Isnin, 7 Julai 2025

Mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing


Saya dan seorang kawan berkhemah di Jiwa Campside Sungai Pandan pada pertengahan bulan June 2025. Kami singgah tiga hari dua malam di campside yang mempunyai air terjun yang menjadi salah satu tarikan di Bandar Kuantan dalam percutian kami di pantai timur tahun ini.




Pagi hari kedua, kami bercadang mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing. Malam itu hujan lebat dan saya fikir pasti esok pagi akan ada awan di puncak Bukit Panorama. Disebabkan hujan lebat malam itu, saya dan kawan agak kemalasan bangun awal untuk memulakan perjalanan ke Sungai Lembing. Kami memulakan perjalanan ke sana sekitar jam 7:30 pagi. Perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit dari tapak perkhemahan. Dengan berpandukan google map kami sampai di permulaan trek Bukit Panorama.
Terdapat tandas, pondok rehat dan papan tanda Bukit Panorama. 815 anak tangga perlu didaki untuk sampai ke puncak Bukit Panorama. Kami memulakan pendakian pada jam 08:10 pagi.



Trek Bukit Panorama didominasi tangga batu yang dibina dan diselenggara dengan baik untuk memudahkan pendaki. Terdapat palang besi di tengah tangga untuk memisahkan jalur naik dan turun yang sekali gus berfungsi sebagai tempat pemegang dan berpaut.



Semasa kami mendaki, kami berselisih dengan beberapa orang pendaki tempatan yang dalam perjalanan turun. Kami bertegur sapa dan dari mereka kami diberitahu awan karpet tebal pagi itu. Menurut mereka yang mula mendaki seawal jam 05:00 pagi, tiada pemandangan matahari terbit kerana kabus agak tebal. Dari celah-celah semak saya melihat awan karpet mulai berkurangan semasa saya mendaki.





Kami sampai di atas sekitar jam 08:50 pagi. Terdapat pondok tempat berteduh dan kami meneruskan perjalanan melalui jalur kanan sebelah pondok. Kesemua pendaki telah turun dan kami akhirnya sampai di hujung jalur. Terdapat binaan tulisan besar Bukit Panorama. Hamparan awan karpet masih tebal pagi itu. Kami bergambar agak lama di sana dan saya mencari-cari papan tanda ketinggian Bukit Panorama. 



Setelah puas bergambar kami bergerak turun. Sampai di pondok rehat saya ternampak jalur seperti ada puncak lain. Kami kemudian menyusuri jalur tepi pondok tersebut dan sampai di puncak sebenar Bukit Panorama.




Kami tidak berlama-lama di puncak ini. Setelah merakam beberapa keping gambar, kami kemudian bergerak turun melalui trek bertangga kami datang tadi.




Tiada ulasan: