Hari ketiga percutian saya dan seorang teman di Jepun, kami berdua merancang trekking di Nakatsu Gorge. Inilah tujuan utama saya ke Pulau Shikuko. Dari pembacaan saya, perjalanan ke Jurang Nakatsu ini dari bandar Kochi agak jauh dari jalur keretapi. Kami perlu menaiki keretapi dari JR Kochi Station ke JR Sakawa Station sekitar 1 jam, kemudian meneruskan perjalanan dari Sakawa menaiki bas Kuroiwa Sightseeing ke Kawado dan berhenti di Nanokawa di pertengahan jalan.
Kami memulakan trekking di Jurang Nakatsu ini sekitar jam 09:20 pagi. Trek di Jurang Nakatsu ini sepanjang sekitar 2.3 kilometer dan boleh diselesaikan sekitar kurang dua jam secara santai.
Seperti biasa, trek di Jepun dijaga rapi dan bersih. Pengunjung tidak dibenarkan mandi dan berenang di Sungai Nakatsu yang jernih dan sejuk ini. Kami trekking secara santai sambil merakam gambar di setiap perhentian. Sepanjang trek di Jurang Nakatsu ini terdapat tujuh patung yang diletakkan di tempat-tempat tertentu antara nampak dan sedikit tersorok.
Trek di Jurang Nakatsu dibina sepanjang 2.3 kilometer di sisi Sungai Nakatsu. Sekali sekala trek dibina akan menyeberangi sungai melalui pelantar bersimen bersaiz kecil namun masih selesa dan selamat dilalui.
Terdapat beberapa jurang yang menarik di sekitar sungai di Pulau Shikoku ini selain Nakatsu seperti Yasui Gorge. Kami tidak dapat membuat semua trekking kerana masalah perjalanan yang agak jauh dan perkhidmatan pengangkutan awam yang terhad dan terbatas. Sebaiknya jika bercuti ke Pulau Shikoku gunalah kereta sewa pandu sendiri untuk memudahkan perjalanan dan pergerakan.
Setelah berhenti di banyak spot yang menarik untuk merakam gambar, kami sampai di dua persimpangan. Kami terus berjalan ke arah kanan jalur menuju ke Air Terjun Uryu No Taki. Air terjun setinggi 20 meter ini merupakan simbol Nakatsu Gorge. Kebiasannya, pengunjung mengakhiri trekking di Air Terjun Uryu No Taki ini dan berpatah balik ke pintu masuk melalui jalur yang sama.
Kemudian kami berpatah balik ke simpang dan meneruskan berjalan ke sebelah kiri menuju ke Stone Pillar. Sekitar 10 minit trekking kami sampai di pelantar kayu Stone Pillar. Kami tidak turun ke bawah dan cuma merakam gambar air mengalir di jurang berdinding batu yang tinggi dari jambatan kayu yang merintangi sungai. Kami juga tidak nampak trek ke bawah.
Kemudian kami kembali ke pintu masuk Nakatsu Gorge berjalan kaki melalui jalan raya di atas Stone Pillar. Sampai di kedai kawasan pintu masuk, kami bertanya kepada peniaga tersebut untuk menaiki bas pulang ke Sakawa Station. Menurutnya kami perlu berjalan ke hentian bas di jalan besar di bawah.
Kami menunggu bas agak lama sekitar sejam dan nasib kami baik apabila ada sebuah teksi menghantar penumpang ke Nakatsu Gorge. Kami kemudian menaiki teksi tersebut untuk ke Sakawa Station dan meneruskan perjalanan pulang ke bandar Kochi menaik keretapi. Terima kasih Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan