Kami berkunjung ke negara Zambia ini dua kali semasa percutian kami ke enam negara di selatan Benua Afrika pada awal November 2025. Ceritanya begini. Saya dan lima teman menginap di Bandar Victoria Fall Zimbabwe yang bersempadan dengan Negara Zambia, Botswana dan Namibia. Pada hari kedua kami di Victoria Fall Town, kami melawat Air Terjun Victoria di Taman Negara Victoria Zimbabwe dan kemudian melintasi sempadan dan melawat air terjun yang sama di Taman Negara Mosi-oa-Tunya Zambia. Lawatan juga agak tergesa-gesa kerana mengejar waktu.
Hari itu setelah melawat Air Terjun Victoria di negara Zimbabwe, kami menuju sempadan Zambia. Setelah melepasi imigresen Zimbabwe kami berjalan kaki untuk ke imigresen Zambia. Jarak kedua imigresen agak jauh bila berjalan kaki di tengahari. Akhirnya kami berempat bersetuju menaiki beca yang memanggil-manggil penumpang dan kelihatan agak menarik untuk dicuba. Setelah tawar menawar, kami menaiki beca yang dikendali oleh dua pemuda Zambia. Kesukaran menggerakkan kenderaan secara manual bila mendaki bukit agak terkesan di hati kami. Semasa pulang kami memberi tip lebih dari harga sewa beca tersebut.
Nama tempatan air terjun ini adalah Mosi-oa-Tunya yang bermaksud asap yang menggelegak. Air terjun ini mengalir ke dalam Sungai Zambezi yang menjadi sempadan antara negara Zambia dan Zimbabwe.
Trek untuk menyaksikan Air Terjun Victoria ini pendek dari trek di bahagian negara Zimbabwe. Harga ticket masuk ke sini USD30 manakala harga ticket di sebelah Zimbabwe pula USD50.
Hari ketiga kami di Victoria Fall Town, kami ke Chobe National Park Botswana. Pada hari keempat jadual perjalanan kami sepatutnya menaiki Steam Train. Disebabkan harga ticket keretapi wap ini agak mahal, hasrat itu pun setuju dibatalkan. Sebagai ganti, kami berempat sepakat ke bandar Livingstone Zambia sekali lagi. Hari ini kali kedua kami memasuki Negara Zambia.
Proces kali kedua memasuki negara Zambia ini berjalan lancar. Kami menyewa kereta sekali pemandu ke bandar Livingstone hari itu. Sampai di Bandar Livingstone kami terus ke bank untuk menukar wang Zambia. Kemudian kami dibawa ke gerai kraftangan di tengah Bandar Livingstone dan acara membeli belah pun bermula.
Petang itu kami kembali ke bandar victoria Fall Zimbabwe. Saya berharap untuk datang lagi ke Zambia jika ada rezeki. Mungkin kali itu saya dapat melawat air terjun yang besar di kawasan lain di Zambia. Terima kasih Allah.

































Tiada ulasan:
Catat Ulasan