Saya dan seorang teman singgah bercuti di Pulau Shikoku ini selama lima hari dalam percutian selama 14 hari kami di Jepun pada pertengahan November 2024. Hari pertama kami sampai di bandar Kochi dari Kobe agak lewat petang. Kami menginap di Liberty Hotel selama empat malam. Hari kedua kami keluar awal pagi menuju ke Nakatsu Gorge, inilah tujuan utama saya ke Pulau Shikoku. Kami menaiki keretapi JR Dosan Line dari Kochi ke Sakawa Stesen. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Nakatsu Gorge dengan menaiki teksi disebabkan kami ketinggalan bas dan pengangkutan awam amat terhad ke Kawado.
Hari ketiga kami di Pulau Shikoku, kami mendaki Gunung Tsurugi. Kami bertolak dari Kochi menaiki keretapi seawal jam 08:00 pagi menuju ke Oboke Stesen. Dari Oboke Stesen kami menaiki bas ke Kubo. Dari Kubo kami meneruskan perjalanan menaiki bas ke Minokoshi di mana trek ke Gunung Tsurugi bermula.
Kami mendaki secara santai sekitar sejam dari stesen atas chairlift ke puncak Gunung Tsurugi. Jalur jelas, bersih, terjaga, ditanda dengan papan tanda dan mendaki ke gunung ini percuma kecuali tambang chairlift. Pemandangan di puncak sangat mengujakan dan memuaskan hati kami. Gunung Tsurugi tersenarai dalam 100 puncak gunung terkenal Jepun.
Kami turun semula ke kaki gunung di Minokoshi melalui cara kami datang tadi dan kami menunaikan solat di tapak parkir kerana tiada surau di Minokoshi. Kemudian kami mengambil bas pulang dari Minokoshi pada jam 14:45 petang dan meneruskan perjalanan ke Kochi seperti kami ke mari tadi. Keesokkan paginya hari keempat kami bersiar di sekitar Bandar Kochi. Awal pagi kami ke Sunday Market. Market sepanjang lebih satu kilometer ini berniaga setiap hari Ahad dan berbagai barangan diniagakan seperti hasil tanaman hasil tanaman, pakaian dan berbagai barangan tempatan.
Setelah menjamu mata di Sunday Market, kami ke Kochi Castle yang terletak di hujung Sunday Market. Mengambil beberapa keping gambar di hadapan Kochi Castle kami kemudian ke Information Centre untuk bertanya cara ke Lake Hakuryu.
Tasik Hakuryu terletak dalam kawasan persendirian dan agak jauh dari Bandar Kochi. Walaupun pemiliknya membenarkan pengunjung datang melawat tasik yang cantik ini, tiada kenderaan awam yang beroperasi ke sana. Saya terpaksa membatalkan beberapa tempat yang tidak boleh dijangkau dengan kenderaan awam pada hari itu seperti Tasik Hakuryu dan Shikoku Karst. Kami kemudian mengambil tiket sehari lawatan My-Yu Bas untuk ke Katsura Beach. My-Yu Bas adalah bas persiaran yang singgah di beberapa tempat menarik di Kochi dengan tiket sehari perjalanan. Kami cuma singgah di beberapa tempat sahaja antaranya Godaisan Park. Dari pelantar yang dibina sedikit tinggi ini kami merakam gambar sebahagian Pulau Shikoku.
Kami berehat di Pantai Katsurahama ini dan menumpang solat di bilik stor Information Centre. Terima kasih kepada petugas Information Centre yang memahami kewajiban kami dan berusaha memenuhi keperluan kami.
Kemudian kami pulang semula ke bandar kochi. Malam itu kami bersiar lagi bazaar dan deretan kedai tertutup Bandar Kochi. Sebelum beradu kami berkemas untuk berangkat ke Bandar Tottori esok hari.
Saya mungkin akan datang lagi ke Pulau Shikoku di masa akan datang jika ada rezeki. Banyak tempat menarik dan trek gunung di Pulau Shikoku yang ingin saya jejak. Masa itu jika ada rezeki mungkin akan menaiki kereta sewa pandu sendiri. Semoga ada rezeki nak datang lagi. Terima kasih Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan