Pagi itu kami menaiki keretapi menuju ke Oboke seawal jam 08:00 pagi dari Kochi. Kami sampai di Oboke pada jam 08:50 pagi. Kemudian kami menaiki bas dari Oboke ke Kubo pada jam 08:58 dan sampai di Kubo pada jam 10:16 minit. Kemudian kami meneruskan perjalanan menaiki bas dari Kubo ke Minokoshi pada jam 10:20 dan sampai di Minokoshi pada jam 11:10 pagi. Bas dari Oboke ke Kubo sebanyak empat kali sehari manakala dari Kubo ke Minokoshi pula dua kali sehari. Untuk ke Minokoshi dengan pengangkutan awam, kita perlu mendapatkan jadual perjalanan terlebih dahulu kerana pada hari-hari tertentu, bas tidak beroperasi. Di Minokoshi, kami menaiki Chairlift hingga ke pertengahan trek Gunung Tsurugi.
Pengunjung mempunyai pilihan untuk ke puncak Gunung Tsurugi, samada mendaki dari Minokoshi hingga ke puncak atau menaiki Chairlift berbayar hingga pertengahan jalur di ketinggian 1750 mdpl dan melanjutkan baki perjalanan hingga ke puncak dengan mendaki. Kami memilih pilihan kedua memandangkan kami mengejar masa. Menaiki Chairlift sekitar 15 minit hingga ke stesen atas 1750 mdpl, kami kemudian memulakan trekking sekitar jam 11:40 pagi.
Gunung Tsurugi merupakan gunung kedua tinggi di Pulau Shikoku. Jalur menuju puncak memapar pemandangan yang sangat indah pada penglihatan saya. Semasa kami mendaki pada awal November 2024, daun-daun kuning kemerahan sudah mula gugur dari pohon. Kami mendaki secara santai sekitar sejam untuk sampai ke puncak Gunung Tsurugi di ketinggian 1955 mdpl.
Keterujaan saya untuk mendaki ke puncak-puncak lain melonjak setelah sampai di puncak Gunung Tsurugi. Sayup-sayup kelihatan jalur membelah padang rumput menghala ke puncak-puncak lain di Banjaran Shikoku Mountain ini. Namun memandangkan masa yang terhad keinginan itu menimbulkan azam jika ada rezeki untuk datang lagi di masa akan datang.
Tidak berlama-lama berehat di atas kami bergerak turun kerana mengejar jadual bas kedua dari Minokoshi ke Kubo pada jam 14:45 petang. Kami melangkah turun hingga ke stesen Chairlift seperti kami datang tadi. Sampai stesen bawah Chairlift, kami menunaikan solat di kawasan tapak parkir yang agak tersorok memandangkan tidak terdapat surau di kaki gunung ini.
Setelah menaiki bas dari Minokoshi ke Kubo, kami kemudian meneruskan perjalanan menaiki bas dari Kubo ke Oboke seterusnya menaiki keretapi dari Oboke ke Bandar Kochi melalui cara yang sama kami datang tadi. Kerana kesuntukan masa dan masalah kenderaan awam yang terhad, tujuan asal saya ke Iya Valley tidak tertunai antaranya singgah di Iya Onsen, Statue of peeing boy dan jambatan akar Iya Kazurabashi yang terletak di antara Oboke ke Kubo. Manakala dari Kubo ke Minokoshi, kami juga tidak berpeluang singgah di jambatan gantung Oku-Iya dan Nagoro Scarecrow Village, sebuah kampung yang di penuhi patung-patung orang menggantikan penduduk asal yang berkurangan kerana berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Tokyo. Walaupun saya sedikit seram semasa pemandu bas memberitahu kami sampai di Nagoro Scarecrow Village dan beberapa penumpang turun untuk melakukan aktiviti mendaki di kampung bergunung ganang ini. Saya jugak berharap untuk datang trekking di sini jika ada rezeki di masa akan datang. Mungkin masa itu saya akan mendaki Gunung Miune yang bermula di Nagoro Village ini. Kunci perjalanan jika ingin menerokai Pulau Shikoku adalah menyewa kereta pandu sendiri. Harap boleh datang lagi ke Pulau Shikoku. Terima kasih Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan