan terus berjalan kaki ke perhentian muzium pasir. Masuk ke muzium pasir ini dikenakan bayaran. 





Pameran di muzium ini bertukar tema setiap tahun. Semasa kami ke sana pada tahun 2024, temanya adalah perancis. Binaan pasir yang dipamerkan adalah hasil lakaran dan ciptaan pengukir pasir dari serata dunia.





Selesai melawat Muzium Pasir Tottori, kami kembali ke hotel. Kami mengambil beg yang ditinggalkan setelah daftar keluar dan ke stesen keretapi. Kami menumpang solat di Information Centre di stesen keretapi. Terima kasih kepada pegawai di information centre yang membenarkan kami menumpang solat di ruang pejabatnya. Kemudian kami berangkat ke Kyoto untuk meneruskan percutian. Terima kasih Allah 

Ahad, 15 Disember 2024

Bercuti ke Pulau Shikoku Jepun


Saya dan seorang teman singgah bercuti di Pulau Shikoku ini selama lima hari dalam percutian selama 14 hari kami di Jepun pada pertengahan November 2024. Hari pertama kami sampai di bandar Kochi dari Kobe agak lewat petang. Kami menginap di Liberty Hotel selama empat malam. Hari kedua kami keluar awal pagi menuju ke Nakatsu Gorge, inilah tujuan utama saya ke Pulau Shikoku. Kami menaiki keretapi JR Dosan Line dari Kochi ke Sakawa Stesen. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Nakatsu Gorge dengan menaiki teksi disebabkan kami ketinggalan bas dan pengangkutan awam amat terhad ke Kawado. 




Kami trekking di Nakatsu Gorge ini. Trek sepanjang 2.3 kilometer yang dibina sepanjang Sungai Nakatsu sekali sekala menyeberangi sungai yang jernih kehijauan dan dingin ini. Melengkapkan trekking di sini sekitar dua jam termasuk ke Air Terjun Uryu No Taki yang merupakan simbol Nakatsu Gorge.






Sepanjang trek juga terdapat tujuh patung yang ditempatkan di kawasan yang agak tersorok antara nampak dan tidak. Selain itu terdapat juga Observation Deck, Ryugibuchi dan Stone Pillar di trek di jalur Gaung Nakatsu ini.



Selesai trekking di Nakatsu Gorge kami pulang semula ke bandar Kochi. Malam itu kami keluar bersiar membeli sedikit keperluan dan makanan. Kami juga mengunjungi Hirome Market yang merupakan salah satu tempat lawatan yang disyorkan di Kochi. 




Hari ketiga kami di Pulau Shikoku, kami mendaki Gunung Tsurugi. Kami bertolak dari Kochi menaiki keretapi seawal jam 08:00 pagi menuju ke Oboke Stesen. Dari Oboke Stesen kami menaiki bas ke Kubo. Dari Kubo kami meneruskan perjalanan menaiki bas ke Minokoshi di mana trek ke Gunung Tsurugi bermula. 



Ada dua cara untuk ke puncak Gunung Tsurugi dari Minokoshi, samada mendaki dari Minokoshi ke puncak atau menaiki chairlift dari Minokoshi hingga pertengahan jalur di ketinggian 1750 mdpl dan sisa perjalanan ke puncak diteruskan dengan mendaki. Kami memilih cara kedua kerana kesuntukan masa.





Gunung Tsurugi merupakan gunung kedua tinggi di pulau shikoku. Cabaran ke gunung yang mempunyai jalur dan pemandangan yang cantik ini adalah menyusun jadual perjalanan sekiranya kita menggunakan pengangkutan awam yang agak terbatas. Kami menaiki keretapi dari Kochi ke Oboke. Menaiki bas dari Oboke ke Kubo dan meneruskan perjalanan dari Kubo ke Minokoshi juga dengan menaiki bas. Bas beroperasi dari Oboke ke Kubo empat kali sehari manakala dari Kubo ke Minokoshi dua kali sehari. Ada hari-hari tertentu bas tidak beroperasi ke Minokoshi.



Kami mendaki secara santai sekitar sejam dari stesen atas chairlift ke puncak Gunung Tsurugi. Jalur jelas, bersih, terjaga, ditanda dengan papan tanda dan mendaki ke gunung ini percuma kecuali tambang chairlift. Pemandangan di puncak sangat mengujakan dan memuaskan hati kami. Gunung Tsurugi tersenarai dalam 100 puncak gunung terkenal Jepun.




Kami turun semula ke kaki gunung di Minokoshi melalui cara kami datang tadi dan kami menunaikan solat di tapak parkir kerana tiada surau di Minokoshi. Kemudian kami mengambil bas pulang dari Minokoshi pada jam 14:45 petang dan meneruskan perjalanan ke Kochi seperti kami ke mari tadi. Keesokkan paginya hari keempat kami bersiar di sekitar Bandar Kochi. Awal pagi kami ke Sunday Market. Market sepanjang lebih satu kilometer ini berniaga setiap hari Ahad dan berbagai barangan diniagakan seperti hasil tanaman hasil tanaman, pakaian dan berbagai barangan tempatan.










Setelah menjamu mata di Sunday Market, kami ke Kochi Castle yang terletak di hujung Sunday Market. Mengambil beberapa keping gambar di hadapan Kochi Castle kami kemudian ke Information Centre untuk bertanya cara ke Lake Hakuryu. 


Tasik Hakuryu terletak dalam kawasan persendirian dan agak jauh dari Bandar Kochi. Walaupun pemiliknya membenarkan pengunjung datang melawat tasik yang cantik ini, tiada kenderaan awam yang beroperasi ke sana. Saya terpaksa membatalkan beberapa tempat yang tidak boleh dijangkau dengan kenderaan awam pada hari itu seperti Tasik Hakuryu dan Shikoku Karst. Kami kemudian mengambil tiket sehari lawatan My-Yu Bas untuk ke Katsura Beach. My-Yu Bas adalah bas persiaran yang singgah di beberapa tempat menarik di Kochi dengan tiket sehari perjalanan. Kami cuma singgah di beberapa tempat sahaja antaranya Godaisan Park. Dari pelantar yang dibina sedikit tinggi ini kami merakam gambar sebahagian Pulau Shikoku.


Kemudian kami singgah di Makino Botanikal Garden. Terdapat kebun bunga di sini. Tiket juga dikenakan untuk masuk ke dalam kawasan kebun yang tertutup.


Beberapa stesen seterusnya kelihatan tidak menarik perhatian kami. Kami terus ke stesen terakhir iaitu Katsurahama Beach yang merupakan antara tempat tarikan pelancong di Kochi. Di pantai ini terdapat tandas, rumah api, kedai cenderahati, restaurant dan berbagai lagi kecuali surau. Tempat parkir yang luas menunjukkan pantai ini sering menerima lambakan pelancong.




Kami berehat di Pantai Katsurahama ini dan menumpang solat di bilik stor Information Centre. Terima kasih kepada petugas Information Centre yang memahami kewajiban kami dan berusaha memenuhi keperluan kami.




Kemudian kami pulang semula ke bandar kochi. Malam itu kami bersiar lagi bazaar dan deretan kedai tertutup Bandar Kochi. Sebelum beradu kami berkemas untuk berangkat ke Bandar Tottori esok hari. 


Saya mungkin akan datang lagi ke Pulau Shikoku di masa akan datang jika ada rezeki. Banyak tempat menarik dan trek gunung di Pulau Shikoku yang ingin saya jejak. Masa itu jika ada rezeki mungkin akan menaiki kereta sewa pandu sendiri. Semoga ada rezeki nak datang lagi. Terima kasih Allah.