Ahad, 29 Jun 2025

Mendaki Bukit Keluang di Besut


Saya dan seorang teman singgah di Besut pada pertengahan June 2025 dalam perjalanan kami ke Johor melalui Pantai Timur. Kami bermalam di Bukit Keluang Beach Resort yang terletak tidak jauh dari Bukit Keluang. Setelah bertanya pada petugas resort cara dan arah mendaki Bukit Keluang, kami bertekad ke sana esok pagi. Keesokkan paginya kami memandu ke pantai Bukit Keluang dan memakir kereta di depan deretan gerai sana.


Ada dua jalur menuju puncak Bukit Keluang. Kami bercadang mendaki dari jalur landai dan turun melalui jalur yang agak pacak di pintu gua tempat kami memakir kereta. Dari tempat parkir kami berjalan ke starting point jalur mendaki Bukit Keluang sekitar satu kilometer.



Di papan tanda Bukit Keluang, tempat permulaan pendakian, terdapat kawasan parkir dan pondok. Beberapa orang pendaki sedang berbual dan kami bertegur sapa dan bertanya arah trek ke puncak Bukit Keluang. Mereka menawarkan diri menunjuk arah kami setelah tahu kami baru pertama kali ke sini. Encik Ramli memberi pilihan pada kami memilih trek dari sini. Menurutnya, sebelah kanan papan tanda agak santai manakala dari belah kiri papan tanda sedikit menegak. Tentu kami memilih dari arah yang landai di sebelah kanan. Kami memulakan pendakian sekitar jam 8:10 pagi. Trek jelas, terjaga dan redup.  


Setelah mendaki sekitar 15 minit kami bertemu dengan jalur yang bermula dari kiri papan tanda di permulaan trek. Jika tanpa Encik Ramli, berkemungkinan kami akan tersasar trek ke puncak kerana saya tidak nampak tanda ke puncak. Jalur ke puncak sedikit atas dan berpatah balik dari arah kami daki. 


Menghampiri puncak terdapat palang besi penghadang pendaki dari jatuh ke jurang laut jika tergelincir. Dari sini, jalur mulai terbuka dan pemandangan mula terlihat jelas dengan hembusan angin laut.


Setelah mendaki sekitar 30 minit sambil bercerita dengan kawan baru yang sama minat, kami sampai di puncak Bukit Keluang yang mempamirkan keindahan laut dari aras sekitar 141 mdpl. Terdapat pondok dan bangku panjang untuk pendaki berehat dan berteduh di puncak bukit ini. 





Teringat kenangan saya menaiki paragliding di Bukit Bubus beberapa tahun lalu. Masa itu saya melihat pendaki dan trek di Bukit Keluang ini dengan jelas. Kami berehat seketika di pondok yang bersih dan selesa ini sambil menghirup udara segar. Kami merakam gambar kenangan sebelum turun melalui jalur bertentangan kami daki tadi.


Turun melalui jalur ini memang agak curam seperti yang saya baca di internet. Terdapat tali diikat di beberapa bahagian di jalur untuk pendaki berpaut. Sampai di tangga batu, saya sedikit lega kerana kami hampir sampai di penamat jalur. 





Sampai di bawah kami berehat seketika dan merakam beberapa keping gambar di Gua Bukit Keluang. Kami kemudian kembali ke resort dan meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu dalam siri percutian kami.




Terima kasih kawan baru. Encik Ramli juga boleh menjadi guide untuk gunung-gunung tertentu di Negeri Terengganu. Contact Encik Ramli 019 6894170.

Tiada ulasan: